Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

Mac 19, 2009

Perkara Yang Anda Sepatutnya Tahu Apabila Mengendalikan Telefon Symbian

Filed under: Tips Pengguna Symbian — adliayob @ 10:31 pm
Tags: , , ,

iklan-symbianku

Anda mungkin secara tidak sengaja ‘TERBELI’ sebuah telefon Symbian. Atau mungkin sahaja anda jenis manusia yang suka mengikut trend dan sentiasa mengunakan gajet terbaru untuk ‘memancarkan aura’ kesombongan dan status ‘golongan baik-baik’ anda. Atau mungkin juga anda memiliki sebuah telefon Symbian sebagai HADIAH atau memenangi cabutan bertuah. Walau apa pun alasan anda, ketahuilah telefon yang anda pegang itu sebenarnya SEBUAH KOMPUTER dan bukannya telefon biasa.

Masalahnya, berapa ramaikah ‘orang kita’ yang menyedari hakikat yang telefon bimbit mereka itu ialah TELEFON SYMBIAN dan berapa ramaikah yang benar-benar MEMAHAMI cara penggunaan dan pengawalannya?

Mengikut ‘survey’ yang telah dijalankan oleh Blog Symbian Malaysia, 6 daripada 10 responden TIDAK MAHU AMBIL TAHU atau PEDULI tentang telefon Symbian mereka. Akibatnya, setelah menggunakan telefon ini selama beberapa bulan – mereka akhirnya mengubah selera dan bertukar kepada telefon ‘biasa-biasa’ yang ‘tidak berapa canggih’. Alasannya mudah – kerana TIDAK MAHIR menggunakan telefon CANGGIH Symbian.

Berikut adalah PERKARA-PERKARA YANG PERLU ANDA KETAHUI DAN KUASAI apabila menggunakan sebuah telefon Symbian. Saya menerbitkan TIPS-TIPS dibawah ini supaya ANDA memahami dan benar-benar menghargai teknologi ‘cutting edge’ yang selama ini berada dalam genggaman anda!

______________________________________________________

1. Sebutan.
– Sebutan yang betul untuk perkataan SYMBIAN ialah – SIMBIYEN (bacaan Melayu, dimana huruf ‘E’ mengikut sebutan ‘kEntang’) atau SIM-BEE-EARN (bacaan English).

2. Symbian adalah OS dan bukannya milik ekslusif model-model Nokia sahaja.
– Ini bermaksud, Symbian adalah ‘SISTEM’ yang mengendalikan telefon yang anda pegang sekarang. Jika kerangka telefon itu di label sebagai HARDWARE, maka Symbian adalah SOFTWAREnya. Jika telefon yang anda pegang itu KOMPUTER, maka Symbian adalah WINDOWS-XPnya. Jadi, Symbian adalah OS (Operating System) yang berfungsi SERUPA dengan Windows XP. Jika pada Windows-XP anda boleh memasang perisian tambahan, maka TELEFON SYMBIAN juga boleh dipasang dengan pelbagai ‘software’, ‘games’, menambah FONTS, menukar wallpaper, membaca dokumen Word/Excel/Powerpoint dan sebagainya. Ini TERMASUKLAH masalah-masalah yang selalu berlaku pada komputer WindowsXP seperti ‘hang’, ‘glitch’, ‘bug’, ‘restart’ dan serangan virus JUGA akan berlaku pada telefon Symbian anda.
Dengan itu, BUKAN bermakna jenama NOKIA sahaja yang menggunakan Symbian selaku Operating System, ia juga digunapakai oleh pengeluar lain seperti Samsung, LG, Motorola dan Sony Ericsson.

3. Telefon Symbian kekurangan ciri FILE MANAGER.

– Bagi sebuah komputer Windows Xp, perisian yang paling penting adalah ‘Windows Explorer’ (atau ramai yang mengenalinya sebagai ‘My Computer’). ‘Windows Explorer’ adalah SEJENIS ‘File Manager’. Pada File Manager, seseorang itu mampu untuk menguruskan fail-fail pada komputernya termasuklah menggunakan arahan CUT, COPY, PASTE, RENAME, DELETE, ‘Make new folder’, ‘Delete folder’, ‘Create Shortcut’ dan ‘browsing’ (atau melihat-lihat kandungan ‘hard-disk’) ‘directory’ C, D, E, F sehingga Z.
– Pada telefon Symbian, aplikasi FILE MANAGER memang wujud, tetapi ciri-cirinya agak terhad. Maka dengan itu anda PERLU memasang perisian seperti Y-Browser atau Griffon atau X-Plore atau lain-lain perisian FILE MANAGER untuk mendapatkan semua fungsi-fungsi seperti yang telah disebutkan dan ditandakan BIRU tadi.

tips-01


4. Semua ‘file’ dan ‘sms’ yang dihantar ke telefon Symbian akan berada pada ‘INBOX – Messaging’ dan secara lalai (default), ‘INBOX’ berada pada drive ‘C:\’
– Ini bermakna SEMUA item yang dihantar oleh rakan anda termasuk melalui BLUETOOTH seperti lagu mp3, video dan foto, secara LANGSUNG akan ‘masuk’ ke ‘phone memory’ dan memenuhi ruang ‘phone memory’ anda dan akan menyebabkan amaran ‘memory FULL’ dipaparkan pada skrin. Ini kerana ‘phone memory’ adalah ‘DRIVE C:\’ dan ‘INBOX’ juga berada pada drive C ini. ‘Drive C:\’ pada telefon anda amatlah KECIL ruangnya berbanding ‘memory-card’ yang berkapasiti sehingga 8Gb. Jadi, apa yang perlu anda lakukan adalah MEMINDAH (move) item pada INBOX dengan cara ‘CUT & PASTE’ kepada ‘momory-card’ untuk mengosongkan kembali ruang ‘phone-momory’ anda. Untuk melakukan teknik ini, FILE MANAGER seperti Y-Browser amatlah diperlukan. Ini bermakna TIDAK PERLU anda menukar memory-card 1Gb anda kepada kapasiti yang lebih besar (contohnya kepada 2Gb, 4Gb atau 8Gb) kerana masalah ‘memory-full’ TIDAK ADA KENA-MENGENA dengan memory-card anda. Jika setelah anda memindahkan kesemuanya kepada memory-card dan masalah ‘memory full’ ini tidak juga selesai, maka BUANG semua yang ada pada LIFEBLOG. Untuk itu, anda masuk ke MENU-> Application -> Lifeblog dan kosongkan lifeblog itu. Lifeblog adalah ‘CACHE’ yang menyimpan semua SEJARAH penggunaan telefon Symbian anda.

tips-02

5. Windows XP dan Symbian adalah dari kumpulan yang sama, tetapi TIDAK SAMA dan TIDAK ADA KENA-MENGENA antara satu sama lain. Maka VIRUS yang diciptakan untuk Windows XP tidak akan berjaya merosakkan ‘SISTEM’ telefon Symbian.
– Sebuah fail bernama ‘Brontok’ telah dikenalpasti oleh Kaspersky Anti Virus pada komputer anda sebagai virus. Virus BRONTOK ini hanya menyerang komputer yang dikuasakan dengan Sistem Operasi Windows ME atau Windows XP sahaja. Ini bermakna jika file ‘brontok’ ini di pindahkan kepada komputer lain yang menggunakan OS Linux atau Mac OSX, maka ‘brontok’ ini TIDAK DAPAT MENYERANG komputer tersebut. Mengapa? ini kerana ‘brontok’ hanya diciptakan untuk menyerang komputer Windows sahaja. Begitu juga jika virus ‘brontok’ ini berpindah ke memory-card anda dan kemudiannya anda menyucuk memory-card itu kepada telefon Symbian anda, maka virus ini juga akan MANDUL atau TIDAK DAPAT MENYERANG telefon anda kerana Sistem Operasi Symbian bukanlah Windows. Jadi, jangan cepat menyalahkan sesiapa jika anda ‘scan virus’ memory-card pada komputer dan mendapati sebanyak 20 virus wujud di memory-card anda. Ketahuilah virus-virus itu HANYA bertindak pada komputer dan tidak akan merosakkan telefon Symbian anda.

6. Memory-card saya sudah rosak, buktinya apabila dibaca dengan komputer, ia memaparkan amaran ‘Memory Card Corrupted’.
– Kadang-kadang, perkara ini betul. Tetapi dalam kebanyakkan kes, perkara ini TIDAK BETUL sama-sekali. Ini kerana sebelum kad itu dibaca dengan komputer, terlebih dahulu pengguna telefon Symbian menciptakan ‘password’ untuk memory-card itu. Jika password telah diciptakan, maka ‘cipher-strength’ atau ‘security’ card itu tertakluk kepada ‘sistem’ Symbian. Oleh sebab ia diciptakan melalui OS Symbian, maka OS Windows XP MEMANG tidak boleh membacanya. Sama seperti kes virus tadi, ini sekali lagi membuktikan yang ‘sistem’ Symbian dan ‘sistem’ Windows XP adalah berlainan. Penyelesaiannya, JANGAN cuba-cuba ciptakan PASSWORD untuk memory-card telefon anda kecuali anda mempunyai daya ingatan yang luar biasa. Batalkan dahulu password (remove password) pada memory-card anda, kemudian barulah cucuk kembali kad itu kepada komputer. Pasti kali ini Windows berjaya membaca kad anda.

tips-03

7. Jika komputer anda ‘rosak’ – maka anda akan FORMAT semula komputer tersebut. Begitu juga dengan telefon Symbian – ia boleh di FORMAT jika ‘rosak’.

– Ya benar. Telefon Symbian juga adalah sebuah komputer. Buktinya, ia mempunyai HARDDISK, RAM, ROM, KERNEL, EXTERNAL DRIVE dan FIRMWARE. Berbeza dengan proses ‘format & installation’ komputer Windows XP yang memerlukan CD dan ‘driver’ – kesemua  ‘installation files’, libraries, driver, codec dan lain-lain yang diperlukan untuk proses FORMAT telefon Symbian telah tersedia di dalam ROM telefon (yang dikenali sebagai ‘Drive Z:\’).

tips-04
8. Telefon Nokia N96 saya lembab dan selalu ‘hang’, mengapa pula telefon kawan saya tidak begitu? Ia sangat cekap dan responsif, padahal dia juga menggunakan Nokia N96?

