Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

Februari 24, 2009

Berita – Samsung i7110 Telah Mula Di Jual Di Singapura

Filed under: Berita Symbian — adliayob @ 5:58 pm
Tags:

i7110-sg

Telefon Symbian S60-3rd Edition – Samsung i7110 telah mula di jual di Singapura dengan harga antara SGD 570.00 ke SGD 600.00 (antara RM 1,367.00 hingga 1,600.00). Langkah memperkenalkan model ini kepada pasaran merupakan satu perkara yang bijak memandangkan Sistem Operasi Symbian sudah terkenal dan diterima oleh penduduk Singapura. Blog Symbian Malaysia mengesahkan berita ini setelah merujuk kepada laman web rasmi SAMSUNG SINGAPURA seperti yang beralamat di http://sg.samsungmobile.com

Namun telefon ini masih belum memasuki pasaran Malaysia, Indonesia, Filipina dan lain-lain negara Asia Tenggara setakat ini. Adalah diharapkan agar telefon ini segera memasuki pasaran semasa Malaysia dan menambahkan ‘warna-warni’ persaingan pengeluar telefon Symbian. Syabas Samsung!

banner-anim0

Februari 17, 2009

Berita MWC 2009 – Samsung Omnia-HD (i8910) Telah Dilancarkan

Filed under: Berita Symbian — adliayob @ 7:38 pm
Tags: ,

mwc-i8910

Semalam, Isnin 16 Feb 2009 Samsung telah secara rasmi memperkenalkan model S60-5th Edition mereka yang pertama iaitu Omnia-HD (atau i8910) pada Mobile World Congress 2009 di Barcelona, Sepanyol.

Telefon ini telahpun di’intip’ oleh ramai peminat Symbian antaranya Symbian-Freak, All About Symbian, GSM Arena dan Blog Symbian Malaysia. Kod nama terdahulu bagi model ini ialah ‘ACME’

Samsung Omnia-HD (i8910) merupakan telefon skrin-sentuh (touch-screen) dengan kamera 8 Megapixel. Ia juga dilengkapkan dengan kemudahan rakaman video berkualiti HD (High-Definition) yang pertama dalam kelas Symbian.

‘HD’ adalah standard terkini untuk video dengan kejelasan mutu rakaman 1280×720 @ 24fps berbanding kualiti DVD (720×480) dan VCD (352×240). Ia sangat sesuai ditonton dengan televisyen ‘LCD wide-screen’ yang popular zaman ini.

Samsung Omnia HD juga dilengkapi dengan skrin 3.7 inci (teknologi OLED), accelerometer, HSDPA 7.2Mbps, WiFi dan sokongan memori microSD sehingga 16Gb.

Ia bakal memasuki pasaran pada suku ke-2 tahun ini dan akan dijual dalam 2 model iaitu 8Gb dan 16Gb.

Februari 13, 2009

Video Perbandingan 2 Telefon Symbian: N81 vs i450

Filed under: Tips Pengguna Symbian — adliayob @ 5:39 pm
Tags: , , ,

Kadang-kadang, apabila kita bercerita atau menyatakan sesuatu fakta berkaitan Symbian secara lisan, penulisan dan grafik (atau foto), ada juga dikalangan pendengar atau pembaca yang masih ragu-ragu atau ‘skeptical’ terhadap Sistem Operasi Symbian ini. Ada satu pepatah Inggeris iaitu ‘Picture speaks much louder than words’ tetapi pada zaman teknologi maklumat ini saya rasa ‘Video footage shouts much louder than photos’ hehehe. Ini cuma pandangan saya sahaja!

Ini adalah video yang saya rakam sendiri, ‘edit’, ‘render’ dan ‘compile’ sejak dari tahun lepas lagi. Selama ini ia tersimpan rapi dalam komputer saya dan juga digunakan sesekali oleh rakan-rakan yang membuka kedai telefon bimbit di sekitar Sabah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Tajuk video ini ialah ‘Perbandingan Antara Nokia N81 dan Samsung i450’. Saya telah mencipta video ini khusus untuk menerangkan secara visual tentang apa yang diperkatakan mengenai Sistem Operasi Symbian dan membuktikan yang bukan hanya syarikat NOKIA sahaja yang ekslusif memasangkannya pada model-model telefon mereka. Saya telah mengubah video asal menjadi lebih ‘funky’ untuk tatapan anda.

Biasanya, apabila saya memberitahu rakan-rakan mengenai Symbian, ramai yang tidak percaya dan ramai juga menuduh saya ‘menukar sistem telefon’ Panasonic dan Samsung saya. Ini ada kaitan dengan kerjaya saya sebagai programmer, webmaster dan pakarujuk IT di tempat saya. Ada juga dengan muka yang yakin – memberikan telefon Sony Ericsson mereka kepada saya untuk penukaran sistem. Ayat yang biasa diucapkan termasuklah ‘Nah Adli! ko formatlah telefon aku ni dan install Symbian kedalamnya’.

Kepada pengusaha kedai telefon bimbit, saya cadangkan untuk anda memindah-turun (download) video ini dan gunakanlah ia untuk meningkatkan penjualan model-model Samsung dan LG (Symbian) yang jarang-jarang terjual. Contohnya seperti perbandingan antara model Nokia N96 dan Samsung INNOV8 – tiada siapa yang akan beli INNOV8 kerana mereka tidak faham Symbian. Padahal, kedua-dua model ini adalah berteknologi tinggi dan dipasangkan dengan Sistem Operasi Symbian. Dengan itu ia berkongsi ciri-ciri yang sama.

Terima kasih saya ucapkan kepada sahabat saya TURBORUN (TS-Wave Mobile Medic) dari Semporna, Sabah kerana sudi membekalkan telefon N81nya kepada saya untuk ‘video-shooting’ ini. TURBORUN juga merupakan salah satu ‘affiliate’ kepada Blog Symbian Malaysia. Symbian juga telah mengubah nasib syarikat TS-Wave sehingga menjadi tempat rujukan telefon Symbian di daerah Semporna, Sabah. Apa? anda tidak pernah dengar perkataan ‘Semporna’? Mungkin Pulau Sipadan, Pulau Mabul dan Ligitan membantu anda dalam menjejak lokasi Semporna. Ia adalah sebuah daerah peranginan dan pusat penyelaman antarabangsa di Malaysia. Kesemua pulau yang disebutkan tadi berada dalam daerah Semporna. Filem ‘Duyong’ terbitan KRU FILMS juga dilakonkan di sini. Pejabat National Geographic pula berada disebelah kanan restoran yang saya sedang guna WiFi-nya sekarang ini.

