Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

Oktober 31, 2008

Tips UIQ3 #2 – 10 Freeware Untuk UIQ3

Filed under: Tips Pengguna Symbian — adliayob @ 2:48 pm
Tags: ,

Pada 28/10/2008 yang lalu saya pergi memancing di Tampi-Tampi, Semporna, Sabah dengan adik saya. Kami mula memancing dari jam 7.00 hingga 10.30 malam. Tidak sampai 10 minit, saya berjaya menaikkan ikan jenahak (kutambak) bersaiz tapak tangan. Tetapi malam itu bukan milik saya, kerana adik saya berjaya menaikkan ikan pari bintik sebesar 4 tapak tangan lebih kurang 3.5 kilogram. Dari riak wajahnya ternyata dia puas setelah bertarung dengan pari tersebut selama 22 minit. Setelah selesai memancing, kami ke sebuah restoran untuk minum dan WiFi.

Memancing merupakan satu ujian kesabaran untuk seorang manusia. Dalam aktiviti memancing, kita sebenarnya dapat mengenali rakan-rakan kita. Ini kerana bukan semua orang bernasib baik seperti adik saya. Ada kalanya setelah 5 jam memancing akhirnya pulang tangan kosong. Ada juga yang akan menceritakan segala masalah hidupnya tatkala menunggu umpan disambar ikan. Ada juga yang akan hilang sabar dan mengamuk tidak tentu pasal. Macamlah laut tu dia punya. Kadang-kadang jika dapat kawan seperti ini, mahu saja saya tunjukkan jari tengah kepadanya. Memancing bagi saya adalah masa untuk mengenali diri sendiri dan bertukar-tukar fikiran sesama rakan. Pada malam itu kami bercakap-cakap mengenai Sony Ericsson G900 yang dibelinya pada Hari Raya baru-baru ini.

Soalannya mudah sahaja, ‘Tiadakah perisian percuma yang boleh dimasukkan ke dalam G900 ini?’. Memang itu kebiasaan orang yang memakai Symbian. Jadi disini saya akan berkongsi dengan anda 10 perisian percuma yang boleh dipindah-turun (download) dari internet khusus untuk telefon Symbian UIQ3:

1. Opera Mini

Secara default (automatic), setelah kita membeli sebuah telefon UIQ3, pelayar Opera Mobile versi 8.65 akan berfungsi sebagai ‘Web Browser’nya. Namun selalunya kita tidak merasa puas kerana ia tidak setanding dengan ‘Web Browser’ komputer atau laptop kita. Kini masalah ini selesai! Memperkenalkan OPERA MINI untuk UIQ3. Satu ‘Web Browser’ yang sangat baik, laju, selesa dan yang paling penting menawarkan pengalaman web setanding laptop. Setiap laman web akan dibuka mengikut ukuran sebenar dan pengguna boleh ‘zoom-in’ untuk pembacaan yang lebih jelas walaupun skrin anda hanya sebesar 2.4 inci. Kemudian anda boleh menggerakkan skrin (yang telah di ‘zoom’ tadi) menggunakan jari anda sahaja. Selain itu, dengan Opera Mini pengguna boleh ‘download’ sebarang data dan juga ‘log-in’ ke sebarang web yang memerlukan ‘user-name’ dan ‘password’.

2. Google Maps

Biasa dengan Google Earth pada komputer anda? Ingin menyaksikan peta jalanraya untuk mencari alternatif bagi mengelak kesesakan atau lari dari polis? Ingin mencuba GPS yang tersedia pada telefon anda? atau hanya sekadar menikmati WiFi sambil berlagak sombong dengan UIQ3 mencari gambar satelit dan kemudiannya menayangkan kepada awek (cewek) di sebelah tempat duduk dan seterusnya dia mengagumi anda dan berkata ‘Wow! hebatlah U!’? Semua aktiviti yang disebutkan di atas dapat anda laksanakan dengan GOOGLE MAPS untuk UIQ3. Sesiapa sahaja yang saya demonstrasikan perisian ini akan berasa kagum kerana kita seolah-olah mengawal satelit dari telefon bimbit. Yang paling menarik ialah perisian ini percuma!

3. WorldMate

Anda adalah seorang yang sangat berjaya! Dalam seminggu hidup anda berada diawan biru. Isnin di Kuala Lumpur, Rabu di Jakarta dan Jumaat di Manila. Pada malam Ahad anda berada di Singapura berbincang tentang bisnes bersama klien-klien anda. Masalah anda ialah: Bagaimana saya ingin mendapatkan nilai semasa tukaran mata wang? Apakah perbezaan zon waktu nyata Kuala Lumpur dan Jakarta? Berapakah nilai tukaran 100 Hektar kepada Ekar? (kerana ladang sawit anda berada di seluruh Nusantara) atau berapakah saiz kasut mengikut ukuran USA? Semua ini akan terjawab jika anda memasukkan perisian WORLDMATE ke dalam telefon UIQ3 anda.