– Ini masalah FIRMWARE. Dalam istilah Windows XP – perkara ini dikenali sebagai ‘Service Pack’. Walaupun anda berdua menggunakan telefon yang sama, tetapi Nokia N96 rakan anda tadi telah di’upgrade’ FIRMWAREnya. Itu sebab ia lebih lancar dan cekap berbanding telefon anda. TETAPI anda perlu mengetahui yang SEMUA senarai buku telefon (contact-numbers), sms, calendar dan notes akan TERPADAM dan akan HILANG selama-lamanya jika anda LUPA untuk ‘backup’ semuanya sebelum proses UPGRADE FIRMWARE dilaksanakan

9. Setelah kawan saya memegang dan ‘bermain’ dengan telefon saya, BANYAK IKON pada MENU saya HILANG!
– Ini selalu terjadi apabila kawan anda ‘mengalihkan’ ikon CONTACTS atau GALLERY kepada satu FOLDER yang lain pada MENU anda. Sebenarnya ikon-ikon anda tidak hilang, cuma telah bertukar tempat kepada folder yang lain. Inilah kelebihan Symbian. Anda boleh menyusun ikon-ikon yang terdapat pada menu dengan menciptakan folder yang baru. Anda juga boleh menggunakan KEYPAD bernombor 1 hingga 9 sebagai ‘shorcut’ kepada akses ikon-ikon tersebut. Lihat gambarajah di bawah. Selain itu, anda dinasihatkan untuk meletakkan (atau GROUP) ikon perisian-perisian PENTING yang selalu anda gunakan pada FOLDER khas pada menu anda untuk memudahkan capaian anda.

tips-05

10. Fahami FUNGSI keypad dan butang-butang pada telefon Symbian.
– Butang HASH (#) jika ditekan lama-lama akan menyebabkan telefon MUTE (mod SENYAP). Butang MENU pada Symbian S60 jika ditekan lama-lama akan memaparkan perisian-perisian yang sedang ‘running’. Perkara ini dinamakan ‘MULTITASKING’. Jika menekan butang MENU lama-lama, akan mengaktifkan ‘TASK-MANAGER’. Task Manager juga terdapat pada telefon Symbian UIQ3. Untuk mengetahui IMEI – anda tekan BINTANG-HASH-SIFAR-ENAM-HASH (*#06#) dan untuk mengetahui status FIRMWARE, anda tekan BINTANG-HASH-SIFAR-SIFAR-SIFAR-SIFAR-HASH (*#0000#). Untuk FORMAT telefon S60 – anda perlu tekan BINTANG-HASH-TUJUH-TIGA-TUJUH-SIFAR-HASH (*#7370#). Keypad S60 adalah SERUPA tidak kira apa pun jenama telefon. Sebagai contoh, pada keypad Nokia N81 dan Nokia N95,  ‘spacebar’ terletak pada nombor SIFAR (kosong) begitu juga pada telefon Samsung i450 dan Samsung Innov8. Setiap nombor dari 1 hingga 9 boleh disetkan sebagai ‘speed-dial’ dan ‘shortcut’ kepada ikon-ikon di MENU telefon. Butang pintas KIRI dan KANAN (soft-button) dan juga DPAD boleh diprogramkan untuk kemudahan anda. Butang nombor 1 jika ditekan lama-lama akan mengaktifkan ‘voice-mail’. Butang ‘switch-off’ jika ditekan SEKALI akan mengaktifkan PROFILE. ‘Tekan-TENGAH’ pada DPAD (atau joystick) untuk ‘SELECT’ atau ‘OK’. Butang PENSEL berfungsi sebagai ‘SHIFT’ atau ‘MARK’. Manakala butang ‘C’ digunakan untuk ‘Backspace’, ‘Cancel’ atau ‘Uninstall (remove)’ perisian.

tips-06

11. WiFi pada telefon Symbian.
– Ciri WiFi (Wireless Fidelity) pada sesetengah model telefon Symbian boleh diaktifkan kerana terdapat ‘radio-chip’ WLAN (Wireless Local Area Network) yang telah disertakan pada kerangka telefon itu. Jika anda melayari internet dengan WiFi – ia TIDAK ADA KENA-MENGENA dengan BIL TELEFON atau masalah HABIS KREDIT bakal berlaku kepada ‘LINE’ telefon anda. Kebanyakkan restoran pada masa kini menyediakan khidmat ‘WiFi Access’ secara PERCUMA (gratis) dan anda PERLU MENCUBA perkara ini. Untuk memberanikan diri, KOSONGKAN kredit telefon anda – kemudian layari internet dengan WiFi (WLAN) pada telefon anda. Kepada pengguna Symbian S60-3rd, tekan MENU -> WEB -> masukkan URL (alamat web) -> pilih point WiFi dan nikmatilah internet secara percuma di telefon anda.

12. GAME pada telefon Symbian hanyalah untuk budak-budak!

– SALAH!. Bayangkan jika anda terperangkap selama 2 jam di lapangan terbang akibat ‘flight-delay’, apa yang bakal anda lakukan untuk ‘membunuh’ masa? Alangkah baiknya jika GAME seperti CHESS, dam haji, kereta lumba atau ‘strategy game’ berada di tangan anda? Dan percayalah GAME tidak akan menyebabkan anda bertambah MUDA pada umur – tetapi dalam masa yang sama mengapa ramai yang tidak mahu mengakui bahawa dia sudah tua?

13. Jangan cabut atau keluarkan memory-card tanpa mematikan telefon terlebih dahulu.
– Ini kerana pada memory-card anda terdapat ‘instruction’, ‘libraries’ dan ‘resources’ yang BERSAMBUNG terus dengan keseluruhan ‘boot-system’ pada Sistem Symbian telefon anda. Jika anda cabut juga – maka telefon akan mengalami masalah jangka panjang. Mungkin suatu hari nanti, telefon anda tidak akan ‘ON’ atau HALT. Tidak ada apa-apa berlaku ketika anda ‘switch-on’ dan skrin hanya memaparkan ‘warna hitam’ sahaja. Jika ini berlaku – maka sediakanlah RM 100 – RM 180 untuk di’sedekahkan’ kepada kedai telefon yang berdekatan.

14. Gunakan ‘Volume Rocker’ untuk mengawal kejelasan suara pemanggil sewaktu bercakap di telefon.
– Ia adalah bebutang ‘atas-bawah’ (up-down) yang berada disebelah kiri atau kanan ‘body’ telefon. Jika anda tidak dapat mendengar dengan jelas sewaktu bercakap, terus tekan butang-butang ini untuk menguatkan nada suara pemanggil.

15. Sentiasa format memory-card menggunakan telefon, bukannya dengan komputer Windows!
– Sekali lagi diingatkan, bahawa OS Windows dan OS Symbian adalah berlainan. Ini ada kaitan terus dengan ‘File Allocation Table’ (FAT) ataupun FILESYSTEM bagi sesuatu OS. Misalnya, untuk Windows Vista, sysem failnya adalah NTFS. Manakala Windows XP dan ME menggunakan FAT32. Jika anda format menggunakan Windows – maka memory-card tidak boleh dibaca dengan telefon. Ini kerana Symbian menggunakan system FAT sahaja. Sistem FAT ini adalah berlainan dengan FAT32, FAT16 dan NTFS. FAT boleh dibaca dengan Windows, tetapi NTFS tidak boleh dibaca oleh Symbian. Jadi, pastikan anda FORMAT memory-card dengan Symbian dahulu – kemudian barulah masukkan memory-card tersebut kepada komputer anda. Setiap OS mempunyai FILESYSEMnya yang tersendiri. Contohnya Vista – NTFS, MAC OSX – HFS dan LINUX – EXT* (EXT2/EXT3).

16. Fahami format fail dan codec – jangan salahkan telefon anda jika ia tidak boleh memainkan fail FLV yang anda download dari ‘youtube’.
– Setiap fail mempunyai FORMATnya tersendiri. Misalnya untuk FOTO terdapat format JPG, BMP, GIF, MBM dan sebagainya. Format MBM adalah ‘format foto’ khas untuk sistem Symbian. Begitu juga dengan format video. Secara automatik, Symbian boleh membaca format MP4, 3GP, WMV, RM dan AVI (DIVX, XVID). Tetapi Symbian tidak boleh membaca format MKV, MPG dan FLV. Untuk membolehkan Symbian membaca format-format ini, CODEC (compressor-decompressor) perlu di INSTALL kepada telefon Symbian. Contohnya untuk anda memainkan video FLV, anda perlu install EMTUBE atau MOBITUBIA kepada telefon anda kerana kedua-dua software ini memiliki CODEC FLV didalamnya. Hanya selepas itu barulah telefon anda boleh memainkan video FLV tadi.

17. Tolong ambil tahu (peduli) atau prihatin tentang telefon anda dan teknologinya.
– Ada orang benar-benar ‘appreciate’ teknologi telefon mereka manakala ada orang hanya menggunakan telefon untuk sms, panggilan dan kamera sahaja. Sepatutnya, anda perlu ‘explore’ segala yang ada pada telefon supaya anda tidak di tipu oleh orang lain – termasuklah anak anda!

18. Fahami resolusi skrin telefon anda, ini menjawab soalan mengapa game yang anda download tidak ‘fullscreen’.
– Apakah resolusi skrin bagi komputer? jawapannya 1024 x 768 pixels. Pada laptop pula – 1280 x 800 pixels. Resolusi telefon Sony Ericsson W960, Samsung Innov8 dan Nokia N96? Jawapannya 240 x 320 pixels. Tetapi resolusi untuk E71 pula adalah 320 x 240. Dan N80 pula 352 x 416. Perkara-perkara ini MESTI anda faham betul-betul sebelum anda kena tipu!

tips-07
19. Belajar menggunakan kamera dengan betul. Ambil tahu (peduli) apakah yang dimaksudkan dengan ‘Autofocus’, ‘Megapixels’, ‘Carl Zeiss’, ‘Macro Shot’, ‘Flashlight’ dan lain-lain.

– Ini ada kaitan dengan pengetahuan mengendalikan kamera dengan betul. Tahukah anda bahawa NOKIA merupakan penjual ‘digital camera’ terbesar di dunia walaupun tidak pernah mengeluarkan ‘digital camera’ berjenama NOKIA? Cuba mahirkan diri anda dengan kamera digital dahulu dan fahami selok-belok nya. Kemudian barulah anda dapati yang ‘kamera’ di telefon anda itu adalah sangat berharga!

