Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

April 6, 2009

Symbian 101: Bahagian 2 – Smartphone dan Syarikat Symbian.

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 8:47 pm
Tags: , ,

iklan-symbianku

BAHAGIAN 2 DARIPADA 7 BAHAGIAN (Nota: Anda boleh baca BAHAGIAN 1 di SINI)

Mengapa disebut ‘SmartPhone’ atau ‘Telefon Pintar’ ? Apakah yang membezakannya dengan telefon yang lain?
Suatu masa dahulu ada 2 jenis peranti (device) yang mengungguli ‘mobile segment’ iaitu HANDSET (Mobile Phone) dan PDA (Personal Digital Assistant). Kemudian, kedua-dua ‘device’ ini digabungkan ‘kecanggihan’nya maka terbentuklah SMARTPHONE.

evolusi-smartphone

Smartphone pada sifatnya adalah:

  1. Menyatukan / menggabungkan ciri-ciri PDA dan ‘mobile phone’.
  2. Ciri-ciri (features) yang disebutkan termasuklah mampu mengendalikan ‘Office Programs’, membaca fail PDF, dipasang dengan teknologi WLAN, UMTS, HSDPA, kamera beresolusi tiggi, GPS dan sebagainya.
  3. Mempunyai skrin yang lebih besar dari telefon biasa.
  4. Kemampuan untuk memasang perisian luar! (Option to install own application).
  5. ‘Multitasking’ – keupayaan menjanakan (membuka) banyak perisian dalam satu masa tanpa gangguan.

Jika kita lihat ciri-ciri yang dinyatakan tadi, jelas menunjukkan ‘smartphone’ boleh dikategorikan sebagai sebuah ‘komputer’ kecil. Untuk memahaminya dengan lebih lanjut, cuba teliti dan fahamkan jadual di bawah ini:

what-symbian02

Operating System (OS)

Sebagai ‘nadi’ atau ‘enjin’ yang mengawal ‘sistem’ komputer, maka ‘Operating System’ adalah sangat diperlukan dan kritikal untuk membentuk dan mencorakkan penggunaan sesebuah komputer. Dalam alam ‘smartphone’ terdapat banyak OS yang dipasang dari kilangnya. Ini memberikan pengguna ruang untuk memilih model telefon dan memberikan kuasa kepada mereka untuk mengawalnya.

Operating System yang terkenal dalam ‘smartphone’ adalah (susunan mengikut ‘world market-share Q4 2008);

  1. Symbian (yang dikeluarkan dalam 3 platorm iaitu S60, UIQ dan MOAP-S (FOMA)).
  2. BlackBerry (RIM)
  3. Windows Mobile (Microsoft)
  4. Mac OSX (IPhone)
  5. Linux (juga LiMo)
  6. Palm (juga WebOS)
  7. BREW (Binary Runtime Environtment for Wireless)
  8. Android (Google)

smartphone-1

smartphone-2

Sejarah ‘Smartphone’ Symbian.

Berikut merupakan sejarah Smartphone Symbian dalam tamadun moden manusia. Ketahuilah Encik Alexander Graham Bell pun tidak pernah terfikir yang suatu hari nanti ‘telefon’ akan menjadi seperti ini.

smartphone-3

Jangkauan Kemungkinan: Symbian Boleh Melakukannya!

Apabila anda menggunakan peranti Symbian, anda telahpun mengetahui yang ianya berfungsi LEBIH dari sekadar telefon. Melalui blog ini, anda juga tahu yang sebuah telefon Symbian boleh berfungsi sebagai MODEM lantas menjimatkan perbelanjaan anda untuk membeli ‘Modem Broadband’ yang ada di pasaran. Selain itu anda juga telah mengetahui tentang ‘push-mail’, ‘backup’ nombor telefon di GMAIL, ciri ‘File Manager’, kawalan slaid Power Point dengan Bluetooth dan lain-lain lagi. Apa lagi kemungkinan-kemungkinan yang terdapat pada sebuah ‘smartphone’ Symbian?