4. TouchCalc

Perisian ini lebih mudah dari ‘Calculator’ yang sedia ada. TOUCHCALC menggunakan keseluruhan skrin telefon dan melakar bebutang nombor bersaiz besar yang sangat selesa disentuh dengan jari.

5. Anfy Callfilter

Anfy Callfilter mampu menjadi sahabat setia untuk menapis segala sms, mms dan panggilan telefon yang mengganggu keamanan anda. Perisian ini sangat sesuai digunakan oleh golongan selebriti, karyawan, ahli politik atau sesiapa sahaja yang mahu lari dari panggilan Ah-Long! Jika sesiapa sahaja yang menelefon, talian anda tetap berada diluar kawasan!

6. Swiss Manager

Perisian penting kepada pemilik UIQ3. Ia merupakan task manager, file manager, system information, ram defragmenter dan akan memastikan sistem berada dalam keadaan optimum tanpa masalah ‘hang’, ‘restart’ atau penyakit ‘dump-file created’. Kepada pengguna Sony Ericsson P990, W950 dan M600, saya sangat menyarankan perisian ini kerana secara semulajadi, RAM anda sangat kurang (64Mb) berbanding P1i, W960 dan G900 (128Mb).

7. TimeBlob

Satu masalah kepada pengguna UIQ3 adalah JAM. Memang benar, jam terpapar di ‘standby-screen’ telefon anda, tetapi sebaik anda memulakan perisian yang lain, maka jam tidak akan kelihatan. Selalunya, anda terpaksa ‘minimize’ perisian tersebut dan kembali ke ‘standby-screen’ hanya untuk melihat waktu. Dengan TIMEBLOB masalah ini selesai. TimeBlob akan memaparkan jam kecil di kawasan ‘task-bar’ dan ia sentiasa wujud pada mana-mana perisian. Selain itu, anda juga boleh menyeret jam ini untuk mengalihkannya jika ia mengganggu pandangan. Satu perisian yang kecil tetapi sangat bernilai bagi mereka yang menghargai waktu kerana demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian!

8. DIVX Player

Hampir semua orang yang memiliki telefon S60 mahu berkongsi video ‘SmartMovie’nya kepada anda. Malangnya setelah dihantar melalui Bluetooth, video tersebut tidak dapat dimainkan. Begitu juga dengan fail-fail video avi dan divx yang terdapat dalam komputer anda. Semuanya tidak dapat dimainkan apabila dipindah ke telefon UIQ3 anda. Saat ini anda memerlukan DIVX Player. DIVX player dapat memainkan fail video XVID, DIVX, SmartMovie dan AVI pada telefon anda. Satu perisian yang sangat diperlukan tatkala video yang berwarna-warni itu berjaya dipindahkan ke telefon anda!

9. Mobipocket Reader (MobiReader)

Perisian ini bertindak sebagai ‘ebook-reader’ yang sangat efektif sekali. Ia mampu membaca format PDB, PRC, HTM, HTML atau lain-lain format e-book. Dengan terdapat lebih 100 tajuk e-book percuma di internet, kini anda boleh ‘download’ dan terus membacanya di telefon untuk membunuh waktu perjalanan KTM komuter dari Rawang ke Seremban. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk cuma sekadar memenuhi pesan guru sekolah anda yang sentiasa bising mengingatkan supaya rajin membaca. Maka BACALAH dengan nama tuhanmu yang maha mencipta!

10. GDesk

Ingin menukarkan rupa bentuk skrin telefon UIQ kepada Windows Vista? Atau sememangnya anda seorang yang misteri kerana setiap hari menukar ‘standby-screen’ (atau UI) telefon hanya kerana meraih perhatian orang lain terhadap anda? Kini anda tidak perlu bersusah payah menukar themes atau mengupah orang lain untuk memastikan yang skrin P1i anda berubah bentuk dan tidak lagi sama dengan P1i musuh anda di pejabat. Masukkan sahaja GDESK ke telefon anda dan semua orang akan bertanya… ‘Sony Ericsson P1i kau ni pakai Windows ya?’