Daerah Semporna mencatat kemasukan pelancong sehingga lebih 10 ribu orang sebulan. Tetapi yang membuatkan saya bangga terhadap TURBORAN – kebanyakkan ‘Mat Salleh’ datang ke kedai beliau untuk urusan ‘Software Installation’ telefon Symbian mereka. Hehehe apa orang putih fikir orang Malaysia tidak faham teknologi? Sorry dude.. you have to come here and believe your eyes! We are among the best in computer technologies in this region!

Tak begitu kawan-kawan? 🙂

banner-anim0

Februari 6, 2009

Berita – Samsung i8910: Telefon Samsung Pertama Dengan S60-5th Edition

Filed under: Berita Symbian — adliayob @ 11:15 am
Tags: ,

ACME i8910Berita Terkini – Syarikat telekomunikasi ke-tiga terbesar di dunia hari ini (5 Feb 2009) telah mengumumkan bahawa mereka bakal mengeluarkan telefon Symbian platform S60 5th Edition mereka sendiri dalam tahun ini juga. Tinjauan mendapati Samsung sedang dalam pembikinan sebuah telefon yang diberi nama kod ACME (atau Samsung i8910) yang merupakan model pengganti kepada model Symbian sebelumnya iaitu Samsung INNOV8 (i8510).

ACME (i8910) akan menggunapakai pelantar S60 5th terbaru, sama dengan model Nokia 5800 XM dan Nokia N97 yang diumumkan baru-baru ini. Telefon ini mempunyai paparan skrin yang luas – 3.8 inci, ‘touchscreen’ sepenuhnya dan tipis. Ia juga bakal dilengkapkan dengan kamera 8 Megapixel, WiFi, GPS, HDMI output, 3.5mm audio jack dan sokongan rakaman video HD (1280 x 720 pixels). Ia bakal didatangkan dalam dua variasi memori berkapasiti besar iaitu 8Gb dan 16Gb.

Blog Symbian Malaysia sangat berharap agar telefon ini benar-benar berjaya dikeluarkan sekaligus menyemarakkan lagi persaingan teknologi antara syarikat pengeluar telefon Symbian.

*UPDATE* – 07 Feb. 2009: Gambar Berkualiti Tinggi ACME i8910 Dan Bukti S60-5th Edition.

Hari ini, Blog Symbian Malaysia telah berjaya mendapatkan bukti bergambar yang sahih tentang OS yang bakal digunapakai oleh telefon baru Samsung yang bakal diumumkan secara rasmi pada MWC 2009 akan datang. Dari paparan, jelas menunjukkan yang telefon ini akan mengunakan Symbian v9.4/ S60-5th Edition yang SAMA seperti Nokia 5800 dan N97. Lihat foto-foto dibawah.

Kelihatan UI (user interface) yang jelas menunjukkan Samsung ACME i8910 akan menggunakan S60-5th Edition sama seperti Nokia 5800. Game Asphalt4 pun ada?

Kelihatan UI (user interface) yang jelas menunjukkan Samsung ACME i8910 akan menggunakan S60-5th Edition sama seperti Nokia 5800. Game Asphalt4 pun ada?

November 3, 2008

Tips S60-3rd Edition #1 – 15 Freeware Untuk S60

Filed under: Tips Pengguna Symbian — adliayob @ 1:35 am
Tags: , , , , ,

Semalam saya dapat panggilan dari seorang rakan lama. Tidak sangka pula beliau mengikuti blog ini. Rakan saya ini seorang pengaturcara komputer yang bertugas di sebuah syarikat IT di Technology Park, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Beliau menyarankan saya supaya meluaskan topik blog kepada Sistem Operasi Windows Mobile pula. Katanya, jika lebih banyak OS disentuh, maka ramailah lagi pengunjung blog ini. Untuk tidak membuang masa, saya terus ‘search’ internet mencari keyword ‘Blog Windows Mobile Malaysia’ dan tepat seperti katanya, memang belum ada lagi satu blog pun yg mengupas topik ini.

Rakan saya ini menuduh saya pilih bulu, berat sebelah dan pentingkan diri sendiri. Ini disebabkan kiriman saya tentang 10 freeware UIQ3 sedangkan dia menggunakan Nokia E66 platform S60. Satu lagi telefonnya ialah HTC Touch. Ini menyebabkan tulisan saya tidak relevan pada dirinya. Memang berat sekali tuduhannya ini. Kalu saya ada duit, mahu saja saya bawa kes ini ke mahkamah.

Setelah mengambil nafas, saya sambung kembali perbualan di telefon. Beliau meminta sangat tips yang sama untuk platform S60 3rd Edition. Tambahnya lagi, gara-gara blog saya inilah yang menyebabkan dia membeli Nokia E66 pada minggu lepas. Ini sebenarnya satu helah untuk mengajak saya turun ke Kuala Lumpur dan ‘menginstall’ perisian pada telefonnya! Saya tidak mudah terkena tipu daya seperti itu!

Tetapi, demi rakan saya dan anda semua yang saban hari menjadi tetamu pada Blog Symbian Malaysia, berikut merupakan 15 freeware untuk S60 3rd Edition.

1. Y-Browser

Bagaimana untuk ‘browse’ segala kandungan dalam telefon dan kad memori seperti ‘My-Computer Windows XP’ pada Nokia N81 saya? Bagaimana saya memindah ‘barang’ yang ada dalam ‘inbox’ kepada kad memori? Bagaimana mengetahui status telefon dan kad memori? Bagaimana untuk saya mencipta folder baru atau memindah kandungan dari kad memori kepada telefon lain? Semua persoalan ini terjawab jika anda memasang Y-BROWSER pada S60-3rd anda. Kerana semua keunikan yang ada padanya, saya meletakkannya selaku nombor satu dalam senarai ini!

2. Opera Mini

Secara default (automatic), setelah kita membeli sebuah telefon S60-3rd, pelayar ‘default web’ akan berfungsi sebagai ‘Web Browser’nya. Namun selalunya kita tidak merasa puas kerana ia tidak setanding dengan ‘IE & Firefox’ komputer atau laptop kita. Kini masalah ini selesai! Memperkenalkan OPERA MINI untuk S60-3rd. Satu ‘Web Browser’ yang sangat baik, laju, selesa dan yang paling penting menawarkan pengalaman web setanding laptop. Setiap laman web akan dibuka mengikut ukuran sebenar dan pengguna boleh ‘zoom-in’ untuk pembacaan yang lebih jelas walaupun skrin anda hanya sebesar 2.4 inci. Selain itu, dengan Opera Mini pengguna boleh ‘download’ sebarang data dan juga ‘log-in’ ke sebarang web yang memerlukan ‘user-name’ dan ‘password’.