Sebagai seorang yang bakal menulis perisian Symbian, anda mestilah berfikir secara kreatif, kritis dan ‘Out Of The Box’. Cuba lihat ‘slaid’ di bawah ini yang disediakan oleh ANDREAS JAKL – seorang pengaturcara (programmer) Symbian yang terkenal. Salah satu ciptaan terkenal beliau adalah ‘game’ JOURNEY dan JOURNEY II.

smartphone-4smartphone-5smartphone-6smartphone-7smartphone-8smartphone-9smartphone-10

Dua aplikasi masa hadapan yang sangat menarik minat saya adalah ‘Augmented Reality’ dan ‘Gesture Control/Sensor’. Agak payah untuk saya menerangkan maksud teknologi ini, cuba anda lihat sendiri video yang disediakan. Kedua-dua teknologi ini banyak digunakan dalam penciptaan ‘game’. Bagi saya ianya lebih hebat dari ‘Accelerometer Controlled Games’!

a) AUGMENTED REALITY GAME

b) GESTURE CONTROL GAME

c) ACCELEROMETER CONTROLLED GAME


Latarbelakang Symbian dan Symbian OS

Perkara yang ditulis berulang-ulang kali pasti membosankan anda. Apatah lagi saya selaku penulis dalam blog ini. Untuk itu anda boleh mengetahui serba-sedikit latar belakang Symbian di SINI, SINI(2) dan SINI(3).

Ada ENAM perkara yang perlu kita ketahui sebelum anda benar-benar berminat untuk menulis perisian Symbian. Enam perkara yang disebutkan ialah;

1) Symbian memegang ‘Market-Share’ yang paling tinggi dalam industri OS telefon. Ini menyebabkan peluang terbuka dengan lebih cerah untuk anda bekerja, belajar dan menghasilkan sesuatu yang mengkagumkan pada suatu hari kelak. Dan trend ini dijangka akan berterusan sehingga 5 ke 6 tahun yang akan datang.

smartphone-16

2) Smartphone (terutama sekali Symbian) bakal mengambilalih tempat komputer pada suatu hari nanti. Ini terbukti apabila kuasa smartphone sekarang sudah menghampiri kuasa dan kebolehan sebuah laptop.

smartphone-121

3) Banyak aplikasi, ciri (fitur), teknologi dan pelbagai kemungkinan masa hadapan yang mampu dilaksanakan oleh Symbian. Lebih-lebih lagi kini Symbian telah pun menjadi ‘open source’ dan terdapat lebih 80 syarikat peneraju teknologi telah bergabung demi menjayakan ‘Yayasan Symbian’.

smartphone-13

4) Multiplatform (S60, UIQ dan MOAP) dan ketiga-tiga platform ini telah bersatu untuk masa hadapan yang lebih baik. Alangkah baiknya jika pada suatu hari nanti kita akan melihat ‘Netbook’ Symbian atau ‘Game Console’ Symbian kerana kepakaran JEPUN dan EROPAH telah bergandingan?

smartphone-14

5) Symbian kini telah diterima sebagai satu ‘subjek’ di Universiti terkemuka dunia (56 Universiti setakat Q1 2008). Mungkin dalam masa terdekat ini (dalam 3-4 tahun akan datang) IPT tempatan Malaysia juga akan turut menyertainya.

smartphone-15

6) Betapa KURANGNYA (atau lebih tepat: HAMPIR TIADA!) perisian tempatan Malaysia baik dalam Bahasa Melayu atau Inggeris dibangunkan untuk Symbian pada masa kini. Ini membuka peluang kepada anda seluas-luasnya untuk memasarkan idea dan produk anda. Bayangkan jika dalam masa terdekat ini, anda dapat bangunkan perisian seperti Kamus Dewan, Panduan Haji dan Umrah, Ensiklopedia Pelancongan Malaysia, Peta Rangkaian Jalanraya, Tren dan Kapalterbang di Malaysia, Buku Interaktif Hikayat dan Cerita Kanak-kanak dan lain-lain perisian termasuk ‘game’ rakyat seperti Congkak (dengan Bluetooth Multiplayer) dan Main-Main Hantu (cari hantu dengan ‘Augmented Reality’). Bukankah jika anda menjadi seorang pemula (pioneer) maka anda akan terus kekal dalam industri ini?