20. Buatkan/Ciptakan SATU NOMBOR KECEMASAN pada ‘Contact Number’ atau ‘Phone Book’ anda.
– Ini sangat penting. Cuba letakkan nama ‘ISTERI’ dan bukannya ‘MAMA BOSAN’ atau ‘MY DARLING’. Ini kerana jika anda terlibat dalam kemalangan, maka orang lain mudah menghubungi keluarga anda. Bagi yang masih bujang, mungkin nama ‘ABANGKU’ atau ‘ABAH’ atau ‘BAPA’ boleh menggantikan ‘DADDY’ atau ‘BABAH’. Jika perlu, ciptakan WALLPAPER khas untuk telefon anda dan letakkan nombor-nombor ’emergency’ anda padanya.

21. Setkan PASSWORD untuk telefon anda. Tetapi jangan pula anda lupa password sendiri!

– Password penting kerana jika telefon anda hilang atau dicuri, maka pencuri itu tidak dapat menggunakan telefon anda. Gunakan juga perisian SEKURITY lain seperti ANTI-THIEF untuk ‘membosankan’ pencuri yang berkeliaran disekeliling anda.

22. Pasang perisian PERCUMA/GRATIS di telefon anda yang banyak terdapat di Internet. Download dan pindahkan ke telefon anda. Tetapi fahami FORMAT ‘installer’ iaitu JAR/UTZ/SIS dan SISX

– Sekali lagi, ini ada kaitannya dengan FORMAT FAIL. ‘Installer file’ untuk Symbian biasanya diakhiri dengan SIS atau SISX. Manakala JAR adalah format ‘java application’ yang juga boleh di ‘install’ pada telefon anda. UTZ pula adalah format THEME yang dikhususkan untuk Symbian UIQ3. Ini menjawab soalan mengapa VIRUS tidak boleh menyerang Symbian kerana VIRUS biasanya wujud dalam format EXE, MSI, COM dan DLL kerana semua format ini adalah untuk OS Windows!

23. Anda perlu berani mencuba (try) semua TEKNOLOGI yang wujud pada telefon anda seperti GPS, Bluetooth, WiFi, HSDPA, 3G, Accelerometer, VOIP (Skype), FM Transmitter, Modem dan lain-lain.

– Jangan takut untuk mencuba. Ia mungkin akan mengangkat anda menjadi wira. Cuba belajar bagaimana menggunakan FM Transmitter yang ada pada Nokia N79 atau Samsung i7110 anda. Selain itu, belajarlah menggunakan MODEM yang ada pada setiap telefon Symbian di Blog Symbian Malaysia.

Mungkin anda yang tergolong dalam kumpulan ‘OTAI’ Symbian ingin berkongsi tips-tips yang lebih maju dan memberangsangkan. Dengan ini saya mempersilakan anda untuk menokok-tambah apa-apa tips yang sesuai pada kiriman ini untuk kebaikan semua pembaca Bahasa Melayu di jagat dunia tanpa sempadan ini. Silakan… sila…

Mac 2, 2009

Tutorial: ‘Backup’ Semua No. Telefon Anda di GMAIL

Filed under: Tips Pengguna Symbian,Tutorial Symbian — adliayob @ 1:28 am
Tags: ,

gsync00

Apa yang paling berharga buat anda pada sebuah telefon bimbit yang anda miliki? Adakah ‘memory-card’? video-video peribadi? foto? mp3? sms? notes? atau phonebook?

Seperti biasa, phonebook merupakan jawapan lazim dan jika diberi pilihan, rata-rata tidak peduli jika memory-card hilang berbanding dengan ‘contact-numbers’. Ada banyak cara untuk ‘backup’ nombor-nombor kenalan, antaranya ialah-

  1. Tulis secara manual satu-per-satu no. telefon ke dalam sebuah buku.
  2. Gunakan perisian ‘sync’ atau ‘backup’ pada CD-Rom yang dibekalkan dalam kotak telefon. Biasanya semua no. telefon akan di ‘backup’ pada komputer.
  3. ‘Backup’ semua no. telefon kepada SIMCARD.
  4. ‘Backup’ semua no. telefon kepada memory-card.
  5. Simpan semua ‘contacts’ kepada telefon ke-dua atau telefon lama
  6. Atau mendapatkan perisian KHAS untuk ‘backup’ semua ‘phonebook’ anda!

Apa pula jika semua penyelesaian di atas TIDAK SEMPAT anda lakukan? Atau anda terlepas pandang atau peluang untuk berbuat demikian? Jangan risau! Kini semuanya akan diselamatkan.

Backup ‘Phonebook’ Melalui Akaun Email GMAIL Anda.

Sebelum anda melaksanakan arahan di bawah, anda PERLU memiliki akaun GMAIL anda sendiri. Selain itu, anda juga perlu mengetahui status ‘contacts’ yang ada pada telefon anda. Sila lihat gambarajah di atas untuk maksud lanjut.

Ok. Mari kita teruskan dengan ‘upacara’ backup kita!. Sila ikuti langkah-langkah di bawah ini:-

gsync01

gsync02

Bagaimana? mudah kan!. Jika anda mempunyai telefon Symbian WiFi, ini bermakna anda tidak perlu berbelanja untuk tujuan ini walau se-sen pun. Tetapi, jika anda menggunakan ‘line telefon’ (Gprs/ Edge atau 3G) ia akan memakan belanja lebihkurang RM1.00 ke RM 2.00 sahaja.

Tips ini sangat berguna jika anda menukar telefon baharu atau membeli telefon baharu. Ia juga sangat baik kerana data yang tersimpan di internet tidak akan rosak atau ‘tamat tempoh’. Apabila anda perlukan ‘contact-numbers’ anda semula – anda hanya ‘setting’ semula seperti langkah-langkah yang ditunjukkan dan ‘SYNC’ kepada akaun GMAIL anda. Dan semua ‘contacts’ akan dipindahkan kembali kepada telefon baharu tadi. Menarik kan?

(Nota: Google SYNC untuk UIQ3 akan menyusul kemudian. Harap anda bersabar…)

iklan-symbianku

Disember 31, 2008

Tips UIQ3 #2: Tips Pengguna UIQ3

Filed under: Masalah-Masalah Symbian,Tips Pengguna Symbian — adliayob @ 9:15 pm
Tags: ,

uiqtips1

Berikut merupakan tip berguna untuk UIQ3 (terutama model-model yang dinyatakan).

  1. Gunakan butang back (back-button) dgn betul. Tekan lama-lama butang ini untuk kembali ke standby screen.
  2. Gunakan butang pintas Speed Contact untuk membuat panggilan. Anda boleh gunakan butang 1-9 untuk kenalan yang anda biasa panggil.
  3. Tekan lama-lama butang Hash untuk silence – mod senyap (W950 & W960)
  4. Setkan 15 shortcut icons pada standby screen untuk arahan/perisian yg biasa digunakan. Saya cadangkan PhoneBook, Opera Mini (atau browser Opera), Messaging, File Manager, New Sms, Sound & Alerts, Calendar, Set Alarm, Bluetooth, Notes, Scribbler, Calculator dan Picture Gallery (pada telefon saya saya shorcutkan juga X-Plore)
  5. Kendalikan task-manager dengan cekap. Setiap program yang anda buka, ia akan ‘standby’ dan berselindung sebaik sahaja anda memulakan program yang lain. Perkara ini dikenali dengan ‘multitasking’. Perlu diingatkan disini, walaupun anda menekan butang ‘back’ untuk keluar dari satu-satu perisian, sebenarnya ia masih lagi aktif dan berselindung. Anda perlu gunakan ‘task-manager’, pilih perisian dan tekan ‘End’ untuk mematikannya.
  6. Terlalu banyak perisian dibuka bermakna menggunakan ‘ram’ secara berlebihan. Ini akan menyebabkan telefon anda ‘hang’ atau ‘restart’. Perkara ini selalu terjadi pada SonyEricsson P990, M600 & W950 kerana model-model ini cuma terpasang 64mb ram sahaja.
  7. Ubah setting telefon untuk mendapatkan kuasa maksima bateri anda. Hanya gunakan wifi/bluetooth bila perlu.
  8. Klik pada ‘status-icon’ untuk bertukar kepada mod penerbangan (flight-mode).
  9. Untuk kelancaran uiq3 anda, dicadangkan supaya memasang perisian Swiss Manager, X-Plore, Scribbler, Opera Mini, Google Maps, Kamus Melayu-Inggeris, Quran (atau Bible), TouchCalc, World Mate & Time Blob.
  10. Untuk melihat status bateri, tap ikon bateri pada skrin (bersebelahan dengan task manager).
  11. Untuk w950, w960, g700 & g900 arahan ‘Enter’ adalah pada kekunci hash #, di tekan sebanyak 4kali.
  12. Jaga dengan baik ‘charger-port lebih-lebih lagi untuk model w950 & w960 kerana ia juga sebagai usb connector untuk phone memory anda. Berbeza dengan lain-lain model, ia tidak boleh dikeluarkan.
  13. Ikut arahan pada gambar untuk menjimatkan kuasa bateri supaya bertahan lebih 2 hari.
  14. Jaga dengan cermat skrin & stylus anda. Selalunya stylus untuk G900 & G700 sangat mudah patah dan mahal untuk dibeli semula. Lapik skrin dengan ‘screen protector’.
  15. Untuk terus menggunakan kamera, dari standby-screen, tekan lama-lama ‘camera button’.
  16. Selalulah menggunakan HELP dan baca betul-betul kandungan didalamnya.
  17. Pasang perisian Tweak Peaks v1.30 (atau lebih baik) untuk mengatasi kelembapan (slow & laggy) UIQ3 anda.
  18. Tukar bahasa telefon untuk kemudahan anda. Dapatkan cara-caranya DISINI
  19. Jika ada masa, dalami tips UIQ (bahasa Inggeris) DISINI

Itu sahaja untuk kali ini, Selamat Tinggal 2008 – Salam Hijrah 1430 / Selamat Tahun Baru 2009.