3. Google Maps

Biasa dengan Google Earth pada komputer anda? Ingin menyaksikan peta jalanraya untuk mencari alternatif bagi mengelak kesesakan atau lari dari polis? Ingin mencuba GPS yang tersedia pada telefon anda? atau hanya sekadar menikmati WiFi sambil berlagak sombong dengan UIQ3 mencari gambar satelit dan kemudiannya menayangkan kepada awek (cewek) di sebelah tempat duduk dan seterusnya dia mengagumi anda dan berkata ‘Wow! hebatlah U!’? Semua aktiviti yang disebutkan di atas dapat anda laksanakan dengan GOOGLE MAPS untuk S60-3rd. Sesiapa sahaja yang saya demonstrasikan perisian ini akan berasa kagum kerana kita seolah-olah mengawal satelit dari telefon bimbit. Yang paling menarik ialah perisian ini percuma!

4. WorldMate

Anda adalah seorang yang sangat berjaya! Dalam seminggu hidup anda berada diawan biru. Isnin di Kuala Lumpur, Rabu di Jakarta dan Jumaat di Manila. Pada malam Ahad anda berada di Singapura berbincang tentang bisnes bersama klien-klien anda. Masalah anda ialah: Bagaimana saya ingin mendapatkan nilai semasa tukaran mata wang? Apakah perbezaan zon waktu nyata Kuala Lumpur dan Jakarta? Berapakah nilai tukaran 100 Hektar kepada Ekar? (kerana ladang sawit anda berada di seluruh Nusantara) atau berapakah saiz kasut mengikut ukuran USA? Semua ini akan terjawab jika anda memasukkan perisian WORLDMATE ke dalam telefon S60-3rd anda.

5. Anfy Callfilter

Anfy Callfilter mampu menjadi sahabat setia untuk menapis segala sms, mms dan panggilan telefon yang mengganggu keamanan anda. Perisian ini sangat sesuai digunakan oleh golongan selebriti, karyawan, ahli politik atau sesiapa sahaja yang mahu lari dari panggilan Ah-Long! Jika sesiapa sahaja yang menelefon, talian anda tetap berada diluar kawasan!

6. DIVX Player

Hampir semua orang mahu berkongsi video ‘SmartMovie’nya kepada anda. Malangnya setelah dihantar melalui Bluetooth, video tersebut tidak dapat dimainkan. Begitu juga dengan fail-fail video avi dan divx yang terdapat dalam komputer anda. Semuanya tidak dapat dimainkan apabila dipindah ke telefon S60-3rd anda. Saat ini anda memerlukan DIVX Player. DIVX player dapat memainkan fail video XVID, DIVX, SmartMovie dan AVI pada telefon anda. Satu perisian yang sangat diperlukan tatkala video yang berwarna-warni itu berjaya dipindahkan ke telefon anda!

7. Mobipocket Reader (MobiReader)

Perisian ini bertindak sebagai ‘ebook-reader’ yang sangat efektif sekali. Ia mampu membaca format PDB, PRC, HTM, HTML atau lain-lain format e-book. Dengan terdapat lebih 100 tajuk e-book percuma di internet, kini anda boleh ‘download’ dan terus membacanya di telefon untuk membunuh waktu perjalanan KTM komuter dari Rawang ke Seremban. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk cuma sekadar memenuhi pesan guru sekolah anda yang sentiasa bising mengingatkan supaya rajin membaca. Maka BACALAH dengan nama tuhanmu yang maha mencipta!

8. Calcium

Ini adalah sebuah kalkulator. Tiada yang istimewa, cuma kalkulator biasa. Apa? anda kata memang sudah tersedia kalkulator pada S60-3rd? Ya, memang benar, tetapi untuk kira-kira mudah seperti 2/3 x 7 memerlukan 13 kali tekan (13 clicks). Dengan CALCIUM operasi ini boleh dilaksanakan hanya dengan 6 kali tekan sahaja! (6 clicks). Satu perisian wajib yang perlu ada dalam setiap S60-3rd.

9. WWIGO

Pernah menggunakan webcam pada laptop anda? Pernah mengalamai masalah untuk mengalihkan webcam anda ke lain-lain tempat demi mencari shot tercantik namun kabel sentiasa mengganggu usaha anda? Pernah mencari webcam disaat memerlukan namun pengusaha cybercafe tidak menyediakannya? Atau webcam yang tersedia pada laptop tiba-tiba rosak tatkala anda sedang me’Yahoo-Messenger’ awek anda? Jika ya, anda memerlukan bantuan. Memperkenalkan WWIGO – sebuah perisian yang menjadikan kamera pada telefon anda berfungsi sebagai webcam untuk komputer. WWIGO menyambungkan telefon dengan komputer melalui Bluetooth sahaja. Satu perisian penting untuk masa kini kerana kebanyakkan orang membawa telefon ke hulu – ke hilir dan tidak pernah lagi ada orang yang berbuat begitu terhadap webcam. Perisian ini datang dengan ‘installer’ untuk S60-3rd dan komputer Windows XP.

10. Pocket Quran

Malam ini malam Jumaat dan anda tergolong dalam kumpulan orang soleh. Anda pergi ke Masjid untuk sembahyang maghrib dan kemudiannya ada majlis membaca Yaasin. Malangnya, oleh sebab terlalu ramai jemaah, buku yaasin yang dibekalkan tidak mencukupi. Apa yang ada ditangan anda hanyalah sebuah telefon S60 dan secara lahiriah, anda bukan seorang penghafal Yaasin. Apa yang anda akan buat ketika itu? Senang sahaja. Keluarkan telefon, masuk menu dan klik POCKET QURAN, seterusnya mula membaca surah Yaasin dari telefon anda! Jika nasib anda baik pada malam itu, jemaah lain yang berada disisi akan memuji telefon anda, jika nasib tidak baik, anda akan dituduh riak kerana jemaah lain akan berkata dalam hati ‘Aku tahulah kau hafal Yaasin, tapi tak payahlah berlagak sombong baca yaasin sambil baca sms sekali gus!’