Selamat mendalami Symbian! Selamat datang ke masa depan!

Februari 13, 2009

Video Perbandingan 2 Telefon Symbian: N81 vs i450

Filed under: Tips Pengguna Symbian — adliayob @ 5:39 pm
Tags: , , ,

Kadang-kadang, apabila kita bercerita atau menyatakan sesuatu fakta berkaitan Symbian secara lisan, penulisan dan grafik (atau foto), ada juga dikalangan pendengar atau pembaca yang masih ragu-ragu atau ‘skeptical’ terhadap Sistem Operasi Symbian ini. Ada satu pepatah Inggeris iaitu ‘Picture speaks much louder than words’ tetapi pada zaman teknologi maklumat ini saya rasa ‘Video footage shouts much louder than photos’ hehehe. Ini cuma pandangan saya sahaja!

Ini adalah video yang saya rakam sendiri, ‘edit’, ‘render’ dan ‘compile’ sejak dari tahun lepas lagi. Selama ini ia tersimpan rapi dalam komputer saya dan juga digunakan sesekali oleh rakan-rakan yang membuka kedai telefon bimbit di sekitar Sabah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Tajuk video ini ialah ‘Perbandingan Antara Nokia N81 dan Samsung i450’. Saya telah mencipta video ini khusus untuk menerangkan secara visual tentang apa yang diperkatakan mengenai Sistem Operasi Symbian dan membuktikan yang bukan hanya syarikat NOKIA sahaja yang ekslusif memasangkannya pada model-model telefon mereka. Saya telah mengubah video asal menjadi lebih ‘funky’ untuk tatapan anda.

Biasanya, apabila saya memberitahu rakan-rakan mengenai Symbian, ramai yang tidak percaya dan ramai juga menuduh saya ‘menukar sistem telefon’ Panasonic dan Samsung saya. Ini ada kaitan dengan kerjaya saya sebagai programmer, webmaster dan pakarujuk IT di tempat saya. Ada juga dengan muka yang yakin – memberikan telefon Sony Ericsson mereka kepada saya untuk penukaran sistem. Ayat yang biasa diucapkan termasuklah ‘Nah Adli! ko formatlah telefon aku ni dan install Symbian kedalamnya’.

Kepada pengusaha kedai telefon bimbit, saya cadangkan untuk anda memindah-turun (download) video ini dan gunakanlah ia untuk meningkatkan penjualan model-model Samsung dan LG (Symbian) yang jarang-jarang terjual. Contohnya seperti perbandingan antara model Nokia N96 dan Samsung INNOV8 – tiada siapa yang akan beli INNOV8 kerana mereka tidak faham Symbian. Padahal, kedua-dua model ini adalah berteknologi tinggi dan dipasangkan dengan Sistem Operasi Symbian. Dengan itu ia berkongsi ciri-ciri yang sama.

Terima kasih saya ucapkan kepada sahabat saya TURBORUN (TS-Wave Mobile Medic) dari Semporna, Sabah kerana sudi membekalkan telefon N81nya kepada saya untuk ‘video-shooting’ ini. TURBORUN juga merupakan salah satu ‘affiliate’ kepada Blog Symbian Malaysia. Symbian juga telah mengubah nasib syarikat TS-Wave sehingga menjadi tempat rujukan telefon Symbian di daerah Semporna, Sabah. Apa? anda tidak pernah dengar perkataan ‘Semporna’? Mungkin Pulau Sipadan, Pulau Mabul dan Ligitan membantu anda dalam menjejak lokasi Semporna. Ia adalah sebuah daerah peranginan dan pusat penyelaman antarabangsa di Malaysia. Kesemua pulau yang disebutkan tadi berada dalam daerah Semporna. Filem ‘Duyong’ terbitan KRU FILMS juga dilakonkan di sini. Pejabat National Geographic pula berada disebelah kanan restoran yang saya sedang guna WiFi-nya sekarang ini.