Demikianlah tadi 10 perisian percuma mengikut pilihan saya yang sangat penting untuk UIQ3. Selain dari 10 perisian yang dinyatakan, ada lagi perisian lain seperti:-

  • The Open Screen Capture (Untuk menangkap skrin pada UIQ3)
  • GView (Photo Browser – Menggantikan ‘Picture Viewer’ pada UIQ3)
  • Fring (Social Networking Software & VOIP Telephone – Sama seperti Yahoo Messenger)
  • FreeRange (Pembaca RSS (RSS Feed/ Reader))

Mungkin anda juga mempunyai pandangan sendiri mengenai perisian percuma UIQ3. Sila utarakan sebarang komen, pandangan atau tanggapan anda disini untuk sama-sama berkongsi dengan pengguna yang lain.

Oktober 27, 2008

Cakap-Cakap: Kesedaran Teknologi Telefon Bimbit Di Kalangan Kita

Sebelum saya menerangkan lebih jauh mengenai Symbian, mari kita lihat sejenak kesimpulan (summary) yang kita telah ketahui setakat ini. Apa yang tercatat disini amat penting kerana selepas ini kita akan dalami secara teknikal tentang Sistem Operasi Symbian.

Malaysia merupakan sebuah negara yang dinamik, berdaya-saing dan sentiasa mengikut trend terkini. Komposisi kaum penduduk Malaysia menunjukkan yang bangsa Bumiputera (Melayu, Sub-Group Melayu, Peribumi) mendominasi lebih 52% daripada jumlah 27 juta penghuninya. Selebihnya dipenuhi dengan lain-lain warganegara seperti kaum Cina, India, Benggali, Peranakan, Inggeris, Siam dan lain-lain. Disebabkan kestabilan politik yang baik dan sikap toleransi antara kaum yang dipegang sejak merdeka, kini Malaysia boleh berbangga dengan pelbagai kejayaannya.

Multimedia Super Corridor sebagai contoh, telah meletakkan Malaysia sebagai hub IT (Gerbang Teknologi Maklumat) yang terkandung didalamnya pelbagai falsafah, inkubator, R&D, syarikat teknokrat dan yang paling utama kemudahan infrastruktur kelas 1 setanding lain-lain negara maju. Namun jika dikecilkan sedikit kepada sektor telekomunikasi, jelas menunjukkan yang rakyat negara ini kurang kesedaran dan kadang-kala menjadi pengikut trend tanpa menyelidik atau berfikir mengenainya.

Saya ingin berbicara tentang segmen telekomunikasi – lebih tepat lagi menjurus tentang teknologi telefon bimbit. Jika terdapat beberapa perbandingan dengan rakyat di negara lain, saya dahulukan dengan memohon maaf kepada anda pembaca budiman. Kadangkala jika kita tidak pernah keluar negara atau berhijrah ke lain-lain tempat didunia, sememangnya kita merasakan ‘kepompong’ yang kita huni amat baik dan selesa sekali.

Awal pertengahan tahun 1980-an, ATUR dengan spektrum 450MHz dilancarkan dan serentak dengan itu telefon bimbit berjenama Benefon, Nokia dan Motorola mendominasi pasaran. Tidak lama kemudian ART 900 diperkenalkan maka muncullah syarikat TELCO seperti CELCOM dan MOBIKOM. Pada masa itu siapa yang tidak kenal dengan NEC PRIMERO dan MOTOROLA MICROTAC?

Pada hujung 1990-an revolusi GSM telah menyaksikan yang telefon bimbit perlu dimasukkan SIMCARD untuk pengaktifan dengan 3 pilihan prefix (010, 019, 012). Seingat saya pada 1997 Telefon Motorola StarTAC, Nokia dan Ericsson menjadi ikon terbaru untuk ‘businessman’ dan penggunaan telefon bimbit kini lebih meluas. Namun hanya segelintir rakyat ‘berpendapatan tinggi’ mampu memiliki dan menguruskannya.

Tidak lama kemudian tiba pula zaman PREPAID. Ini menyebabkan Ericsson, Nokia, Motorola, Sagem dan Siemens berlumba-lumba memperkenalkan telefon bimbit mereka dan harga model-model telah jatuh di bawah RM1,000.00 untuk satu unit. Raja telefon bimbit masa itu adalah Nokia 3210, Ericsson T10, Motorola StarTAC X dan lain-lain. Pengalaman memiliki sebuah telefon bimbit pada masa ini merupakan yang paling indah walaupun hanya disediakan 1 ‘game’ iaitu SNAKE atau TETRIS.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi telekomunikasi di Malaysia, silakan klik: http://www.avaxx.com/aboutus/mobtech_box.htm

Jenama telefon semakin banyak. Sony, Nokia, Sagem, Panasonic, Nokia, BenQ, Siemens, Ericsson, Bosch, NEC, Pantech, GIO, Samsung dan LG makin menggila memperkenalkan model-model terkini untuk mendapatkan sedikit pegangan dalam ‘market-share’ yang semakin gawat. Tiba-tiba, sebuah konsortium diwujudkan pada tahun 1998 dan memperkenalkan OS (Sistem Operasi) yang dinamakan SYMBIAN sebagai teras sistem kepada model-model telefon bimbit masa depan. Ahli konsortium ini terdiri dari PSION, NOKIA, Motorola dan Ericsson.