11. Youtube Mobile

Anda memang penggemar Youtube. Suatu hari sedang anda menikmati makanan di sebuah restoran yang ada kemudahan WiFi, rakan kongsi bisnes anda mengirim sms dan menyuruh anda supaya masuk ke youtube sekarang untuk melihat klip terbaru kejadian rompakan bank yang telah anda lakukan baru-baru ini. Memang anda terkejut tentang berita ini! Bagaimana boleh ada orang berjaya merakam aktiviti anda dan menyiarkannya ke youtube tanpa anda meraih sebarang royalti? Yang ada di poket anda buat masa ini hanyalah Nokia N95 dan anda betul-betul mahu melihat klip tersebut. Jangan risau! Kini anda boleh melihat semua klip youtube tersebut dengan memasang YOUTUBE MOBILE untuk S60-3rd.

12. TimeBar

Satu masalah kepada pengguna S60-3rd adalah JAM. Memang benar, jam terpapar di ‘standby-screen’ telefon anda, tetapi sebaik anda memulakan perisian yang lain, maka jam tidak akan kelihatan. Selalunya, anda terpaksa keluar dari perisian tersebut dan kembali ke ‘standby-screen’ hanya untuk melihat waktu. Dengan TIMEBAR masalah ini selesai. TimeBar akan memaparkan jam kecil di mana-mana kawasan skrin yang anda kehendaki dan ia sentiasa wujud pada mana-mana perisian. Selain itu, TimeBar juga boleh membunyikan ‘nada waktu’ apabila jam menunjukkan masa 60 minit. Satu perisian yang kecil tetapi sangat bernilai bagi mereka yang menghargai waktu kerana demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian!

13. EQO

Perisian ‘internet-messenger’ yang boleh disambung pada akaun Yahoo Messenger, ICQ, MSN, G-Talk dan Skype. EQO sangat baik dalam integrasi akaun ‘IM’ dan bakal melonjakkan prestasi perniagaan Internet, Direct-Selling dan MLM anda!

14. Symella dan PeerBox

Adakah anda biasa dengan P2P? Adakah anda mempunyai unlimited-account mobile-broadband? Adakah telefon anda dilengkapi dengan kemudahan WiFi, EDGE, 3G malah 3.5G hingga kadar 7.2 Mbps? Adakah anda menjalankan perusahaan ‘download Mp3 – kemudian cipta CD dan menjual kepada rakan-rakan sepejabat’? Adakah rakan-rakan anda menempah cerita wayang terbaru dari anda tanpa mengetahui anda menempah maut jika ditangkap oleh pihak berkuasa? Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, anda perlu cekap, licik dan berwawasan! Telefon anda perlukan perisian ‘P2P Sharing’ SYMELLA dan PEERBOX untuk S60-3rd. Berkuasa sehebat Bear Share, ARES, Limewire, Morpheus dan lain-lain, kini kuasa ‘ciplak-curi-dan-layan’ berada di dalam genggaman anda!

15. GDesk

Ingin menukarkan rupa bentuk skrin telefon S60-3rd kepada Windows Vista? Atau sememangnya anda seorang yang misteri kerana setiap hari menukar ‘theme’ telefon hanya untuk meraih perhatian orang lain terhadap anda atau sekadar ‘minta-puji’? Kini anda tidak perlu bersusah payah menukar themes atau mengupah orang lain untuk memastikan yang skrin N82 anda berubah bentuk dan tidak lagi sama dengan N82 musuh anda di pejabat. Masukkan sahaja GDESK ke telefon anda dan semua orang akan bertanya… ‘telefon kau ni pakai Windows ya?’

Demikianlah tadi 15 perisian percuma mengikut pilihan saya yang sangat penting untuk S60-3rd. Selain dari 15 perisian yang dinyatakan, ada lagi perisian lain seperti:-

  • Screenshot (Untuk menangkap skrin pada S60-3rd)
  • Fring (Social Networking Software & VOIP Telephone – Sama seperti Yahoo Messenger)
  • JBak Taskman (Task Manager)
  • Autolock (Untuk setkan ‘keypad-lock’ secara automatik)
  • CClock (Screensaver yang memaparkan jam besar)
  • Nokia Internet Radio Beta (Mendengar stesen radio dengan Internet)
  • Message Mirror Lite (Untuk ‘backup’ mesej sms)
  • Reboot/ EQ Reboot (Untuk ‘restart’ telefon S60-3rd)
  • Google Search (Perisian Google pada S60-3rd)
  • Zip Manager/ Mobile RAR (sama seperti WinZIP/WinRAR pada komputer)
  • Azan/ Islamic Organiser (perisian waktu sembahyang)
  • FE-Explorer/ ActiveFile (Sama seperti Y-Browser)
  • T9Nav Beta (Perisian pencari sebarang maklumat dan nombor telefon)

Mungkin anda juga mempunyai pandangan sendiri mengenai perisian percuma S60-3rd. Sila utarakan sebarang komen, pandangan atau tanggapan anda disini untuk sama-sama berkongsi dengan pengguna yang lain.

Oktober 27, 2008

Cakap-Cakap: Kesedaran Teknologi Telefon Bimbit Di Kalangan Kita

Sebelum saya menerangkan lebih jauh mengenai Symbian, mari kita lihat sejenak kesimpulan (summary) yang kita telah ketahui setakat ini. Apa yang tercatat disini amat penting kerana selepas ini kita akan dalami secara teknikal tentang Sistem Operasi Symbian.

Malaysia merupakan sebuah negara yang dinamik, berdaya-saing dan sentiasa mengikut trend terkini. Komposisi kaum penduduk Malaysia menunjukkan yang bangsa Bumiputera (Melayu, Sub-Group Melayu, Peribumi) mendominasi lebih 52% daripada jumlah 27 juta penghuninya. Selebihnya dipenuhi dengan lain-lain warganegara seperti kaum Cina, India, Benggali, Peranakan, Inggeris, Siam dan lain-lain. Disebabkan kestabilan politik yang baik dan sikap toleransi antara kaum yang dipegang sejak merdeka, kini Malaysia boleh berbangga dengan pelbagai kejayaannya.

Multimedia Super Corridor sebagai contoh, telah meletakkan Malaysia sebagai hub IT (Gerbang Teknologi Maklumat) yang terkandung didalamnya pelbagai falsafah, inkubator, R&D, syarikat teknokrat dan yang paling utama kemudahan infrastruktur kelas 1 setanding lain-lain negara maju. Namun jika dikecilkan sedikit kepada sektor telekomunikasi, jelas menunjukkan yang rakyat negara ini kurang kesedaran dan kadang-kala menjadi pengikut trend tanpa menyelidik atau berfikir mengenainya.