Daerah Semporna mencatat kemasukan pelancong sehingga lebih 10 ribu orang sebulan. Tetapi yang membuatkan saya bangga terhadap TURBORAN – kebanyakkan ‘Mat Salleh’ datang ke kedai beliau untuk urusan ‘Software Installation’ telefon Symbian mereka. Hehehe apa orang putih fikir orang Malaysia tidak faham teknologi? Sorry dude.. you have to come here and believe your eyes! We are among the best in computer technologies in this region!

Tak begitu kawan-kawan? 🙂

banner-anim0

Januari 14, 2009

Symbian 101: Bagaimana Menulis Perisian Symbian? Satu Pengenalan.

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 6:25 pm
Tags: , ,

symbian101-a

Tahun 2009 ini, seperti yang telah saya janjikan, saya akan berkongsi tentang cara-cara untuk mencipta perisian Symbian untuk platform S60 dan UIQ. Sebenarnya, ini adalah hasrat terbesar saya dan ia amatlah susah untuk dipersembahkan kepada umum lebih-lebih lagi dalam gaya penulisan Bahasa Melayu. Untuk itu, jika ada istilah teknikal yang wujud dalam artikel ini dan selanjutnya – maka saya terpaksa menggunakan istilah asli ‘ENGLISH’ kerana kita sedia maklum, bahasa pengaturcaraan c++, Microsoft Visual Studio, Carbide C++, Phyton, Ruby, SDK dan CodeWarrior semuanya ‘in English’.

Sebelum saya meneruskan artikel ini, anda diminta jangan risau tentang perkataan ganjil yang tertera diatas. Itu hanyalah sebagai perkakas (atau tools) untuk anda memulakan penulisan perisian Symbian anda sendiri.

Untuk permulaan, kita akan membicarakan tentang ‘Symbian-Programming’ mengikut tajuk-tajuk seperti yang tertera dibawah ini:

  1. Symbian 101: Bagaimana Menulis Perisian Symbian? Satu Pengenalan.
  2. Symbian 101: Smartphone dan Syarikat Symbian.
  3. Symbian 101: Pengenalan Antaramuka Platform (UI Platform Overview).
  4. Symbian 101: Sinopsis Sistem Operasi Symbian (Symbian OS Overview).
  5. Symbian 101: Membangunkan Perisian untuk OS Symbian (Developing for Symbian OS).
  6. Symbian 101: Komuniti Pembangun Perisian (Community).
  7. Symbian 101: Sumber Rujukan Yang Dicadangkan (Recommended Literature).

Setelah anda meneliti semua 7 sub-tajuk yang tertera, mungkin anda berminat dan teruja atau mungkin juga anda berasa ‘lemah-gemalai’ atau longlai kerana ia mungkin akan diterbitkan dengan panjang berjela-jela dengan abstrak, topik perbincangan, kupasan dan istilah yang meningkatkan kadar ‘migrain’ di kepala anda!

YA! tepat sekali jangkaan anda! Artikel-artikel yang akan dibincangkan selepas ini sememangnya teknikal, panjang, penuh teori, praktikal, pindah-turun (download) yang memakan masa dan bill, pandangan, perbincangan, contoh kod-sumber dan lain-lain sehingga menyebabkan anda tidak mahu menjadi owner kepada Blog Symbian Malaysia!