Pada November 2000, telefon pertama Symbian – Ericsson R380 muncul dan dengan ini bermulalah anjakan teknologi telefon bimbit kepada lebih teknikal dan maju. Apa yang konsortium ini tidak ketahui ialah; dengan kelahiran Symbian – senario telefon bimbit bakal berubah kepada ‘mobile computer-powered multimedia device’ dan bukan lagi hanya sekadar sebuah telefon yang mampu mendail dan menaip pesanan ringkas sahaja.

Nokia N95 membuktikan teori ini. Ia dikenali sebagai ‘Nokia Multimedia Computer’ dan dilengkapi dengan lensa Carl Zeiss 5.0 Megapixels. Harganya sangat mahal. Kemudian ia dijadikan kayu aras (benchmark) kepada lain-lain model telefon hingga kini.

Apa yang tidak disedari oleh pengguna telefon bimbit di Malaysia ialah; Nokia N95 dikuasakan dengan OS Symbian 9.2 pada platform S60-3rd Edition. Berbanding dengan masyarakat Singapura dan Jakarta pada ketika ini, rata-rata lebih memilih OS berbanding MODEL pengeluar. Jika dikalangan mereka lebih selesa menggunakan PALM atau WindowsMobile selaku OS, maka Nokia N95 ini diketepikan dan tidak menjadi pilihan.

Symbian OS sejak dilancarkan dahulu mempunyai 3 platform utama iaitu S60, UIQ dan MOAP. Platform-platform ini seterusnya bertindak sebagai UI (User Interface) kepada teras sistem operasi (CORE) iaitu SYMBIAN. Apabila satu platform (S60) digunapakai terhadap 2 handphone, contohnya Nokia N95 dan Samsung G810, maka bebutang kawalan, tindakbalas pengguna, faktor mesra-pengguna (user-friendliness), perisian sumber-ketiga (3rd Party Software), Permainan (Games), pepijat (software-bugs), menu, kaedah menulis mesej sms dan lain-lain ciri (fitur) adalah SAMA. Ini tidak ubah seperti memiliki 2 buah laptop contohnya COMPAQ dan ACER dimana masing-masing dipasang dengan Windows XP sebagai OS-nya. Apa yang dipasang (Install) pada Nokia N95 (Contohnya perisian WorldMate) semestinya boleh dipasangkan ke dalam Samsung G810. Untuk itu mari kita perhatikan grafik dibawah dan membandingkan UI antara 2 telefon Symbian S60 ini:-

Nah! mari kita sekali lagi membandingkan antara Nokia E71 dan LG KT610 pula. Telefon-telefon ini menggunakan Symbian 9.2 sebagai teras dan S60-3rd Edition sebagai platform:-

Apa yang boleh disimpulkan disini ialah, semua grafik yang dipaparkan diatas menunjukkan yang ‘behaviour’ penggunaan telefon-telefon ini adalah SAMA dan SEIRAS. Namun sesetengah antara kita masih lagi mengatakan ‘saya tidak akan berubah kepada lain-lain jenama kerana sudah terbiasa dengan jenama sekarang’.

Saya memiliki 3 buah telefon S60 iaitu Nokia 3230, Panasonic X800 dan Samsung i450. Setiap kali saya tunjukkan telefon-telefon ini, pasti rakan-rakan akan bertanyakan ‘bagaimana engkau masukkan sistem Nokia kepada Samsung yang engkau pegang itu?’. Secara jujur, saya tidak pernah menukarkan mana-mana sistem telefon saya dan saya cuma ingin buktikan kepada mereka yang pada suatu masa nanti, boleh kata setiap model telefon yang bakal dijual berfungsi pada OS dan platform yang sama!.