Disember 3, 2008

Tutorial: Wallpaper Symbian 9.x

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 5:43 pm
Tags: , ,

heroes-wall

Salah satu perkara yang melambangkan kesombongan melampau pemilik telefon Symbian adalah wallpaper. Ini disebabkan oleh keluasan skrin yg terdedah kepada khalayak ramai bila setiap kali ‘standby-screen’ diaktifkan. Maka pemilik akan menayangkan gambar atau grafik yang ‘mengancam’ sehingga mampu menarik perhatian umum. Masalahnya – wallpaper Symbian sukar di cari di internet (bukan seperti wallpaper komputer) dan mempunyai dimensi saiz yg berbeza jika hendak menciptanya.

Seperti yang telah diketahui, ada 2 platform berbeza pada OS Symbian versi 9.x iaitu S60 dan UIQ. Menariknya kedua-dua platform berkongsi saiz skrin yang sama pada kebanyakan model iaitu 240×320 pixel. Saiz ini dikira standard walau kepada model terbaru seperti Samsung INNOV8, i7110, Nokia N96, N85, N79 dan Sony Ericsson G900, G700.

Tutorial pada kali ini akan memberikan penerangan bagaimana untuk mencipta wallpaper anda sendiri. Bagaimanapun, tutorial ini tidak dapat diaplikasikan terhadap model-model seperti E70/N80 (352×416 pixel), Skrin Dalaman E90 (800×352 pixel), dan N91 & 3250 (176×208 pixel) kerana model-model yang disebutkan mempunyai keluasan skrin yang sangat berbeza.

Berikut merupakan cara-cara untuk mencipta grafik wallpaper anda sendiri.

1. Anda mestilah memasang terlebih dahulu perisian graphic-editor pada komputer anda seperti Adobe Photoshop, GIMP, CorelDraw atau Paint Shop Pro. Jika anda tidak mempunyai software seperti yang dinyatakan, sila download perisian GIMP disini.

2. Ciptakan satu segiempat bersaiz 240×320 pixels. Ini adalah saiz skrin telefon anda. Semua unit ukuran untuk wallpaper adalah pixel.

3. Kemudian sesuaikan gambar-gambar, foto atau sebarang grafik mengikut acuan saiz tadi.

4. Untuk S60, olah grafik mengikut gambarajah yang tertera diatas. Perhatikan ia mempunyai ‘Visible Graphic Area’ dan grafik yang bakal terpapar pada skrin MESTILAH berada dalam kawasan ini (kawasan berwarna UNGU). Kawasan merah pada bahagian atas dan bawah skrin tidak akan terpapar. Ini bermaksud jika anda melakar grafik pada bahagian ini, grafik anda akan ditutup oleh THEME yang anda aktifkan.

5. Begitu juga dengan UIQ. Lakarkan grafik anda pada kawasan UNGU seperti yang ditunjukkan. Kawasan terpapar (visible graphic area) UIQ adalah lebih luas dari S60.

6. Pastikan ‘Visible graphic area’ untuk setiap penciptaan di buat dengan betul. Jika grafik anda tersasar dari kawasan (ukuran) ini, maka sia-sia sahaja. Perhatikan juga bagaimana ‘kawasan hitam HEROES’ dan ‘URL Blog Symbian Malaysia’ akhirnya tidak terpapar pada skrin kedua-dua S60 dan UIQ.

7. Setelah anda berpuas hati dengan penciptaan anda, sila EXPORT (atau Save As) grafik anda kepada salah satu format berikut: JPG, GIF, PNG atau BMP. Saya menyarankan agar anda menyimpan dalam format PNG kerana ia tidak akan mengurangkan mutu grafik.

8. Kemudian hantar hasil grafik anda kepada telefon. Jika anda menggunakan Bluetooth, ia akan terpapar dalam ‘inbox’ pada messaging menu. Buka grafik dan SAVE (penting!). Kemudian anda boleh terus menukar wallpaper telefon anda (samada terus dari inbox atau dari gallery).

9. Semua grafik yang anda ciptakan (tidak kira JPG, BMP, GIF atau PNG) akan automatik bertukar kepada format MBM pada telefon Symbian. MBM adalah format grafik untuk Symbian.

10. Nota kepada pemilik Symbian 9.1 platform S60: Sila gunakan grafik pada acuan 240×235 pixel untuk mencipta wallpaper anda.

Wallpaper Heroes.

Salah satu cerita fiksyen yang saya ikuti ialah Heroes. Cerita ini diolah dengan amat baik sekali. Ia menggabungkan plot penceritaan ala komik, anime Jepun dan drama Amerika (yang selalunya ber’season’). Buat masa sekarang, Heroes telah masuk season ke-3 dan sebanyak 10 episod telah berjaya di pindah-turun ke laptop saya.

Kepada yang masih belum menonton Heroes walaupun satu episod, maka anda adalah dinasihatkan agar JANGAN MENCUBA untuk mengikutinya kerana khuatir anda bakal dijangkiti penyakit insomnia, hilang tumpuan, penyakit kuku & mulut (untuk perokok tegar) dan sakit jiwa kronik kerana cerita ini mempunyai elemen ketagihan luar biasa. Manakala penyakit berkhayal ‘macam ada power sendiri’ akan menyusul kemudian secara berperingkat-peringkat.

Dua minggu kebelakangan ini saya agak sibuk dengan pelbagai tugasan internet dan multimedia. Namun saya sempat juga melakar beberapa grafik wallpaper UNTUK S60-3rd EDITION berdasarkan ‘artwork’ siri Heroes (dari Season 1 hingga Season 3). Memang terdapat beberapa ‘spoilers’ pada penciptaan grafik ini (lebih-lebih lagi kepada yang menonton siri ini di TV3). Jadi harap bawa bersabar dan jangan persoalkan saya tentang spoilers ini.

Untuk mereka yang masih mabuk dan mempunyai telefon Symbian S60-3rd, silalah ubati penyakit anda dengan men’download’ 18 wallpaper ekslusif HEROES hadiah dari Blog Symbian Malaysia.

Klik SINI untuk DOWNLOAD Wallpaper S60 3rd Edition (Symbian 9.2/9.3)

Klik SINI untuk DOWNLOAD Wallpaper S60 3rd Edition (Symbian 9.1)

heroes-wall-s602

psst: Tak guna anda klik kanan dan ‘save’ gambar yang tertera diatas kerana ia tidak dicipta untuk telefon anda. Sebaliknya KLIK pautan yang disediakan (sebelum/diatas gambar) untuk ‘download’ wallpaper ini.

Oktober 31, 2008

Tips UIQ3 #2 – 10 Freeware Untuk UIQ3

Filed under: Tips Pengguna Symbian — adliayob @ 2:48 pm
Tags: ,

Pada 28/10/2008 yang lalu saya pergi memancing di Tampi-Tampi, Semporna, Sabah dengan adik saya. Kami mula memancing dari jam 7.00 hingga 10.30 malam. Tidak sampai 10 minit, saya berjaya menaikkan ikan jenahak (kutambak) bersaiz tapak tangan. Tetapi malam itu bukan milik saya, kerana adik saya berjaya menaikkan ikan pari bintik sebesar 4 tapak tangan lebih kurang 3.5 kilogram. Dari riak wajahnya ternyata dia puas setelah bertarung dengan pari tersebut selama 22 minit. Setelah selesai memancing, kami ke sebuah restoran untuk minum dan WiFi.

Memancing merupakan satu ujian kesabaran untuk seorang manusia. Dalam aktiviti memancing, kita sebenarnya dapat mengenali rakan-rakan kita. Ini kerana bukan semua orang bernasib baik seperti adik saya. Ada kalanya setelah 5 jam memancing akhirnya pulang tangan kosong. Ada juga yang akan menceritakan segala masalah hidupnya tatkala menunggu umpan disambar ikan. Ada juga yang akan hilang sabar dan mengamuk tidak tentu pasal. Macamlah laut tu dia punya. Kadang-kadang jika dapat kawan seperti ini, mahu saja saya tunjukkan jari tengah kepadanya. Memancing bagi saya adalah masa untuk mengenali diri sendiri dan bertukar-tukar fikiran sesama rakan. Pada malam itu kami bercakap-cakap mengenai Sony Ericsson G900 yang dibelinya pada Hari Raya baru-baru ini.

Soalannya mudah sahaja, ‘Tiadakah perisian percuma yang boleh dimasukkan ke dalam G900 ini?’. Memang itu kebiasaan orang yang memakai Symbian. Jadi disini saya akan berkongsi dengan anda 10 perisian percuma yang boleh dipindah-turun (download) dari internet khusus untuk telefon Symbian UIQ3:

1. Opera Mini

Secara default (automatic), setelah kita membeli sebuah telefon UIQ3, pelayar Opera Mobile versi 8.65 akan berfungsi sebagai ‘Web Browser’nya. Namun selalunya kita tidak merasa puas kerana ia tidak setanding dengan ‘Web Browser’ komputer atau laptop kita. Kini masalah ini selesai! Memperkenalkan OPERA MINI untuk UIQ3. Satu ‘Web Browser’ yang sangat baik, laju, selesa dan yang paling penting menawarkan pengalaman web setanding laptop. Setiap laman web akan dibuka mengikut ukuran sebenar dan pengguna boleh ‘zoom-in’ untuk pembacaan yang lebih jelas walaupun skrin anda hanya sebesar 2.4 inci. Kemudian anda boleh menggerakkan skrin (yang telah di ‘zoom’ tadi) menggunakan jari anda sahaja. Selain itu, dengan Opera Mini pengguna boleh ‘download’ sebarang data dan juga ‘log-in’ ke sebarang web yang memerlukan ‘user-name’ dan ‘password’.

2. Google Maps

Biasa dengan Google Earth pada komputer anda? Ingin menyaksikan peta jalanraya untuk mencari alternatif bagi mengelak kesesakan atau lari dari polis? Ingin mencuba GPS yang tersedia pada telefon anda? atau hanya sekadar menikmati WiFi sambil berlagak sombong dengan UIQ3 mencari gambar satelit dan kemudiannya menayangkan kepada awek (cewek) di sebelah tempat duduk dan seterusnya dia mengagumi anda dan berkata ‘Wow! hebatlah U!’? Semua aktiviti yang disebutkan di atas dapat anda laksanakan dengan GOOGLE MAPS untuk UIQ3. Sesiapa sahaja yang saya demonstrasikan perisian ini akan berasa kagum kerana kita seolah-olah mengawal satelit dari telefon bimbit. Yang paling menarik ialah perisian ini percuma!