Jika berat anda rasakan, percayalah… berat lagi tanggungjawab saya untuk menerbitkannya! Tetapi, demi maruah bangsa melayu pada masa hadapan dalam mendepani teknologi telefon bimbit – maka saya bersedia menghabiskan masa, tenaga dan duit-ringgit saya (bayangkanlah jika secawan teh-tarik sekarang pun dah RM1.50 dan belum masuk lagi cas elektrik sejam RM2.00 di kedai mamak ni) untuk anda dengan harapan suatu hari nanti akan lahir seorang GENIUS pembangun perisian Symbian berbangsa Melayu dan menghasilkan perisian peringkat antarabangsa!

Mengapa Menulis Perisian Symbian?

Symbian merupakan syarikat yang menghasilkan Sistem Operasi SYMBIAN yang digunapakai oleh 5 syarikat pengeluar telefon bimbit di dunia. Syarikat-syarikat tersebut adalah Nokia, Samsung, Sony Ericsson, Motorola dan LG.

Dalam dunia telekomunikasi yang sentiasa menghadapi persaingan, Sistem Operasi Symbian telah dicabar oleh lain-lain pengeluar yang menghasilkan Sistem Operasi Windows Mobile, Palm, BlackBerry, Mac-OSX, Linux dan yang terbaru Android. Jika di Amerika Syarikat, Windows Mobile, BlackBerry dan MAC-OSX mendominasi pasaran semasa telefon manakala Symbian berada ditangga bawah. Symbian bukanlah pilihan di Amerika Syarikat (walaupun NOKIA agak popular juga disana!). Walaubagaimanapun, dikawasan lain didunia, Sistem Operasi Symbian tetap menjadi pilihan teratas pengguna telefon Bimbit.

Senario Symbian di Eropah.

Selaku tempat lahir Symbian, Eropah merupakan ‘testbed’, ‘incubator’ dan pasaran utama produk Symbian. Bermula dengan syarikat Psion yang menghasilkan EPOC, gergasi telekomunikasi dunia seperti Ericsson, Nokia, Siemens dan Sendo telah berganding tenaga untuk melahirkan Sistem Operasi Symbian.

Di Eropah, masyarakatnya berpendidikan tinggi sesuai dengan status negara maju yang dimiliki. Tidak seperti tempat lain yang mengutamakan jenama telefon, penduduk Eropah lebih mengutamakan OS (Sistem Operasi) dalam pemilihan sebarang alat elektronik. Maka apabila SENDO memperkenalkan telefon Symbian mereka sekitar tahun 2003 (pada ketika itu dikuasakan dengan Symbian versi 6.x) – dengan mudah syarikat ini meraih keuntungan yang tinggi. Eropah juga merupakan tempat lahir UIQ – satu cabang platform utama Symbian.

Kini, kebanyakkan penduduk Eropah lebih menyokong Symbian berbanding dengan OS yang lain. Di Finland, syarikat Nokia merupakan salah satu pembayar cukai terbesar dan penyumbang pembangunan negara. Di Sweden, rata-rata penduduknya kenal dengan Ericsson, Sony-Ericsson dan UIQ. Manakala ditempat lain seperti Itali dan Russia, negara-negara ini kerap dipilih sebagai tempat pelancaran produk Symbian terbaru. Sebagai contoh Samsung i400 mula diperkenalkan di Russia pada tahun 2005 sebelum ia dilancarkan ke bahagian lain dunia.

Penjualan perisian dan games untuk Symbian adalah sangat memberangsangkan dan rata-rata kedai telefon menawarkan perkhidmatan ‘upgrade’ perisian/games tanpa banyak kerenah (ini ada kaitan dengan system VAT di Eropah). Komuniti, foum-online, ‘gathering’, seminar dan ‘talk-show’ tentang Symbian kerap diadakan. Malah kebanyakkan kolej dan universiti di Eropah telah menawarkan subjek pengaturcaraan Symbian kepada sesiapa yang berminat.

Senario Symbian di Jepun.

Jepun merupakan tempat ke-dua selepas Eropah yang ‘fanatik’ Symbian. Disokong penuh oleh NTT DOCOMO selaku telco dan pembangun Symbian, ia telah menerbitkan satu konsortium yang amat besar dan dikenali sebagai FOMA. Melalui platform FOMA, syarikat-syarikat terkemuka seperti Fujitsu, Sharp, Sony-Ericsson dan Mitsubishi kerap mengeluarkan telefon berteknologi tinggi berasaskan Symbian.