Saya ingin berbicara tentang segmen telekomunikasi – lebih tepat lagi menjurus tentang teknologi telefon bimbit. Jika terdapat beberapa perbandingan dengan rakyat di negara lain, saya dahulukan dengan memohon maaf kepada anda pembaca budiman. Kadangkala jika kita tidak pernah keluar negara atau berhijrah ke lain-lain tempat didunia, sememangnya kita merasakan ‘kepompong’ yang kita huni amat baik dan selesa sekali.

Awal pertengahan tahun 1980-an, ATUR dengan spektrum 450MHz dilancarkan dan serentak dengan itu telefon bimbit berjenama Benefon, Nokia dan Motorola mendominasi pasaran. Tidak lama kemudian ART 900 diperkenalkan maka muncullah syarikat TELCO seperti CELCOM dan MOBIKOM. Pada masa itu siapa yang tidak kenal dengan NEC PRIMERO dan MOTOROLA MICROTAC?

Pada hujung 1990-an revolusi GSM telah menyaksikan yang telefon bimbit perlu dimasukkan SIMCARD untuk pengaktifan dengan 3 pilihan prefix (010, 019, 012). Seingat saya pada 1997 Telefon Motorola StarTAC, Nokia dan Ericsson menjadi ikon terbaru untuk ‘businessman’ dan penggunaan telefon bimbit kini lebih meluas. Namun hanya segelintir rakyat ‘berpendapatan tinggi’ mampu memiliki dan menguruskannya.

Tidak lama kemudian tiba pula zaman PREPAID. Ini menyebabkan Ericsson, Nokia, Motorola, Sagem dan Siemens berlumba-lumba memperkenalkan telefon bimbit mereka dan harga model-model telah jatuh di bawah RM1,000.00 untuk satu unit. Raja telefon bimbit masa itu adalah Nokia 3210, Ericsson T10, Motorola StarTAC X dan lain-lain. Pengalaman memiliki sebuah telefon bimbit pada masa ini merupakan yang paling indah walaupun hanya disediakan 1 ‘game’ iaitu SNAKE atau TETRIS.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi telekomunikasi di Malaysia, silakan klik: http://www.avaxx.com/aboutus/mobtech_box.htm

Jenama telefon semakin banyak. Sony, Nokia, Sagem, Panasonic, Nokia, BenQ, Siemens, Ericsson, Bosch, NEC, Pantech, GIO, Samsung dan LG makin menggila memperkenalkan model-model terkini untuk mendapatkan sedikit pegangan dalam ‘market-share’ yang semakin gawat. Tiba-tiba, sebuah konsortium diwujudkan pada tahun 1998 dan memperkenalkan OS (Sistem Operasi) yang dinamakan SYMBIAN sebagai teras sistem kepada model-model telefon bimbit masa depan. Ahli konsortium ini terdiri dari PSION, NOKIA, Motorola dan Ericsson.

Pada November 2000, telefon pertama Symbian – Ericsson R380 muncul dan dengan ini bermulalah anjakan teknologi telefon bimbit kepada lebih teknikal dan maju. Apa yang konsortium ini tidak ketahui ialah; dengan kelahiran Symbian – senario telefon bimbit bakal berubah kepada ‘mobile computer-powered multimedia device’ dan bukan lagi hanya sekadar sebuah telefon yang mampu mendail dan menaip pesanan ringkas sahaja.

Nokia N95 membuktikan teori ini. Ia dikenali sebagai ‘Nokia Multimedia Computer’ dan dilengkapi dengan lensa Carl Zeiss 5.0 Megapixels. Harganya sangat mahal. Kemudian ia dijadikan kayu aras (benchmark) kepada lain-lain model telefon hingga kini.

Apa yang tidak disedari oleh pengguna telefon bimbit di Malaysia ialah; Nokia N95 dikuasakan dengan OS Symbian 9.2 pada platform S60-3rd Edition. Berbanding dengan masyarakat Singapura dan Jakarta pada ketika ini, rata-rata lebih memilih OS berbanding MODEL pengeluar. Jika dikalangan mereka lebih selesa menggunakan PALM atau WindowsMobile selaku OS, maka Nokia N95 ini diketepikan dan tidak menjadi pilihan.

Symbian OS sejak dilancarkan dahulu mempunyai 3 platform utama iaitu S60, UIQ dan MOAP. Platform-platform ini seterusnya bertindak sebagai UI (User Interface) kepada teras sistem operasi (CORE) iaitu SYMBIAN. Apabila satu platform (S60) digunapakai terhadap 2 handphone, contohnya Nokia N95 dan Samsung G810, maka bebutang kawalan, tindakbalas pengguna, faktor mesra-pengguna (user-friendliness), perisian sumber-ketiga (3rd Party Software), Permainan (Games), pepijat (software-bugs), menu, kaedah menulis mesej sms dan lain-lain ciri (fitur) adalah SAMA. Ini tidak ubah seperti memiliki 2 buah laptop contohnya COMPAQ dan ACER dimana masing-masing dipasang dengan Windows XP sebagai OS-nya. Apa yang dipasang (Install) pada Nokia N95 (Contohnya perisian WorldMate) semestinya boleh dipasangkan ke dalam Samsung G810. Untuk itu mari kita perhatikan grafik dibawah dan membandingkan UI antara 2 telefon Symbian S60 ini:-

Nah! mari kita sekali lagi membandingkan antara Nokia E71 dan LG KT610 pula. Telefon-telefon ini menggunakan Symbian 9.2 sebagai teras dan S60-3rd Edition sebagai platform:-

Apa yang boleh disimpulkan disini ialah, semua grafik yang dipaparkan diatas menunjukkan yang ‘behaviour’ penggunaan telefon-telefon ini adalah SAMA dan SEIRAS. Namun sesetengah antara kita masih lagi mengatakan ‘saya tidak akan berubah kepada lain-lain jenama kerana sudah terbiasa dengan jenama sekarang’.

Saya memiliki 3 buah telefon S60 iaitu Nokia 3230, Panasonic X800 dan Samsung i450. Setiap kali saya tunjukkan telefon-telefon ini, pasti rakan-rakan akan bertanyakan ‘bagaimana engkau masukkan sistem Nokia kepada Samsung yang engkau pegang itu?’. Secara jujur, saya tidak pernah menukarkan mana-mana sistem telefon saya dan saya cuma ingin buktikan kepada mereka yang pada suatu masa nanti, boleh kata setiap model telefon yang bakal dijual berfungsi pada OS dan platform yang sama!.