Zaman telefon kita telah berubah daripada skrin 1 warna kepada 16 juta warna, dari monofonik kepada hi-fi, dari infra-red kepada WiFi dan dari 0.3 Mpix kepada 8.0 Mpix. Saya akui yang bukan semua orang mampu memiliki telefon-telefon canggih ini tetapi ramai juga yang mengumpulkan duit gaji, bonus dan simpanan untuk membeli sebuah telefon bimbit mahal yang hanya selepas itu menyesal kerana telefonnya cuma berfungsi tidak lebih dari menu-menu yang dipaparkan tanpa kebolehan untuk menerima perisian, games, themes, wallpaper dan peningkatan fungsi dari pihak luar. Akhirnya ia terkaku, terasa rugi dan menyesal lantas pergi ke kedai telefon berhampiran untuk ‘trade-in’ kepada model yang lebih baru. Kemudian sekali lagi ia menyesal apabila mengetahui yang telefon barunya kali ini tetap tidak sebanding dengan fungsi telefon bimbit rakan-rakannya. Maka berlaku lagi pembaziran kali ke-3. Dan kali ini ia tidak tersalah pilih, Nokia N95 sudah di tapak tangan. Cuma bezanya pada kali ini, dia tidak menghiraukan ‘buku panduan’ (manual) yang tersedia didalam kotak, dan apabila berlaku kerosakan kecil pada telefon, dia mempersalahkan pelbagai pihak. Akhirnya sekali lagi dia ke kedai telefon untuk menukarkan telefonnya kepada telefon biasa. Serik – itulah yang seringkali diucapkan dan dinasihatkan kepada rakan-taulan.

Kejadian ini menunjukkan perangai sesetengah kita yang mengabaikan ilmu pengetahuan. Seperti juga membeli peralatan elektrik yang lain, beribu-ribu wang dapat dijimatkan jika beliau bertanyakan kepada yang ahli sebelum membeli sebuah telefon bimbit. Begitu juga dengan buku manual yang tetap tersimpan rapi di dalam kotak. Alangkah baiknya jika kita membuat sedikit pembacaan dari ‘manual-book’ itu atau penyelidikan terhadap teknologi (sebaiknya dari sumber Internet) sebelum membuat sebarang pembelian?

Cerita ini saya dedikasikan kepada seorang rakan – En. ARIL yang berada di Seremban. Beliau sebelum ini menggunakan Nokia 1100 (hitam-putih, monofonik dan murah) sebelum benar-benar berjimat dan akhirnya kini memiliki Nokia N82 yang serba lengkap. Kelebihan Aril perlu dicontohi oleh lain-lain kerana beliau berusaha untuk belajar tentang ‘Symbian’ di Internet walaupun pertama kali membeli N82. Kemudian, beliau berusaha menarik perhatian saya untuk berjumpa beliau dan melaksanakan proses installasi software dan games pada telefon tersebut. Sekarang sememangnya Aril patut berbangga dengan usaha beliau kerana rakan-rakan sepejabat telah mula iri-hati, geram dan memendam-rasa terhadap N82 beliau yang telah dipertingkatkan.

Selain S60, platform komersil yang dihasilkan oleh Symbian ialah UIQ. Berbeza dengan S60, telefon UIQ berteknologi ‘touchscreen’ dan mirip kepada ‘PDA’. 2 syarikat yang mendominasi UIQ ialah Sony Ericsson dan Motorola. Untuk itu mari saksikan UI yang terdapat pada Sony Ericsson P1i dan Motorola Z8:-

Kedua-duanya tampak sama dengan cara kepenggunaan yang tidak jauh berbeza. Oleh kerana kedua-duanya dikuasakan dengan platform UIQ, maka ia sangat berbeza dengan golongan S60 yang kita bincangkan awal tadi. Platform UIQ pada Symbian diwujudkan untuk memberi pilihan kepada pengguna selain ianya agak teknikal berbanding S60. Keistimewaan ‘touchscreen’ pada UIQ memang memberikan pengalaman baru terhadap pengguna S60 yang berhijrah kepadanya. Saya tidak menafikan yang saya juga adalah seorang yang berhijrah dari S60 kepada UIQ. Kini terdapat 3 model UIQ dikalangan adik-beradik saya (W960, P1i dan G900) dan kami berasa bangga atas teknologi ini.

Langkah seterusnya untuk masa hadapan, Symbian hanya akan mengeluarkan 1 sahaja platform untuk model-model telefonnya. Ini bermakna tiada lagi S60, UIQ dan MOAP. Semuanya menggunakan 1 platform universal tidak kira jenama LG, Sony Ericsson, Samsung, Nokia atau Motorola. Sedikit bayangan platform ini terdapat pada model Nokia 5800 XpressMusic yang dilancarkan baru-baru ini. Ia dikenali sebagai S60-5th Edition dan mengadaptasi teknologi ‘touchscreen’ pada ‘user-interface’nya. Tetapi platform sebenar hanya diketahui 2 tahun lagi dan mungkin pada tahun hadapan Symbian-Foundation akan mengumumkannya.