Teknologi ‘premium’ seperti penggabungan kamera lensa ‘CCD’ dan spektrum 3.5G dibangunkan dengan awal di Jepun dengan Symbian sebelum ia diimplementasikan ke syarikat Nokia, Samsung, Panasonic, Siemens, LG, Arima dan Lenovo.

Lihat sahaja filem ‘Tokyo Drift’ yang memaparkan kegilaan perlumbaan kereta di Jepun – dan perhatikan telefon yang mereka gunakan – semuanya adalah ‘FOMA Symbian’ yang teknologinya entah bila akan sampai ke bumi Malaysia ini.

Rakyat jepun merupakan pengguna telefon bimbit yang menduduki ranking teratas dalam menukar telefon dalam seumur hidup mereka. Kadar penukaran telefon adalah 3 bulan sekali. Disebabkan faktor ini, pembangun FOMA akan sentiasa mencari teknologi baru untuk diimplemenasikan pada Sistem Operasi Symbian. Maka model yang dihasilkan seterusnya akan lebih baik dari keluaran yang sebelumnya.

Symbian merupakan OS telefon nombor satu di Jepun. Tidak seorang pun yang terkecuali memiliki sekurang-kurangnya sebuah telefon FOMA (Symbian).

Senario Symbian di China.

Negara ini mengamalkan sistem komunis dalam politik mereka. Namun ini tidak menyebabkan mereka mundur atau terkebelakang dari segi teknologi telefon bimbit. Nokia, Sony Ericsson, Motorola dan Lenovo merupakan peneraju Symbian yang aktif di sini.

Sejak mula lagi, versi perisian dan games berbahasa cina dikeluarkan di China. Syarikat Symbian juga mempunyai cawangan pejabat rasmi di China dan ia juga kerap menganjurkan aktiviti akademik di kebanyakkan kampus dan fakulti universiti-universiti tempatan.

Pada hari ini Negara China merupakan kuasa kedua terbesar selepas Jepun dalam teknologi dan pembangunan aplikasi Symbian.

Symbian di lain-lain tempat di Asia.

Di India, komuniti Symbian agak besar dengan pembangun (programmer) yang ramai dan pintar. Begitu juga di Taiwan, Korea dan Hong Kong. Di tempat-tempat yang disebutkan ini Symbian merupakan ‘masa depan’ yang harus di eksploitasi sepenuhnya untuk mempertingkatkan ekonomi.

Begitu juga di Mesir, Jordan dan Iran – pembangun dan syarikat pengeluar perisian Symbian sangat banyak dan mereka mengkhusus untuk pembangunan perisian dalam Bahasa Arab.

Symbian di Asia Tenggara.

Symbian merupakan jenama atau nama yang aneh, ganjil dan tidak pernah didengar di wilayah ini. Bukan sahaja di Malaysia, malah di Filipina, Indonesia, Brunei, Laos, Vietnam dan Thailand juga terkebelakang dalam pembangunan Symbian.

Tidak seperti di Eropah, rakyat Asia Tenggara lebih mementingkan jenama (seperti NOKIA) dan kerap tersalah/tersilap dalam pembelian telefon bimbit. Yang paling menyedihkan sekali, terutamanya di Malaysia, kebanyakkan jurujual, pengedar dan kedai telefon langsung tidak memahami tentang Sistem Operasi dalam setiap gajet yang dijual. Cuba anda pergi ke mana-mana kedai telefon di Malaysia dan mintakan jurujual mengeluarkan hanya model Symbian di atas meja – mereka akan memberikan respon yang lambat dan kadang-kala menukarkan topik persoalan anda kepada model-model baru jenama terkemuka.