Zaman telefon kita telah berubah daripada skrin 1 warna kepada 16 juta warna, dari monofonik kepada hi-fi, dari infra-red kepada WiFi dan dari 0.3 Mpix kepada 8.0 Mpix. Saya akui yang bukan semua orang mampu memiliki telefon-telefon canggih ini tetapi ramai juga yang mengumpulkan duit gaji, bonus dan simpanan untuk membeli sebuah telefon bimbit mahal yang hanya selepas itu menyesal kerana telefonnya cuma berfungsi tidak lebih dari menu-menu yang dipaparkan tanpa kebolehan untuk menerima perisian, games, themes, wallpaper dan peningkatan fungsi dari pihak luar. Akhirnya ia terkaku, terasa rugi dan menyesal lantas pergi ke kedai telefon berhampiran untuk ‘trade-in’ kepada model yang lebih baru. Kemudian sekali lagi ia menyesal apabila mengetahui yang telefon barunya kali ini tetap tidak sebanding dengan fungsi telefon bimbit rakan-rakannya. Maka berlaku lagi pembaziran kali ke-3. Dan kali ini ia tidak tersalah pilih, Nokia N95 sudah di tapak tangan. Cuma bezanya pada kali ini, dia tidak menghiraukan ‘buku panduan’ (manual) yang tersedia didalam kotak, dan apabila berlaku kerosakan kecil pada telefon, dia mempersalahkan pelbagai pihak. Akhirnya sekali lagi dia ke kedai telefon untuk menukarkan telefonnya kepada telefon biasa. Serik – itulah yang seringkali diucapkan dan dinasihatkan kepada rakan-taulan.

Kejadian ini menunjukkan perangai sesetengah kita yang mengabaikan ilmu pengetahuan. Seperti juga membeli peralatan elektrik yang lain, beribu-ribu wang dapat dijimatkan jika beliau bertanyakan kepada yang ahli sebelum membeli sebuah telefon bimbit. Begitu juga dengan buku manual yang tetap tersimpan rapi di dalam kotak. Alangkah baiknya jika kita membuat sedikit pembacaan dari ‘manual-book’ itu atau penyelidikan terhadap teknologi (sebaiknya dari sumber Internet) sebelum membuat sebarang pembelian?

Cerita ini saya dedikasikan kepada seorang rakan – En. ARIL yang berada di Seremban. Beliau sebelum ini menggunakan Nokia 1100 (hitam-putih, monofonik dan murah) sebelum benar-benar berjimat dan akhirnya kini memiliki Nokia N82 yang serba lengkap. Kelebihan Aril perlu dicontohi oleh lain-lain kerana beliau berusaha untuk belajar tentang ‘Symbian’ di Internet walaupun pertama kali membeli N82. Kemudian, beliau berusaha menarik perhatian saya untuk berjumpa beliau dan melaksanakan proses installasi software dan games pada telefon tersebut. Sekarang sememangnya Aril patut berbangga dengan usaha beliau kerana rakan-rakan sepejabat telah mula iri-hati, geram dan memendam-rasa terhadap N82 beliau yang telah dipertingkatkan.

Selain S60, platform komersil yang dihasilkan oleh Symbian ialah UIQ. Berbeza dengan S60, telefon UIQ berteknologi ‘touchscreen’ dan mirip kepada ‘PDA’. 2 syarikat yang mendominasi UIQ ialah Sony Ericsson dan Motorola. Untuk itu mari saksikan UI yang terdapat pada Sony Ericsson P1i dan Motorola Z8:-

Kedua-duanya tampak sama dengan cara kepenggunaan yang tidak jauh berbeza. Oleh kerana kedua-duanya dikuasakan dengan platform UIQ, maka ia sangat berbeza dengan golongan S60 yang kita bincangkan awal tadi. Platform UIQ pada Symbian diwujudkan untuk memberi pilihan kepada pengguna selain ianya agak teknikal berbanding S60. Keistimewaan ‘touchscreen’ pada UIQ memang memberikan pengalaman baru terhadap pengguna S60 yang berhijrah kepadanya. Saya tidak menafikan yang saya juga adalah seorang yang berhijrah dari S60 kepada UIQ. Kini terdapat 3 model UIQ dikalangan adik-beradik saya (W960, P1i dan G900) dan kami berasa bangga atas teknologi ini.

Langkah seterusnya untuk masa hadapan, Symbian hanya akan mengeluarkan 1 sahaja platform untuk model-model telefonnya. Ini bermakna tiada lagi S60, UIQ dan MOAP. Semuanya menggunakan 1 platform universal tidak kira jenama LG, Sony Ericsson, Samsung, Nokia atau Motorola. Sedikit bayangan platform ini terdapat pada model Nokia 5800 XpressMusic yang dilancarkan baru-baru ini. Ia dikenali sebagai S60-5th Edition dan mengadaptasi teknologi ‘touchscreen’ pada ‘user-interface’nya. Tetapi platform sebenar hanya diketahui 2 tahun lagi dan mungkin pada tahun hadapan Symbian-Foundation akan mengumumkannya.

Jika kita lihat pada 3 tahun yang akan datang, Symbian akan terus mendominasi pasaran telefon bimbit dunia. Akan muncul teknologi-teknologi baru seiring langkah kerjasama yang disaksikan oleh lebih 10 syarikat telekomunikasi di dalam yayasan Symbian. Pihak pengeluar, promoter (termasuk Blog Symbian Malaysia), pengedar dan penjual telefon Symbian akan meraih keuntungan berlipat ganda. Dikalangan pengguna pula hanya segelintir sahaja yang beruntung dan berbaloi kerana segolongan lagi masih menghabiskan wang tercari-cari telefon yang sesuai.

Artikel ini dikeluarkan sebagai ‘summary’ dengan tujuan untuk memberi pendedahan teknologi telefon khusus buat Sistem Operasi Symbian untuk tatapan anda. Ia juga diterbitkan untuk menghilangkan rasa skeptikal terhadap lain-lain model Symbian khusus dikeluarkan oleh Samsung, LG dan Motorola. Setiap pengguna telefon Symbian amat jarang bertukar model kerana mereka benar-benar mengetahui tentang ‘firmware-upgrade’, installasi software & games dan kebolehpercayaan Symbian merentasi masa. Contohnya telefon Nokia 3230 yang saya miliki pada 2004 hanya diketahui umum boleh digunakan sebagai modem broadband DIGI/CELCOM/MAXIS pada masa sekarang. Ini membuktikan kenyataan saya sebelum ini. Contoh lain, teknologi DLNA pada Samsung i7110/i8510 hanya akan digunakan secara meluas dalam 3 tahun yang akan datang kerana pada masa itu pengguna telefon ini mampu mengawal peralatan elektrik rumah (televisyen, radio, pendingin-hawa, mesin basuh dan sebagainya) hanya dengan satu klik ditelefon Symbian mereka!