3. WorldMate

Anda adalah seorang yang sangat berjaya! Dalam seminggu hidup anda berada diawan biru. Isnin di Kuala Lumpur, Rabu di Jakarta dan Jumaat di Manila. Pada malam Ahad anda berada di Singapura berbincang tentang bisnes bersama klien-klien anda. Masalah anda ialah: Bagaimana saya ingin mendapatkan nilai semasa tukaran mata wang? Apakah perbezaan zon waktu nyata Kuala Lumpur dan Jakarta? Berapakah nilai tukaran 100 Hektar kepada Ekar? (kerana ladang sawit anda berada di seluruh Nusantara) atau berapakah saiz kasut mengikut ukuran USA? Semua ini akan terjawab jika anda memasukkan perisian WORLDMATE ke dalam telefon UIQ3 anda.

4. TouchCalc

Perisian ini lebih mudah dari ‘Calculator’ yang sedia ada. TOUCHCALC menggunakan keseluruhan skrin telefon dan melakar bebutang nombor bersaiz besar yang sangat selesa disentuh dengan jari.

5. Anfy Callfilter

Anfy Callfilter mampu menjadi sahabat setia untuk menapis segala sms, mms dan panggilan telefon yang mengganggu keamanan anda. Perisian ini sangat sesuai digunakan oleh golongan selebriti, karyawan, ahli politik atau sesiapa sahaja yang mahu lari dari panggilan Ah-Long! Jika sesiapa sahaja yang menelefon, talian anda tetap berada diluar kawasan!

6. Swiss Manager

Perisian penting kepada pemilik UIQ3. Ia merupakan task manager, file manager, system information, ram defragmenter dan akan memastikan sistem berada dalam keadaan optimum tanpa masalah ‘hang’, ‘restart’ atau penyakit ‘dump-file created’. Kepada pengguna Sony Ericsson P990, W950 dan M600, saya sangat menyarankan perisian ini kerana secara semulajadi, RAM anda sangat kurang (64Mb) berbanding P1i, W960 dan G900 (128Mb).

7. TimeBlob

Satu masalah kepada pengguna UIQ3 adalah JAM. Memang benar, jam terpapar di ‘standby-screen’ telefon anda, tetapi sebaik anda memulakan perisian yang lain, maka jam tidak akan kelihatan. Selalunya, anda terpaksa ‘minimize’ perisian tersebut dan kembali ke ‘standby-screen’ hanya untuk melihat waktu. Dengan TIMEBLOB masalah ini selesai. TimeBlob akan memaparkan jam kecil di kawasan ‘task-bar’ dan ia sentiasa wujud pada mana-mana perisian. Selain itu, anda juga boleh menyeret jam ini untuk mengalihkannya jika ia mengganggu pandangan. Satu perisian yang kecil tetapi sangat bernilai bagi mereka yang menghargai waktu kerana demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian!

8. DIVX Player

Hampir semua orang yang memiliki telefon S60 mahu berkongsi video ‘SmartMovie’nya kepada anda. Malangnya setelah dihantar melalui Bluetooth, video tersebut tidak dapat dimainkan. Begitu juga dengan fail-fail video avi dan divx yang terdapat dalam komputer anda. Semuanya tidak dapat dimainkan apabila dipindah ke telefon UIQ3 anda. Saat ini anda memerlukan DIVX Player. DIVX player dapat memainkan fail video XVID, DIVX, SmartMovie dan AVI pada telefon anda. Satu perisian yang sangat diperlukan tatkala video yang berwarna-warni itu berjaya dipindahkan ke telefon anda!

9. Mobipocket Reader (MobiReader)

Perisian ini bertindak sebagai ‘ebook-reader’ yang sangat efektif sekali. Ia mampu membaca format PDB, PRC, HTM, HTML atau lain-lain format e-book. Dengan terdapat lebih 100 tajuk e-book percuma di internet, kini anda boleh ‘download’ dan terus membacanya di telefon untuk membunuh waktu perjalanan KTM komuter dari Rawang ke Seremban. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk cuma sekadar memenuhi pesan guru sekolah anda yang sentiasa bising mengingatkan supaya rajin membaca. Maka BACALAH dengan nama tuhanmu yang maha mencipta!

10. GDesk

Ingin menukarkan rupa bentuk skrin telefon UIQ kepada Windows Vista? Atau sememangnya anda seorang yang misteri kerana setiap hari menukar ‘standby-screen’ (atau UI) telefon hanya kerana meraih perhatian orang lain terhadap anda? Kini anda tidak perlu bersusah payah menukar themes atau mengupah orang lain untuk memastikan yang skrin P1i anda berubah bentuk dan tidak lagi sama dengan P1i musuh anda di pejabat. Masukkan sahaja GDESK ke telefon anda dan semua orang akan bertanya… ‘Sony Ericsson P1i kau ni pakai Windows ya?’

Demikianlah tadi 10 perisian percuma mengikut pilihan saya yang sangat penting untuk UIQ3. Selain dari 10 perisian yang dinyatakan, ada lagi perisian lain seperti:-

  • The Open Screen Capture (Untuk menangkap skrin pada UIQ3)
  • GView (Photo Browser – Menggantikan ‘Picture Viewer’ pada UIQ3)
  • Fring (Social Networking Software & VOIP Telephone – Sama seperti Yahoo Messenger)
  • FreeRange (Pembaca RSS (RSS Feed/ Reader))

Mungkin anda juga mempunyai pandangan sendiri mengenai perisian percuma UIQ3. Sila utarakan sebarang komen, pandangan atau tanggapan anda disini untuk sama-sama berkongsi dengan pengguna yang lain.

Oktober 27, 2008

Cakap-Cakap: Kesedaran Teknologi Telefon Bimbit Di Kalangan Kita

Sebelum saya menerangkan lebih jauh mengenai Symbian, mari kita lihat sejenak kesimpulan (summary) yang kita telah ketahui setakat ini. Apa yang tercatat disini amat penting kerana selepas ini kita akan dalami secara teknikal tentang Sistem Operasi Symbian.

Malaysia merupakan sebuah negara yang dinamik, berdaya-saing dan sentiasa mengikut trend terkini. Komposisi kaum penduduk Malaysia menunjukkan yang bangsa Bumiputera (Melayu, Sub-Group Melayu, Peribumi) mendominasi lebih 52% daripada jumlah 27 juta penghuninya. Selebihnya dipenuhi dengan lain-lain warganegara seperti kaum Cina, India, Benggali, Peranakan, Inggeris, Siam dan lain-lain. Disebabkan kestabilan politik yang baik dan sikap toleransi antara kaum yang dipegang sejak merdeka, kini Malaysia boleh berbangga dengan pelbagai kejayaannya.

Multimedia Super Corridor sebagai contoh, telah meletakkan Malaysia sebagai hub IT (Gerbang Teknologi Maklumat) yang terkandung didalamnya pelbagai falsafah, inkubator, R&D, syarikat teknokrat dan yang paling utama kemudahan infrastruktur kelas 1 setanding lain-lain negara maju. Namun jika dikecilkan sedikit kepada sektor telekomunikasi, jelas menunjukkan yang rakyat negara ini kurang kesedaran dan kadang-kala menjadi pengikut trend tanpa menyelidik atau berfikir mengenainya.

Saya ingin berbicara tentang segmen telekomunikasi – lebih tepat lagi menjurus tentang teknologi telefon bimbit. Jika terdapat beberapa perbandingan dengan rakyat di negara lain, saya dahulukan dengan memohon maaf kepada anda pembaca budiman. Kadangkala jika kita tidak pernah keluar negara atau berhijrah ke lain-lain tempat didunia, sememangnya kita merasakan ‘kepompong’ yang kita huni amat baik dan selesa sekali.

Awal pertengahan tahun 1980-an, ATUR dengan spektrum 450MHz dilancarkan dan serentak dengan itu telefon bimbit berjenama Benefon, Nokia dan Motorola mendominasi pasaran. Tidak lama kemudian ART 900 diperkenalkan maka muncullah syarikat TELCO seperti CELCOM dan MOBIKOM. Pada masa itu siapa yang tidak kenal dengan NEC PRIMERO dan MOTOROLA MICROTAC?

Pada hujung 1990-an revolusi GSM telah menyaksikan yang telefon bimbit perlu dimasukkan SIMCARD untuk pengaktifan dengan 3 pilihan prefix (010, 019, 012). Seingat saya pada 1997 Telefon Motorola StarTAC, Nokia dan Ericsson menjadi ikon terbaru untuk ‘businessman’ dan penggunaan telefon bimbit kini lebih meluas. Namun hanya segelintir rakyat ‘berpendapatan tinggi’ mampu memiliki dan menguruskannya.

Tidak lama kemudian tiba pula zaman PREPAID. Ini menyebabkan Ericsson, Nokia, Motorola, Sagem dan Siemens berlumba-lumba memperkenalkan telefon bimbit mereka dan harga model-model telah jatuh di bawah RM1,000.00 untuk satu unit. Raja telefon bimbit masa itu adalah Nokia 3210, Ericsson T10, Motorola StarTAC X dan lain-lain. Pengalaman memiliki sebuah telefon bimbit pada masa ini merupakan yang paling indah walaupun hanya disediakan 1 ‘game’ iaitu SNAKE atau TETRIS.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi telekomunikasi di Malaysia, silakan klik: http://www.avaxx.com/aboutus/mobtech_box.htm

Jenama telefon semakin banyak. Sony, Nokia, Sagem, Panasonic, Nokia, BenQ, Siemens, Ericsson, Bosch, NEC, Pantech, GIO, Samsung dan LG makin menggila memperkenalkan model-model terkini untuk mendapatkan sedikit pegangan dalam ‘market-share’ yang semakin gawat. Tiba-tiba, sebuah konsortium diwujudkan pada tahun 1998 dan memperkenalkan OS (Sistem Operasi) yang dinamakan SYMBIAN sebagai teras sistem kepada model-model telefon bimbit masa depan. Ahli konsortium ini terdiri dari PSION, NOKIA, Motorola dan Ericsson.

Pada November 2000, telefon pertama Symbian – Ericsson R380 muncul dan dengan ini bermulalah anjakan teknologi telefon bimbit kepada lebih teknikal dan maju. Apa yang konsortium ini tidak ketahui ialah; dengan kelahiran Symbian – senario telefon bimbit bakal berubah kepada ‘mobile computer-powered multimedia device’ dan bukan lagi hanya sekadar sebuah telefon yang mampu mendail dan menaip pesanan ringkas sahaja.