Kefahaman tentang teknologi dan Sistem Operasi telefon bimbit amat dangkal (shallow) di Malaysia sehinggakan sanggup ‘memperbodohkan’ pengguna dengan fakta-fakta tertentu demi menjayakan pembelian. Memang kita faham jika banyak kuantiti terjual maka banyaklah keuntungan yang dijanakan, tetapi pada saya yang terpenting adalah pendidikan dan kejujuran untuk berniaga dengan lebih lama lagi.

Sebenarnya inilah punca mengapa saya menerbitkan ‘Blog Symbian Malaysia’ di internet. Sesungguhnya saya tidak mahu masyarakat berketurunan melayu yang mendominasi Nusantara masih ketinggalan dalam teknologi.

Masa Depan Dalam Symbian.

Pada tahun lepas semua pemilik platform Symbian telah bersatu dalam penubuhan ‘Yayasan Symbian'(Symbian Foundation). Symbian Foundation akan mengeluarkan satu platform universal yang akan dikongsi dengan semua pengeluar produk Symbian. Ini bermakna dalam dua tahun lagi tidak kira apa jenama telefon anda – anda tetap menggunakan satu Sistem Operasi satu platform. Tiada lagi FOMA, S60 atau UIQ lagi.

Saya mengambil contoh syarikat INFINITE DREAMS yang sangat berjaya dan dipercayai oleh Symbian dan Nokia. Syarikat ini sebenarnya bermula dengan kecil dengan penghasilan satu permainan yang dikenali sebagai ‘SkyForce’. Tidak lama kemudian akibat dari permintaan yang tinggi pasaran, ia telah mengeluarkan lain-lain permainan seperti ‘SuperMiners’, ‘Explode Arena’, ‘SkyForce Reloaded’, ‘KRally’ dan yang terakhir – ‘Hook On: Creatures Of The Deep’.

Satu permainan yang dihasilkan oleh Infinite Dreams berharga antara USD 9.90 hingga USD 19.90 (RM 31.60 hingga RM 63.60). Setakat ini syarikat ini telah berjaya menjual lebih 200 ribu salinan perisian! Jika kita mencongak – jualan mereka adalah menghampiri 8 juta ringgit! Fakta inilah yang sebenarnya merubah Infinite Dreams menjadi salah satu ‘Gergasi Pembangun Permainan Symbian’ yang terkemuka di dunia. Kiraan ini belum termasuk dengan angka penjualan model Nokia N81 yang dilengkapkan sekali dengan permainan ‘Hook On: Creatures Of The Deep’ tadi.

Syarikat seperti Epocware, Gameloft, Astraware dan pembangun Antivirus juga tidak terkecuali mendapat faedah yang besar dalam Sistem Operasi ini.

Berbalik kepada masa depan Symbian, apabila semua kepakaran telah disatukan dibawah satu bumbung (Symbian Foundation) maka lebih banyak peluang akan terbuka untuk kita semua.

Dalam 4 tahun kebelakangan ini, saya melihat adanya potensi yang luas untuk pembangunan perisian Bahasa Melayu yang boleh dikomersilkan. Pandangan ini dikongsi bersama oleh seorang Ahli Parlimen (Yang Berhormat) iaitu YB. Tuan Hj. Salleh Kalbi yang menulis (dan memasukkan LINK Blog Symbian Malaysia) ke dalam Blog Minda Salleh Kalbi yang merupakan blog rasmi beliau. Apabila saya membaca topik Anda Insan Yang Berpotensi Besar!pada blog beliau baru-baru ini, saya amat terharu dengan pandangannya yang menjurus kepada pembangunan perisian telefon bimbit.

Jika seorang Yang Berhormat pun memandang serius pembangunan perisian telefon bimbit, apalah pula respon kita selaku rakyat di negara ini?