Diharapkan tiada lagi rungutan dan komen ‘Saya tidak akan menggunakan lain jenama kerana sudah terbiasa dengan Nokia’. Setiap model yang di’review’ dalam blog ini bertujuan untuk membiasakan anda kepada persekitaran Symbian. Telefon LG-KT610, Samsung i7110, Samsung i450, Samsung i8510 dan Motorola Z8 tidak jauh berbeza dengan sebuah Nokia N95 yang ada dalam genggaman anda sekarang. Mungkin ada juga beranggapan yang saya memencilkan telefon Nokia kerana tidak pernah membuat sebarang prapandang terhadapnya. Jika kita dapat berfikir ‘keluar dari kotak’ (Out Of The Box) kita segera akan menemukan jawapannya. Wallahualam.

Klik untuk kronologi (sejarah) Symbian Ltd.
http://www.metalgrass.com/symbianinvestor/SymbHist.html

banner-anim0

Oktober 21, 2008

Berita – Samsung i7110 Telah Diumumkan!

Filed under: Berita Symbian,Cakap-Cakap Symbian — adliayob @ 1:33 am
Tags: , ,

Pada hari ini (20 Oktober 2008) Samsung telah melancarkan telefon S60-3rd Edition terbaru dikenali dengan SAMSUNG i7110. Ini merupakan Samsung S60-3rd Edition Ke-5 dilancarkan pada tahun ini dimulakan dengan i450, i550, G810 dan i8510.

Dikuasakan dengan OS Symbian 9.3 telefon Samsung i7110 berbentuk ‘candy-bar’ dan berbingkai logam (metal housing) sepenuhnya. Ia agak berat (125gm) namun ketelitian dan kekukuhan-buatan Samsung jelas terpancar dari telefon ini.

Saya boleh katakan yang telefon ini merupakan ‘adik’ kepada Samsung i8510 dan bakal terjual dengan baik kelak apabila dipasarkan sekitar bulan Disember. Spesifikasinya sangat baik – dilengkapi WiFi, FM Transmitter, GPS (dan AGPS), Optical Mouse (pada D-Pad), Kamera 5Mpix dengan autofocus, DIVX, TV-Out dan FM-Radio (dengan RDS). Fungsi Aotoscreen Rotation (Accelerometer) turut terdapat pada telefon ini.

Pada skrin AMOLED bersaiz 2.6 inci, mutu paparan skrin Samsung i7110 adalah sangat baik dan terang. Sebelum ini teknologi AMOLED digunakan pada model N85. Saiz ketebalannya 12.9mm juga merupakan ‘plus-point’ kepada model ini.

Saya positif jika harga pengenalan Samsung i7110 dibawah RM1700 ia bakal terjual dengan banyak dan mungkin saya juga akan mendapatkannya kerana tidak mampu membeli INNOV8 🙂

http://www.gsmarena.com/samsung_i7110__lean_mean_symbian_smartphone_on_steroids-news-634.php
http://www.slashgear.com/samsung-i7110-s60-smartphone-with-amoled-3g-gps-wifi-2019734/
http://www.symbian-freak.com/news/008/10/samsung_s60_i7110_specs.htm

Oktober 13, 2008

Cakap-Cakap: Samsung INNOV8 Di Tapak Tangan

Filed under: Berita Symbian,Cakap-Cakap Symbian,Prapandang (Reviews) — adliayob @ 3:59 am
Tags: ,

Cuba renungkan situasi ini; Anda mempunyai wang sebanyak RM3,500.00 untuk dibelanjakan pada sebuah telefon. Dihadapan anda ada 2 model yang berfungsi dengan keadaan yang sama iaitu Nokia N96 dan Samsung i8510 INNOV8. Kedua-duanya dikuasakan dengan S60 3rd-Edition FP2 yang terbaru. Perbezaan fizikal yang nyata terletak pada lensa 5Mpix (N96) dan 8Mpix (Innov8). Harga? N96 = Rm3,339.00 manakala INNOV8 = Rm2,899.00. Jadi apa pilihan anda?

Saya bertuah kerana dapat memegang dan melaksanakan ‘review’ Samsung i8510 (Innov8) pada hari ini. Terkejut juga kerana dimensi saiznya seakan-akan Sony Ericsson W960 saya. Tidaklah besar sangat, agak tipis (lebihkurang 16 – 17mm sahaja), cantik, stylish, executive-look dan tidak berat. Perkara pertama yang saya cuba ialah ‘touchpad’ dimana dari sinilah perkataan ‘INNOV8’ muncul. Ya, ia sangat responsif, seolah-olah mengendalikan ‘touchpad’ pada laptop saya – saya begitu teruja!

Perkara kedua ialah skrin i8510 yang besar (2.8 inci) berbanding Samsung i450 (2.4″) dan W960 (2.6″). Apabila diterbalikkan, aura lensa 8Mpix menggamit pandangan dan menyebabkan orang disebelah saya berkata ‘WoW!’. Kualiti buatan (build-quality) Samsung tidak perlu dipertikaikan pada set ini kerana kita sedia maklum ianya jauh lebih baik dari Nokia.

Jurujual E-ZONE Mobile Clinic, Tingkat Tiga, Seremban Parade – Cik May bekerjasama dengan saya dan memberikan ruang sepenuhnya untuk telefon ini di’review’. Seterusnya dia menyatakan yang set ini sudah ada yang punya dan baru sahaja sampai pada hari ini. 15 minit kemudian tuanpunya telefon datang membayar dan Cik May memberikan keseluruhan pakej jualan termasuk kad microSD 8gb, ‘pouch’ dan ‘screen-protector’ dengan jaminan penuh FMG Malaysia. Model yang dijual adalah i8510-8Gb dan model 16Gb akan menyusul dalam masa 1-2 bulan ini.

Walaubagaimanapun, pakej jualan yang disebutkan adalah ‘Pakej Promosi FMG’ untuk masa terhad sahaja. Jadi, jika anda terlepas promosi ini, kad percuma 8Gb tidak akan disertakan. Saya amat gembira dengan pelancaran i8510 kerana ia bakal menyebabkan Samsung G810 akan turun harga dalam masa terdekat.

Samsung i8510 INNOV8 mungkin bukan menjadi pilihan saya kerana faktor harga yang mahal, namun ia tidak menjadi kekangan kepada lain-lain individu termasuklah pembeli bertuah yang saya temui petang tadi di Seremban Parade. Syabas Samsung!