Nokia N95 membuktikan teori ini. Ia dikenali sebagai ‘Nokia Multimedia Computer’ dan dilengkapi dengan lensa Carl Zeiss 5.0 Megapixels. Harganya sangat mahal. Kemudian ia dijadikan kayu aras (benchmark) kepada lain-lain model telefon hingga kini.

Apa yang tidak disedari oleh pengguna telefon bimbit di Malaysia ialah; Nokia N95 dikuasakan dengan OS Symbian 9.2 pada platform S60-3rd Edition. Berbanding dengan masyarakat Singapura dan Jakarta pada ketika ini, rata-rata lebih memilih OS berbanding MODEL pengeluar. Jika dikalangan mereka lebih selesa menggunakan PALM atau WindowsMobile selaku OS, maka Nokia N95 ini diketepikan dan tidak menjadi pilihan.

Symbian OS sejak dilancarkan dahulu mempunyai 3 platform utama iaitu S60, UIQ dan MOAP. Platform-platform ini seterusnya bertindak sebagai UI (User Interface) kepada teras sistem operasi (CORE) iaitu SYMBIAN. Apabila satu platform (S60) digunapakai terhadap 2 handphone, contohnya Nokia N95 dan Samsung G810, maka bebutang kawalan, tindakbalas pengguna, faktor mesra-pengguna (user-friendliness), perisian sumber-ketiga (3rd Party Software), Permainan (Games), pepijat (software-bugs), menu, kaedah menulis mesej sms dan lain-lain ciri (fitur) adalah SAMA. Ini tidak ubah seperti memiliki 2 buah laptop contohnya COMPAQ dan ACER dimana masing-masing dipasang dengan Windows XP sebagai OS-nya. Apa yang dipasang (Install) pada Nokia N95 (Contohnya perisian WorldMate) semestinya boleh dipasangkan ke dalam Samsung G810. Untuk itu mari kita perhatikan grafik dibawah dan membandingkan UI antara 2 telefon Symbian S60 ini:-

Nah! mari kita sekali lagi membandingkan antara Nokia E71 dan LG KT610 pula. Telefon-telefon ini menggunakan Symbian 9.2 sebagai teras dan S60-3rd Edition sebagai platform:-

Apa yang boleh disimpulkan disini ialah, semua grafik yang dipaparkan diatas menunjukkan yang ‘behaviour’ penggunaan telefon-telefon ini adalah SAMA dan SEIRAS. Namun sesetengah antara kita masih lagi mengatakan ‘saya tidak akan berubah kepada lain-lain jenama kerana sudah terbiasa dengan jenama sekarang’.

Saya memiliki 3 buah telefon S60 iaitu Nokia 3230, Panasonic X800 dan Samsung i450. Setiap kali saya tunjukkan telefon-telefon ini, pasti rakan-rakan akan bertanyakan ‘bagaimana engkau masukkan sistem Nokia kepada Samsung yang engkau pegang itu?’. Secara jujur, saya tidak pernah menukarkan mana-mana sistem telefon saya dan saya cuma ingin buktikan kepada mereka yang pada suatu masa nanti, boleh kata setiap model telefon yang bakal dijual berfungsi pada OS dan platform yang sama!.

Zaman telefon kita telah berubah daripada skrin 1 warna kepada 16 juta warna, dari monofonik kepada hi-fi, dari infra-red kepada WiFi dan dari 0.3 Mpix kepada 8.0 Mpix. Saya akui yang bukan semua orang mampu memiliki telefon-telefon canggih ini tetapi ramai juga yang mengumpulkan duit gaji, bonus dan simpanan untuk membeli sebuah telefon bimbit mahal yang hanya selepas itu menyesal kerana telefonnya cuma berfungsi tidak lebih dari menu-menu yang dipaparkan tanpa kebolehan untuk menerima perisian, games, themes, wallpaper dan peningkatan fungsi dari pihak luar. Akhirnya ia terkaku, terasa rugi dan menyesal lantas pergi ke kedai telefon berhampiran untuk ‘trade-in’ kepada model yang lebih baru. Kemudian sekali lagi ia menyesal apabila mengetahui yang telefon barunya kali ini tetap tidak sebanding dengan fungsi telefon bimbit rakan-rakannya. Maka berlaku lagi pembaziran kali ke-3. Dan kali ini ia tidak tersalah pilih, Nokia N95 sudah di tapak tangan. Cuma bezanya pada kali ini, dia tidak menghiraukan ‘buku panduan’ (manual) yang tersedia didalam kotak, dan apabila berlaku kerosakan kecil pada telefon, dia mempersalahkan pelbagai pihak. Akhirnya sekali lagi dia ke kedai telefon untuk menukarkan telefonnya kepada telefon biasa. Serik – itulah yang seringkali diucapkan dan dinasihatkan kepada rakan-taulan.

Kejadian ini menunjukkan perangai sesetengah kita yang mengabaikan ilmu pengetahuan. Seperti juga membeli peralatan elektrik yang lain, beribu-ribu wang dapat dijimatkan jika beliau bertanyakan kepada yang ahli sebelum membeli sebuah telefon bimbit. Begitu juga dengan buku manual yang tetap tersimpan rapi di dalam kotak. Alangkah baiknya jika kita membuat sedikit pembacaan dari ‘manual-book’ itu atau penyelidikan terhadap teknologi (sebaiknya dari sumber Internet) sebelum membuat sebarang pembelian?

Cerita ini saya dedikasikan kepada seorang rakan – En. ARIL yang berada di Seremban. Beliau sebelum ini menggunakan Nokia 1100 (hitam-putih, monofonik dan murah) sebelum benar-benar berjimat dan akhirnya kini memiliki Nokia N82 yang serba lengkap. Kelebihan Aril perlu dicontohi oleh lain-lain kerana beliau berusaha untuk belajar tentang ‘Symbian’ di Internet walaupun pertama kali membeli N82. Kemudian, beliau berusaha menarik perhatian saya untuk berjumpa beliau dan melaksanakan proses installasi software dan games pada telefon tersebut. Sekarang sememangnya Aril patut berbangga dengan usaha beliau kerana rakan-rakan sepejabat telah mula iri-hati, geram dan memendam-rasa terhadap N82 beliau yang telah dipertingkatkan.

Selain S60, platform komersil yang dihasilkan oleh Symbian ialah UIQ. Berbeza dengan S60, telefon UIQ berteknologi ‘touchscreen’ dan mirip kepada ‘PDA’. 2 syarikat yang mendominasi UIQ ialah Sony Ericsson dan Motorola. Untuk itu mari saksikan UI yang terdapat pada Sony Ericsson P1i dan Motorola Z8:-

Kedua-duanya tampak sama dengan cara kepenggunaan yang tidak jauh berbeza. Oleh kerana kedua-duanya dikuasakan dengan platform UIQ, maka ia sangat berbeza dengan golongan S60 yang kita bincangkan awal tadi. Platform UIQ pada Symbian diwujudkan untuk memberi pilihan kepada pengguna selain ianya agak teknikal berbanding S60. Keistimewaan ‘touchscreen’ pada UIQ memang memberikan pengalaman baru terhadap pengguna S60 yang berhijrah kepadanya. Saya tidak menafikan yang saya juga adalah seorang yang berhijrah dari S60 kepada UIQ. Kini terdapat 3 model UIQ dikalangan adik-beradik saya (W960, P1i dan G900) dan kami berasa bangga atas teknologi ini.

Langkah seterusnya untuk masa hadapan, Symbian hanya akan mengeluarkan 1 sahaja platform untuk model-model telefonnya. Ini bermakna tiada lagi S60, UIQ dan MOAP. Semuanya menggunakan 1 platform universal tidak kira jenama LG, Sony Ericsson, Samsung, Nokia atau Motorola. Sedikit bayangan platform ini terdapat pada model Nokia 5800 XpressMusic yang dilancarkan baru-baru ini. Ia dikenali sebagai S60-5th Edition dan mengadaptasi teknologi ‘touchscreen’ pada ‘user-interface’nya. Tetapi platform sebenar hanya diketahui 2 tahun lagi dan mungkin pada tahun hadapan Symbian-Foundation akan mengumumkannya.

Jika kita lihat pada 3 tahun yang akan datang, Symbian akan terus mendominasi pasaran telefon bimbit dunia. Akan muncul teknologi-teknologi baru seiring langkah kerjasama yang disaksikan oleh lebih 10 syarikat telekomunikasi di dalam yayasan Symbian. Pihak pengeluar, promoter (termasuk Blog Symbian Malaysia), pengedar dan penjual telefon Symbian akan meraih keuntungan berlipat ganda. Dikalangan pengguna pula hanya segelintir sahaja yang beruntung dan berbaloi kerana segolongan lagi masih menghabiskan wang tercari-cari telefon yang sesuai.

Artikel ini dikeluarkan sebagai ‘summary’ dengan tujuan untuk memberi pendedahan teknologi telefon khusus buat Sistem Operasi Symbian untuk tatapan anda. Ia juga diterbitkan untuk menghilangkan rasa skeptikal terhadap lain-lain model Symbian khusus dikeluarkan oleh Samsung, LG dan Motorola. Setiap pengguna telefon Symbian amat jarang bertukar model kerana mereka benar-benar mengetahui tentang ‘firmware-upgrade’, installasi software & games dan kebolehpercayaan Symbian merentasi masa. Contohnya telefon Nokia 3230 yang saya miliki pada 2004 hanya diketahui umum boleh digunakan sebagai modem broadband DIGI/CELCOM/MAXIS pada masa sekarang. Ini membuktikan kenyataan saya sebelum ini. Contoh lain, teknologi DLNA pada Samsung i7110/i8510 hanya akan digunakan secara meluas dalam 3 tahun yang akan datang kerana pada masa itu pengguna telefon ini mampu mengawal peralatan elektrik rumah (televisyen, radio, pendingin-hawa, mesin basuh dan sebagainya) hanya dengan satu klik ditelefon Symbian mereka!