Saya penuh yakin jika kerajaan memberikan galakan untuk mencetuskan dan menyokong usaha pembangunan Symbian – maka Malaysia bakal menjadi pusat rujukan antarabangsa Symbian kerana negara ini penuh dengan pelbagai agama, bangsa dan budaya. Di Malaysia kita boleh menciptakan perisian dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Jerman, Korea, Jepun, India, Kadazan-Dusun, Iban, Portugis, Mandarin, Kantonis, Hakka, Arab dan lain-lain bahasa dunia kerana semua pakar bahasa-bahasa yang disebutkan ada di negara majmuk ini!

Syarikat terkemuka telefon bimbit seperti Nokia, Sony Ericsson, Samsung dan LG telahpun bertapak di negara ini. Cuma apa yang diperlukan adalah keyakinan, jatidiri dan semangat untuk memulakan sesuatu tanpa mengharapkan imbuhan. Inilah resepi untuk berjaya. Bak kata YB. Salleh Kalbi – J.K Rowling sewaktu menulis buku Harry Potter merupakan seorang penganggur dengan beban seorang anak yang masih menyusu!

Masa Depan Symbian di Malaysia.

Saya meletakkan tempoh dua tahun untuk rakyat Malaysia menjadi ‘separuh-matang’ dalam teknologi Symbian. Dan dalam tempoh dua tahun ini, saya yakin ada dua atau tiga syarikat pembangun perisian Symbian akan muncul dipersada dunia.

Artikel ini diterbitkan untuk anda memahami dan bersemangat untuk memulakan kajian tentang pembangunan Symbian. Ia juga selaku pemberitahuan tentang masa depan Symbian yang penuh gemilang. Anda tidak rugi jika membazirkan masa dua tahun demi pembangunan sebuah perisian – tetapi anda akan lebih rugi lagi apabila idea yang anda ada sekarang dicuri dan dibangunkan oleh orang lain yang lebih tekun dan rajin daripada anda yang akhirnya dia berjaya menjadi seorang jutawan!

Langkah Pertama Untuk Menulis Perisian Symbian.

Sebelum bermula, anda mestilah seorang yang memiliki telefon bimbit Symbian (tidak kira S60 atau UIQ). Selain itu, anda memiliki sebuah komputer dengan RAM yang tinggi (dicadangkan 2Gb) untuk proses penulisan perisian. Sistem Operasi yang dicadangkan untuk komputer anda adalah Windows XP.

Anda juga mestilah mahir dalam pencarian maklumat di Internet. Kelebihan dan latarbelakang dalam pengendalian bahasa pengaturcaraan C++ merupakan nilai tambah kepada anda. Anda juga mestilah sudah membiasakan diri dengan persekitaran orientasi objek (Object Oriented), Visual Studio dan Compiler.

Perisian Symbian agak mudah juga dibangunkan kerana telah dilengkapkan dengan SDK (Software Development Kit) dan Emulators. Proses ‘Symbian-Signing’ juga telah dipermudahkan.

Anda juga perlu mendaftar forum ‘developer’ seperti ‘Symbian Developer Forum’, ‘Forum Nokia’, ‘MotoDev’ atau ‘Samsung Developer Site’. Ini kerana komuniti pembangun Symbian berkumpul disini. Kepada yang sudah biasa dengan ‘open-source’ – ini akan memudahkan lagi proses pembangunan perisian anda. Sumber kod terbuka (bebas) untuk Symbian banyak terdapat di Internet.

Selain itu persediaan fizikal, ekonomi dan mental perlu seiring dalam pembangunan perisian Symbian. Jika anda membangunkan perisian (atau games) dalam kumpulan ia adalah satu usaha yang bijak dan baik. Pastikan salah seorang dalam kumpulan anda mempunyai latarbelakang ‘Multimedia’ untuk kemudahan penciptaan UI, Audio, Video dan Grafik.

Kita akan bersambung lagi dengan kupasan yang selanjutnya iaitu ‘Smartphone dan Syarikat Symbian’.

Sila sumbangkan artikel atau komen membina disini supaya kita benar-benar mendapat manafaat demi pembangunan produk Bahasa Melayu di pasaran kelak.

Create a free website or blog at WordPress.com.