September 30, 2008

Cakap-Cakap: Seketika Bersama Samsung G810

Filed under: Cakap-Cakap Symbian,Prapandang (Reviews) — adliayob @ 3:36 am
Tags: ,

Hari ini hari boring saya. Terpaksa menemani isteri tersayang membeli-belah untuk persiapan hari raya di sebuah shopping complex di bandar Seremban. Oleh sebab saya tidak tahu apa nak buat, maka saya mundar-mandir di sekeliling kompleks tersebut untuk mencari aksesori telefon (ya.. stylus Sony Ericsson W960 saya hilang.. dan percayalah, memang susah nak cari yang original). Setelah gagal mencari, saya masuk ke sebuah ‘outlet’ Samsung Mobile (authorized dealer) dan bertanyakan tentang Samsung InnoV8 dan Samsung G810. Setelah memperkenalkan diri dan bertukar name-card, akhirnya jurujual disitu memberikan saya sebuah telefon Symbian Samsung SGH-G810 untuk dicuba. Apalagi! saya pun dengan sombongnya membuat ‘review’ spontan tentang telefon ini yang sudah sekian lama ingin saya pegang! Saya bernasib baik pada petang ini kerana dapat ‘bermain-main’ dengan telefon ini selama 1 jam. Terima kasih kepada ‘outlet’ Samsung Mobile (1st Floor Terminal 1 Shopping Complex, Seremban) kerana memberi izin kepada saya dan seterusnya menyokong perkembangan Symbian di Malaysia.

Seperti yang sudah kita maklum, Samsung G810 merupakan telefon Symbian Samsung yang ke-3 masuk ke pasaran Malaysia pada tahun ini. Kelebihan telefon ini terletak pada lensa 5Mpix ‘optical-zoom’, ‘anti-shake’ yang dilengkapi dengan ‘xenon-flash’ yang bermutu tinggi. Selain itu, kemudahan GPS dan WIFI turut disertakan selain ianya dikuasakan dengan OS Symbian 9.2 platform S60 3.1. Lain-lain kelebihan termasuklah sokongan kad memori (micro-SD) sehingga 8Gb, skrin sebesar 2.6 inci dan ketahanan buatan Samsung yang telah diketahui ramai.

Apabila saya mencuba kamera telefon ini, barulah saya faham mengapa ia memenangi ‘EISA-Award‘ dalam kategori ‘telefon berkamera terbaik‘ hingga mengalahkan pencabar terdekat iaitu Nokia N95, N82 dan Sony Ericsson K850i. Ini kerana apabila anda mengambil gambar menggunakan telefon ini – ia saling tidak ubah seperti memegang sebuah ‘Digital Camera 5Mpix’ dengan kualiti gambar yang sama hebat. Saya juga mencuba kemudahan ‘optical-zoom’ dan saya sangat berpuas hati. Untuk pengetahuan semua, teknologi ‘optical-zoom’ memang digunakan pada ‘Digital Camera’ dan apabila ia dilancarkan, maka lensa kamera tersembul keluar. Berbeza dengan G810, lensa kameranya tidaklah tersembul keluar – cuma yang bergerak hanyalah lensa dalaman dan anda boleh memperhatikan senario ini dengan mata kasar. Ini adalah satu kelebihan berbanding dengan lain-lain ‘telefon berkamera’ kerana rata-rata menggunakan ‘digital zoom’ dengan bantuan CPU (processor).

Semua perisian Symbian S60-3rd berjalan dengan baik pada telefon ini sama seperti Samsung i450 isteri saya. Malah saya juga mencuba game ‘Asphalt 4’ dan ‘EA Tetris’ dan kedua-duanya berfungsi dengan baik. Struktur menu S60 juga adalah sama dengan i450 dan lain-lain telefon S60.

Anda boleh lihat mutu gambar yang saya ambil menggunakan telefon ini. Sila klik untuk melihat dengan lebih jelas dan saya tidak langsung menganggu setting pada telefon atau memanipulasi gambar ini (resolusi 2Mpix, tanpa xenon flash).

Memang saya berpuas hati dengan telefon ini. Cuma pada harga RM1899 mungkin menyebabkan ramai yang kurang mampu untuk memilikinya.

September 7, 2008

Cakap-Cakap: Samsung i8510 INNOV8 di Jual Di Malaysia Pada September Ini

Filed under: Cakap-Cakap Symbian — adliayob @ 12:34 am
Tags: , ,

Selalunya, bila Symbian memperkenalkan model terbaru, lebih-lebih lagi dari jenama yang bukan NOKIA, maka telefon itu tidak akan dijual di Malaysia atau lambat untuk masuk ke pasaran Malaysia. Ini pernah berlaku pada telefon LG KS10 yang sememangnya saya idam-idamkan (akhirnya saya membeli Samsung i450) pada satu masa dahulu.

Bulan lepas saya ada kirimkan satu pandangan mengenai Samsung INNOV8 (atau i8510) yang merupakan telefon Symbian S60 yang terkini dan paling canggih berbanding mana-mana model S60. Penduduk-penduduk UK terutama di London kini boleh memiliki telefon hebat ini kerana ianya telah berada dipasaran sekarang. Tetapi kita di Malaysia? masih lagi timbul persoalan samada Samsung akan memperkenalkan model ini atau tidak. Ini kerana setakat ini Samsung hanya memperkenalkan 3 model Symbian sahaja iaitu i450, i550 dan G810 di pasaran Malaysia dan tidak memperkenalkan model-model seperti i400, i520, i560, D730 dan Z600.

Tba-tiba, pandangan saya terhadap trend Samsung ini berubah apabila melihat satu artikel Utusan Malaysia pada Khamis 4 September yang lalu (gambar diatas!) dan saya amat terkejut kerana Samsung INNOV8 akan dijual di Malaysia pada bulan ini (September). Ini merupakan satu berita yang baik kerana apabila telefon ini dijual, maka model-model Samsung yang sedia ada akan lebih murah (bayangkanlah jika G810 berada pada harga RM1300 sahaja!) dan satu lagi telefon ini akan membantutkan penjualan model Nokia Symbian seperti N85 dan N96 yang hanya akan mula dijual di Malaysia pada Oktober tahun ini.

Kepada Samsung, tahniah saya ucapkan dan percayalah akan lebih ramai lagi yang akan beralih kepada Symbian tak kira dari jenama Nokia, Samsung, LG, Motorola atau Sony Ericsson pada masa hadapan.

banner-anim0

Laman Berikutnya »

Create a free website or blog at WordPress.com.