Jika kita lihat pada 3 tahun yang akan datang, Symbian akan terus mendominasi pasaran telefon bimbit dunia. Akan muncul teknologi-teknologi baru seiring langkah kerjasama yang disaksikan oleh lebih 10 syarikat telekomunikasi di dalam yayasan Symbian. Pihak pengeluar, promoter (termasuk Blog Symbian Malaysia), pengedar dan penjual telefon Symbian akan meraih keuntungan berlipat ganda. Dikalangan pengguna pula hanya segelintir sahaja yang beruntung dan berbaloi kerana segolongan lagi masih menghabiskan wang tercari-cari telefon yang sesuai.

Artikel ini dikeluarkan sebagai ‘summary’ dengan tujuan untuk memberi pendedahan teknologi telefon khusus buat Sistem Operasi Symbian untuk tatapan anda. Ia juga diterbitkan untuk menghilangkan rasa skeptikal terhadap lain-lain model Symbian khusus dikeluarkan oleh Samsung, LG dan Motorola. Setiap pengguna telefon Symbian amat jarang bertukar model kerana mereka benar-benar mengetahui tentang ‘firmware-upgrade’, installasi software & games dan kebolehpercayaan Symbian merentasi masa. Contohnya telefon Nokia 3230 yang saya miliki pada 2004 hanya diketahui umum boleh digunakan sebagai modem broadband DIGI/CELCOM/MAXIS pada masa sekarang. Ini membuktikan kenyataan saya sebelum ini. Contoh lain, teknologi DLNA pada Samsung i7110/i8510 hanya akan digunakan secara meluas dalam 3 tahun yang akan datang kerana pada masa itu pengguna telefon ini mampu mengawal peralatan elektrik rumah (televisyen, radio, pendingin-hawa, mesin basuh dan sebagainya) hanya dengan satu klik ditelefon Symbian mereka!

Diharapkan tiada lagi rungutan dan komen ‘Saya tidak akan menggunakan lain jenama kerana sudah terbiasa dengan Nokia’. Setiap model yang di’review’ dalam blog ini bertujuan untuk membiasakan anda kepada persekitaran Symbian. Telefon LG-KT610, Samsung i7110, Samsung i450, Samsung i8510 dan Motorola Z8 tidak jauh berbeza dengan sebuah Nokia N95 yang ada dalam genggaman anda sekarang. Mungkin ada juga beranggapan yang saya memencilkan telefon Nokia kerana tidak pernah membuat sebarang prapandang terhadapnya. Jika kita dapat berfikir ‘keluar dari kotak’ (Out Of The Box) kita segera akan menemukan jawapannya. Wallahualam.

Klik untuk kronologi (sejarah) Symbian Ltd.
http://www.metalgrass.com/symbianinvestor/SymbHist.html

banner-anim0

Oktober 22, 2008

Prapandang – LG KT610: Pencabar E-Series

Filed under: Prapandang (Reviews) — adliayob @ 4:33 pm
Tags: , ,

Pada 20/10/2008 yang lalu saya telah ke Plaza Low Yat Kuala Lumpur untuk ‘memburu’ model-model Symbian baru. Saya berkata dalam hati, jika nasib saya baik, mungkin saya terserempak dengan Nokia N85, N79, Motorola Z10, Sony Ericsson G700, G702 (Beibei) atau LG KT610. Tujuan pencarian ini adalah untuk ‘review’ dan dengan itu saya perlu mendapatkan kedai atau gerai yang boleh memberikan kerjasama terhadap Blog Symbian Malaysia.

Saya akhirnya singgah di City Mobile Communication, Tingkat 2 Plaza Low Yat dan Mr. Lee (jurujual bertugas gerai LG Mobile) memberikan kerjasama penuh untuk proses prapandang telefon LG KT610 yang merupakan model pertama LG-Symbian yang dijual di Malaysia setelah model KS10 (Joy) tidak diperkenalkan di pasaran tempatan. Seperti yang telah saya nyatakan dahulu, pasaran Symbian di Malaysia agak sederhana dan ini menyebabkan LG Mobile mengambil keputusan untuk tidak memperkenalkan model KS10 disini (tetapi kepada sesiapa yang mempunyai model ini, minta hubungi saya untuk proses prapandang).

Persepsi pertama terhadap telefon ini – ia seakan-akan model ‘communicator’ milik Nokia, namun mempunyai saiz yang lebih kecil dan spesifikasinya tidak sebanding dengan Nokia E90. Tetapi keunikan ini menjadi tarikan kepada saya untuk mendekatinya.