Diharapkan tiada lagi rungutan dan komen ‘Saya tidak akan menggunakan lain jenama kerana sudah terbiasa dengan Nokia’. Setiap model yang di’review’ dalam blog ini bertujuan untuk membiasakan anda kepada persekitaran Symbian. Telefon LG-KT610, Samsung i7110, Samsung i450, Samsung i8510 dan Motorola Z8 tidak jauh berbeza dengan sebuah Nokia N95 yang ada dalam genggaman anda sekarang. Mungkin ada juga beranggapan yang saya memencilkan telefon Nokia kerana tidak pernah membuat sebarang prapandang terhadapnya. Jika kita dapat berfikir ‘keluar dari kotak’ (Out Of The Box) kita segera akan menemukan jawapannya. Wallahualam.

Klik untuk kronologi (sejarah) Symbian Ltd.
http://www.metalgrass.com/symbianinvestor/SymbHist.html

banner-anim0

Oktober 9, 2008

Tips UIQ3 #1 – Handwriting Recognition

Filed under: Tips Pengguna Symbian,Tutorial Symbian — adliayob @ 2:45 am
Tags: ,

Hmm… ramai bertanyakan kepada saya ‘apa gunanya ikon segitiga yg kerap muncul apabila mesej sms ditulis menggunakan UIQ3?’ Jadi di sini saya akan cuba berikan beberapa tips sebagai panduan pengguna UIQ3.

Symbian UIQ3 mempunyai kelebihan tersendiri berbanding S60 atau MOAP. Kelebihan ini terletak pada fungsi (fitur) touchscreen dan handwriting recognition yang tidak terdapat pada lain-lain platform. Biasanya pengguna UIQ amat jarang menggunakan kemudahan ini kerana sudah terbiasa dengan keypad (atau keyboard). Lebih-lebih lagi pengguna yang berhijrah dari S60 kepada UIQ – keadaan ini terasa janggal dan kadang-kadang diabaikan.

Apabila kita mula menulis sms, notes, alamat laman web dan ‘editing’ menggunakan QuickWord pada UIQ3, skrin UIQ3 akan bertukar secara automatik seperti gambarajah di atas. Satu segitiga akan muncul disebelah kanan (tengah) skrin sebagai penanda untuk kemudahan menulis. Anda boleh memerhatikan dengan teliti gambarajah diatas untuk mula mempelajari kaedah menconteng dengan ‘handwriting recognition‘ yang telah tersedia pada UIQ3.

Untuk lebih jelas, anda boleh klik pada gambarajah dibawah ini untuk panduan penulisan penuh contengan tangan UIQ3. Saya secara peribadi lebih gemarkan kaedah ini apabila saya mengarang menggunakan telefon Sony Ericsson W960 saya.

Itu sahaja buat kali ini dalam Tips UIQ3. Saya akan berikan lagi tips-tips yang bermanafaat untuk anda semua di masa akan datang.

Oktober 7, 2008

Cakap-Cakap: Sony Ericsson G900

Filed under: Cakap-Cakap Symbian,Prapandang (Reviews) — adliayob @ 4:00 am
Tags: ,

iklan-symbianku

Pernah dengar ungkapan begini “Luar Setinggan, Dalam Kondo”? Itulah yang boleh saya simpulkan apabila mencuba telefon Sony Ericsson G900 ini. Ianya kecil, tipis, tampak seperti telefon biasa. Sekali imbas – tiada istimewanya telefon ini, tetapi jangan tertipu kerana ia dikuasakan dengan OS Symbian 9.1 pada platform UIQ3.1 yang diperbaharui. Perhatikan gambar-gambar di bawah ini:-

Pada malam 29 ramadhan baru-baru ini, adik bongsu saya berbincang panjang mengenai model-model telefon Symbian yang patut dibeli olehnya bersandarkan spesifikasi seperti kamera 5Mpix, WiFi, ketahanan-buatan, sokongan maksima kad memori, saiz skrin dan nilai ‘glamour’. Akhirnya 4 model saya sarankan iaitu Samsung G810, Nokia N82, Nokia 6220 Classic dan Sony Ericsson G900 kepadanya. Pada keesokan harinya (30 ramadhan/ 30 okt) maka dengan rasminya adik saya memiliki Sony Ericsson G900 ini.

Berikut merupakan software dan games yang telah di’install’ pada telefon ini. Kesemua yang tertera dibawah beroperasi dengan baik – sama seperti Sony Ericsson W960 saya:

  • Scribbler (Perisian menconteng pada touchscreen)
  • AVG Security (Anti Virus)
  • DIVX player (Pemain media divx/xvid/smartmovie)
  • LCG Jukebox (Pemain audio MP3 yang hebat)
  • PD English-Indonesia Dictionary (Kamus Inggeris-Melayu)
  • XPLORE (Aplikasi pengurusan fail)
  • Google Maps dan Opera Mini.
  • Asphalt 2 3D
  • Ball Rush Aqua
  • Frozen Bubble
  • K-Rally
  • Skyforce Reloaded
  • Platypus (ya.. yang macam dalam komputer tu)
  • Psarakia

Secara keseluruhan, telefon ini amat baik sekali. Saya boleh katakan yang G900 memiliki kekuatan siri W (Walkman) dan K (Kamera) dari Sony Ericsson. Kekuatan bunyi yang dihasilkan adalah sama dengan kualiti W960, dengan opsyen ‘MegaBass’ turut disertakan dalam pemilihan ‘Equaliser’nya. Namun, jika bertarung dalam segmen kualiti gambar, G900 gagal menyaingi K850i yang dikuasakan dengan teknologi ‘CyberShot’. Cuma kelebihan kamera G900 terletak pada ‘menu’ yang boleh disentuh (touchscreen menu) dan saiz gambar yang besar (5Mpix). Pada penggunaan awal telefon ini, adik saya merungut kerana baterinya hanya bertahan selama 6jam sahaja – tetapi setelah di’setting’ dengan betul, ketahanan bateri semakin baik dan kini beliau perlu mengecas bateri G900 setiap 2 hari (48jam).

Semua theme yang tersedia untuk Motorola Z8/Z10, Sony Ericsson P1i dan Sony Ericsson W960 berfungsi dengan baik apabila dipasangkan ke telefon ini. Selain itu ia juga dilengkapi dengan fungsi ‘TORCH’ (lampu suluh), Image Gallery yang baru dan menyokong seretan jari (sama seperti iPhone) dan ‘interface’ Walkman yang sama seperti W960.

Ada satu perkara yang menarik pada telefon ini dimana ia menyokong perisian java games yang dikhususkan untuk S60-3rd Edition (tidak semua) seperti Abracadaball dan Street Fighter II. Ini disebabkan oleh kemunculan ‘D-Pad’ 5 arah yang secara langsung membuang ‘Scroll-Wheel / Jog-Dial’ dan memudahkan penggunaan tanpa ‘stylus’. Telefon ini mampu digunakan tanpa banyak bantuan ‘stylus’ dan beroperasi dengan baik jika dikendalikan hanya dengan satu tangan. Ini menyebabkan ia amat sesuai untuk pengguna UIQ3 yang baru tanpa perlu bersusah-payah mendalami UIQ3 yang agak ‘teknikal’ berbanding dengan S60-3rd Edition.

Keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan telefon ini. Anda boleh selidiki dengan lebih mendalam tentang G900 pada pautan di bawah ini. Dengan saiz yang kecil (lebihkurang sama dengan N78 dan 6220 Classic), kamera 5Mpix (paling tipis dalam kelas Symbian), touchscreen dan kuasa Symbian UIQ3 saya tidak dapat menolak yang telefon ini bakal menjadi pilihan utama dan barangkali terjual melebihi Sony Ericsson P1i.

banner-anim0

September 20, 2008

TOPIK #008 Symbian UIQ

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 6:22 am
Tags: , , ,

Sejak dari mula saya menulis di blog ini, saya selalu tekankan tentang kepenggunaan dan keistimewaan S60 sahaja. Dalam erti kata lain… ini tidak adil! Jadi, saya akan mulakan dengan memperkenalkan satu lagi platform Symbian iaitu UIQ.

UIQ (User Interface Quartz) merupakan salah satu antara 3 platform utama Symbian. Ia dibangunkan oleh Syarikat UIQ Technology yang berpangkalan di Ronneby, Sweden. Pada peringkat awal penubuhannya, ia hanyalah satu ‘facility’ (kemudahan makmal) R&D untuk kerja-kerja kajian telefon masa hadapan milik Syarikat Ericsson. Sebenarnya dari makmal inilah terhasilnya teknologi Bluetooth yang kita sedang nikmati pada hari ini.

Pada tahun 1998 sebuah makmal milik Ericsson Mobile Communications telah dibuka di Ronneby dan dinamakan ‘Mobile Applications Lab‘. Kemudian pada 1 April 1999 makmal ini menjadi sebahagian dari Symbian Ltd dan sejak itu ia memberikan fokus berkaitan ‘User Interface’ berasaskan pena (pen-based communicator) iaitu QUARTZ 6.0 yang kemudiannya dikenali sebagai UIQ. Kemudian pada tahun 2002 UIQ telah melancarkan telefon pertamanya iaitu Sony Ericsson P800.