Dimensi LG KT610 adalah lebih-kurang sama dengan Sony Ericsson W960 saya. Jika dilihat dalam keadaan normal, tiada yang luar biasa pada telefon ini. Tetapi apabila bertukar kepada ‘Flip Open Mode’ aura telefon ini terpancar dan platform S60-3rd Edition jelas kelihatan pada ‘standby-screen’nya. Ini meletakkan ianya sekelas dengan Nokia E-Series (seperti E61/E62/E71) kerana mempunyai resolusi skrin yang sama (320 x 240 pixels). Saiz skrin dalaman LG KT610 adalah sebesar 2.4 inci.

Kekunci QWERTY unit ini adalah selesa sekali apabila digunakan. Begitu juga dengan butang ‘MENU’ S60 yang lazim (familiar) dan D-Pad 5 arah yang mudah dikendalikan. LG KT610 dikuasakan dengan OS Symbian 9.2 dengan ciri-ciri (fitur-fitur) Navigasi GPS, Push Email & Fax, QWERTY Keypad, Aplikasi Google, Kamera 2 MPix, HSDPA 3.6 Mbps dan mempunyai 2 skrin.

Pada harga tawaran RM1799, telefon ini mampu menjadi alternatif kepada Siri Communicator. Seperti yang diduga, semua ‘software & games’ Symbian S60-3rd Edition berjaya dipasang dan dijalankan. Namun kerana hanya sedikit promosi terhadap model ini berbanding Viewty, Secret & Shine menyebabkan ia kurang mendapat sambutan. Pada saya, sepatutnya LG Mobile perlu memfokuskan kekuatan SYMBIAN sebagai satu poin jualan dan langkah ini juga akan mengurangkan rasa ‘phobia’ terhadap pemilikan model ini.

Memang pasaran Symbian di Malaysia agak sederhana, tetapi jika ada usaha mendidik masyarakat (terutamanya dari TELCO) terhadap kesedaran Symbian, saya yakin model ini dan model akan datang bakal dijual dengan baik.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya En. Izham Fariz kerana membantu saya dalam pengambaran fotografi (Nikon DSLR) untuk prapandang kali ini.

Kepada mereka yang menggunakan model ini sila setkan GPRS/3G/MMS anda mengikut model Nokia E61/ E61i/ E62 atau E71.

Oktober 21, 2008

Berita – Samsung i7110 Telah Diumumkan!

Filed under: Berita Symbian,Cakap-Cakap Symbian — adliayob @ 1:33 am
Tags: , ,

Pada hari ini (20 Oktober 2008) Samsung telah melancarkan telefon S60-3rd Edition terbaru dikenali dengan SAMSUNG i7110. Ini merupakan Samsung S60-3rd Edition Ke-5 dilancarkan pada tahun ini dimulakan dengan i450, i550, G810 dan i8510.

Dikuasakan dengan OS Symbian 9.3 telefon Samsung i7110 berbentuk ‘candy-bar’ dan berbingkai logam (metal housing) sepenuhnya. Ia agak berat (125gm) namun ketelitian dan kekukuhan-buatan Samsung jelas terpancar dari telefon ini.

Saya boleh katakan yang telefon ini merupakan ‘adik’ kepada Samsung i8510 dan bakal terjual dengan baik kelak apabila dipasarkan sekitar bulan Disember. Spesifikasinya sangat baik – dilengkapi WiFi, FM Transmitter, GPS (dan AGPS), Optical Mouse (pada D-Pad), Kamera 5Mpix dengan autofocus, DIVX, TV-Out dan FM-Radio (dengan RDS). Fungsi Aotoscreen Rotation (Accelerometer) turut terdapat pada telefon ini.

Pada skrin AMOLED bersaiz 2.6 inci, mutu paparan skrin Samsung i7110 adalah sangat baik dan terang. Sebelum ini teknologi AMOLED digunakan pada model N85. Saiz ketebalannya 12.9mm juga merupakan ‘plus-point’ kepada model ini.

Saya positif jika harga pengenalan Samsung i7110 dibawah RM1700 ia bakal terjual dengan banyak dan mungkin saya juga akan mendapatkannya kerana tidak mampu membeli INNOV8 🙂

http://www.gsmarena.com/samsung_i7110__lean_mean_symbian_smartphone_on_steroids-news-634.php
http://www.slashgear.com/samsung-i7110-s60-smartphone-with-amoled-3g-gps-wifi-2019734/
http://www.symbian-freak.com/news/008/10/samsung_s60_i7110_specs.htm

Oktober 13, 2008

Cakap-Cakap: Samsung INNOV8 Di Tapak Tangan

Filed under: Berita Symbian,Cakap-Cakap Symbian,Prapandang (Reviews) — adliayob @ 3:59 am
Tags: ,

Cuba renungkan situasi ini; Anda mempunyai wang sebanyak RM3,500.00 untuk dibelanjakan pada sebuah telefon. Dihadapan anda ada 2 model yang berfungsi dengan keadaan yang sama iaitu Nokia N96 dan Samsung i8510 INNOV8. Kedua-duanya dikuasakan dengan S60 3rd-Edition FP2 yang terbaru. Perbezaan fizikal yang nyata terletak pada lensa 5Mpix (N96) dan 8Mpix (Innov8). Harga? N96 = Rm3,339.00 manakala INNOV8 = Rm2,899.00. Jadi apa pilihan anda?