Berikut merupakan gambarajah pengeluaran model-model UIQ (klik untuk lebih jelas):

Baik, mari kita perhatikan ciri-ciri khas dan keistimewaan Symbian UIQ:

  1. Keistimewaan utama UIQ berbanding S60 ialah- Platform UIQ menyokong teknologi TOUCHSCREEN dan keypad. Ini menyebabkan ia tampak canggih kerana setiap ikon dan pilihan menu dapat anda sentuh dengan jari atau menggunakan ‘stylus‘.
  2. Untuk proses input data, anda boleh memilih samada menggunakan hand writing recognition (tulisan tangan), on-screen keyboard atau keypad.
  3. Berbanding dengan S60, UIQ adalah lebih teknikal dan fleksibel. Seseorang yang telah lama menggunakan S60 akan berasa janggal dan kekok terhadap UIQ buat sementara waktu kerana persekitaran pengguna (user-interface) yang amat berlainan.
  4. UIQ merupakan perintis kepada pelbagai teknologi Symbian seperti: (a) Yang pertama menggunakan TOUCHSCREEN pada Symbian, (b) Pertama menyediakan kemudahan pelbagai INPUT-MASUK sama ada dengan touchscreen, keyboard atau keypad (atau dengan kesemuanya sekali), (c) Yang pertama menggunakan teknologi Bluetooth, telefon berkamera, pengecaman tulisan tangan dan dua GUI dalam satu (Sony Ericsson P800 – Buka flip untuk menukar kepada mod touchscreen, tutup flip untuk menggunakan keypad sahaja).
  5. UIQ pada Motorola A925 dan A1000 merupakan telefon yang pertama Symbian yang menggunakan 3G, GPS dan WiFi.
  6. Merupakan yang pertama menggunakan teknologi ‘Business Card Scanner’ (P990) dan ‘Push-Email’ (P910).
  7. Nokia 6708 merupakan telefon Nokia pertama menyediakan kemudahan dwi-input iaitu touchscreen dan keypad. Telefon ini dikuasakan dengan Symbian 7.0 platform UIQ 2.1
  8. Apabila mengunakan ‘Web Browser’ untuk melayari Internet, UIQ3 menyediakan kemudahan yang sangat baik dan mampu untuk setanding dengan komputer biasa. Namun pengguna perlu memasang dua perisian iaitu OPERA MINI dan OPERA 8.65 (biasanya sudah terpasang pada P1i dan W960) pada telefon UIQ3. Opera mini boleh di pindah-turun (download) secara PERCUMA/Gratis di sini -> http://www.operamini.com/download/pc/sonyericsson/sonyericsson_p1/ (sila pilih bahasa, (Bahasa Melayu pun ADA!) kemudian download fail opera-mini-advanced.jar). Fail ini sesuai untuk semua telefon Symbian UIQ3.
  9. Pengguna UIQ3 boleh terus menconteng segala nota dan idea terus ke skrin telefon. Ia boleh diibaratkan sebagai ‘whiteboard’ dan anda boleh simpan catatan anda dalam pelbagai format – contohnya *.bmp
  10. Sama seperti S60, telefon UIQ boleh dipertingkatkan fungsinya dengan memasang perisian dan games (terdapat lebih 500+ tajuk di pasaran) di internet (handango dan my-symbian). Selain itu pengguna tidak berasa ‘ketinggalan zaman’ kerana UIQ yang baru membenarkan ‘firmware-update’ terus menggunakan USB data cable dan komputer peribadi.
  11. Kesemua model UIQ terpasang MODEM (built-in). Sebagai contoh, saya ‘upload’ laman blog ini dan masuk ke internet menggunakan DIGI broadband (data sim only) dan Sony Ericsson W960i. Saya sambungkan telefon ini dengan bluetooth kepada laptop saya kemudian dail DIGINET dan terus log-in ke internet. Tidak perlu USB-modem atau lain-lain wayar yang berselirat.
  12. UIQ mudah diselenggarakan – ini bermaksud jika berlaku sebarang kerosakan pada perisian asal, telefon UIQ mudah untuk DIFORMAT semula. Proses ini tidak memerlukan sambungan kepada komputer kerana ROMnya sudah tersedia pada ‘badan’ telefon (terdapat ROM chip pada telefon yang menyimpan OS asas).
  13. Kesemua telefon UIQ dapat menjalankan perisian Java J2ME dengan baik kerana integrasi yang kuat diantara pengeluarnya iaitu Symbian Ltd dan pengeluar Java iaitu SUN Microsystem.
  14. Integrasi terbaik dengan penyedia talian untuk khidmat multimedia seperti gprs dan mms! Jika tidak terdapat model telefon anda pada operator telco, anda boleh download setting UIQ yang lain untuk GPRS, WAP dan MMS telefon anda (contohnya Motorola Z8 – boleh gunakan setting Sony Ericsson P1i/W960/M600 atau P990i).
  15. Mempunyai butang ‘Task-Manager’ yang unik (seperti butang Ctrl-Alt-Del pada komputer Windows) untuk kemudahan ‘Multitasking’ dan penyelenggaraan OS dan RAM.

Berikut merupakan laman rujukan untuk UIQ:

Berikut merupakan model-model telefon Symbian UIQ – sila klik untuk lebih jelas:

Setakat ini dahulu sebab sekejap lagi saya hendak ke airport untuk pulang berhari-raya ke Seremban, Negeri Sembilan. Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca laman blog ini.

September 10, 2008

TOPIK #007 Menyambung Ke Internet dengan Symbian (Celcom Broadband)

Selamat Berpuasa diucapkan kepada semua yang berpuasa di bulan Ramadhan Al-Mubaraq ini. Kepada yang tidak berpuasa, bila hari raya nanti, macam biasa – buat-buat sahaja seperti orang lain dan jangan malu-malu menjamah juadah yang disediakan hehehe.

Sejak buat topik DiGi Broadband pada bulan lepas, ramai juga yang bertanya tentang setting broadband yang lain. Kali ini saya dedahkan pula setting CELCOM brodband untuk kedua-dua S60 dan UIQ3. Kalau ada rezeki, saya akan paparkan pula setting MAXIS broadband. Tapi masalahnya, setakat ni, saya baru dapat mencuba 2 telco sahaja. Mungkin dalam masa terdekat ini saya pinjam sekejap MAXIS DATA SIMCARD kawan baik saya untuk tujuan yang sama.

Baik, kepada sesiapa yang masih keliru tentang setting GPRS, MMS dan 3GWAP disini saya berikan sedikit tips untuk setting telefon symbian anda.

Untuk Symbian 9.1/9.2/9.3 platform S60 3rd Edition:

MAXIS: Taip (buatkan sms) 3GWAP jarak JENAMA jarak MODEL dan hantar ke 22333. Setelah itu simpan Setting. Untuk 3GMMS pula taip 3GMMS jarak JENAMA jarak MODEL dan hantar kepada 22333. Pasword lalai (default) adalah 0123. Contohnya: Taip 3GMMS NOKIA N73 dan hantar ke 22333. Untuk jenama SAMSUNG dan LG, sila gunakan model Nokia N95. Contohnya jika telefon anda SAMSUNG i550w – Taip 3GMMS NOKIA N95 dan hantar kepada 22333. Ini kerana semua model Symbian jenama Samsung dan LG menggunapakai OS yang sama dengan Nokia N95 (Symbian 9.2). Untuk bantuan taip GPRS Nokia N73 dan hantar ke 22333. Anda akan dapat mesej ralat (kesilapan) dan MAXIS akan membantu anda.

DIGI: Taip *128# (bintang 128 hash) dan tekan butang CALL (Hijau). Pilih Menu 6 (Khidmat Mudah Alih) – Pilih Menu 1 (GPRS) – Pilih Menu 2 (Persediaan Telefon) – Masukkan MODEL telefon (Contohnya N73) dan sejurus kemudian anda akan mendapat setting telefon anda. Untuk telefon Symbian jenama SAMSUNG dan LG lakukan perkara yang sama cuma masukkan model N95 dan kemudiannya simpan setting. Contohnya jika menggunakan telefon SAMSUNG G810 – masukkan model N95 (kerana N95 dan G810 menggunakan OS yang sama iaitu Symbian 9.2).

CELCOM: Taip gprspre (untuk prepaid) dan hantar ke 95000. Taip gprspost (untuk postpaid) dan hantar ke 95000. Cara lain – dail nombor 1111 untuk mendapatkan setting 3G. Untuk telefon jenama Samsung dan LG sila gunakan setting Nokia N95. Ini kerana semua model Symbian jenama Samsung dan LG menggunapakai OS yang sama dengan Nokia N95 (Symbian 9.2).

Untuk Symbian 6.1/7.0/8.0/8.1 platform S60 1st dan 2nd Edition:

Semuanya adalah sama seperti diatas cuma kepada yang mengunakan telefon Symbian jenama PANASONIC/ SIEMENS/ SAMSUNG/ SENDO/ LENOVO sila gunakan setting NOKIA 3660 (untuk Symbian 6.1), NOKIA 6600 (untuk Symbian 7.0/7.0s) atau NOKIA 6630 (untuk Symbian 8.0/8.1). Kalau ikut pengalaman saya untuk model Panasonic X800 anda boleh juga menggunapakai setting Panasonic X700 untuk setting GPRS dan MMS.

Untuk Symbian UIQ/ UIQ3

Semua setting adalah sama seperti diatas cuma gunakan MODEL Sony Ericsson P910 (Symbian 7.0 UIQ 2 – juga untuk jenama ARIMA/MOTOROLA/FOMA M1000/NOKIA 6708) dan MODEL Sony Ericsson P1i (Symbian 9.1 UIQ3 – juga untuk model-model MOTOROLA Z8/Z10, Sony Ericsson P990/M600/w950/w960/G900/G700)

Untuk mendapatkan kesemua setting syarikat telekomunikasi Malaysia (MAXIS/DIGI/CELCOM) sila download PDF dibawah INI:

https://adliayob.files.wordpress.com/2008/09/malaysian-telco-internet-setting.pdf

Baik, berikut merupakan setting INTERNET Celcom Broadband pada Komputer OS Windows XP:

Untuk pengguna Windows XP berikut merupakan setting yang perlu dibuat pada komputer anda. Sebelum itu, pastikan komputer anda mempunyai modul BLUETOOTH untuk meneruskan setting ini. Jika tidak ada bluetooth anda boleh menggunakan kabel USB dan perisian Nokia PC Suite / Samsung PC Suite / Sony Ericsson PC Suite / Panasonic PC Suite / LG PC Suite / Motorola PC Suite.

  • Setting A:
  1. Buka CONTROL PANEL
  2. Klik NETWORK CONNECTION
  3. Create New Connection – Connect to Internet
  4. Pilih SETUP MY CONNECTION MANUALLY
  5. Pilih Connect using a dialup modem – BLUETOOTH DUN MODEM
  6. ISP Name: CelcomInternet
  7. Phone Number: *99# (bintang 99 hash)
  8. KOSONGKAN Username dan Password
  • Setting B:
  1. Buka CONTROL PANEL
  2. Klik PHONE & MODEM
  3. My Location: 60 (Malaysia)
  4. Klik tab MODEM – Pilih Bluetooth DUN Modem
  5. Klik PROPERTIES – klik tab ADVANCE
  6. Pada ‘Extra Initialization Commands’ taip: +cgdcont=1,”ip”,”celcom.net.my” (penting! jangan salah taip!)
  7. Tekan OK dan APPLY

OK. Ini gambarajah setting untuk S60 3rd Edition:

Ini pula gambarajah setting untuk UIQ3 (termasuk Motorola Z8/Z10, SonyEricsson G700/G900):

Dan yang terakhir, gambarajah panduan untuk setting Windows XP:

iklan-symbianku

banner-anim0

Laman Berikutnya »

Create a free website or blog at WordPress.com.