Saya bertuah kerana dapat memegang dan melaksanakan ‘review’ Samsung i8510 (Innov8) pada hari ini. Terkejut juga kerana dimensi saiznya seakan-akan Sony Ericsson W960 saya. Tidaklah besar sangat, agak tipis (lebihkurang 16 – 17mm sahaja), cantik, stylish, executive-look dan tidak berat. Perkara pertama yang saya cuba ialah ‘touchpad’ dimana dari sinilah perkataan ‘INNOV8’ muncul. Ya, ia sangat responsif, seolah-olah mengendalikan ‘touchpad’ pada laptop saya – saya begitu teruja!

Perkara kedua ialah skrin i8510 yang besar (2.8 inci) berbanding Samsung i450 (2.4″) dan W960 (2.6″). Apabila diterbalikkan, aura lensa 8Mpix menggamit pandangan dan menyebabkan orang disebelah saya berkata ‘WoW!’. Kualiti buatan (build-quality) Samsung tidak perlu dipertikaikan pada set ini kerana kita sedia maklum ianya jauh lebih baik dari Nokia.

Jurujual E-ZONE Mobile Clinic, Tingkat Tiga, Seremban Parade – Cik May bekerjasama dengan saya dan memberikan ruang sepenuhnya untuk telefon ini di’review’. Seterusnya dia menyatakan yang set ini sudah ada yang punya dan baru sahaja sampai pada hari ini. 15 minit kemudian tuanpunya telefon datang membayar dan Cik May memberikan keseluruhan pakej jualan termasuk kad microSD 8gb, ‘pouch’ dan ‘screen-protector’ dengan jaminan penuh FMG Malaysia. Model yang dijual adalah i8510-8Gb dan model 16Gb akan menyusul dalam masa 1-2 bulan ini.

Walaubagaimanapun, pakej jualan yang disebutkan adalah ‘Pakej Promosi FMG’ untuk masa terhad sahaja. Jadi, jika anda terlepas promosi ini, kad percuma 8Gb tidak akan disertakan. Saya amat gembira dengan pelancaran i8510 kerana ia bakal menyebabkan Samsung G810 akan turun harga dalam masa terdekat.

Samsung i8510 INNOV8 mungkin bukan menjadi pilihan saya kerana faktor harga yang mahal, namun ia tidak menjadi kekangan kepada lain-lain individu termasuklah pembeli bertuah yang saya temui petang tadi di Seremban Parade. Syabas Samsung!

Oktober 9, 2008

Tips UIQ3 #1 – Handwriting Recognition

Filed under: Tips Pengguna Symbian,Tutorial Symbian — adliayob @ 2:45 am
Tags: ,

Hmm… ramai bertanyakan kepada saya ‘apa gunanya ikon segitiga yg kerap muncul apabila mesej sms ditulis menggunakan UIQ3?’ Jadi di sini saya akan cuba berikan beberapa tips sebagai panduan pengguna UIQ3.

Symbian UIQ3 mempunyai kelebihan tersendiri berbanding S60 atau MOAP. Kelebihan ini terletak pada fungsi (fitur) touchscreen dan handwriting recognition yang tidak terdapat pada lain-lain platform. Biasanya pengguna UIQ amat jarang menggunakan kemudahan ini kerana sudah terbiasa dengan keypad (atau keyboard). Lebih-lebih lagi pengguna yang berhijrah dari S60 kepada UIQ – keadaan ini terasa janggal dan kadang-kadang diabaikan.

Apabila kita mula menulis sms, notes, alamat laman web dan ‘editing’ menggunakan QuickWord pada UIQ3, skrin UIQ3 akan bertukar secara automatik seperti gambarajah di atas. Satu segitiga akan muncul disebelah kanan (tengah) skrin sebagai penanda untuk kemudahan menulis. Anda boleh memerhatikan dengan teliti gambarajah diatas untuk mula mempelajari kaedah menconteng dengan ‘handwriting recognition‘ yang telah tersedia pada UIQ3.

Untuk lebih jelas, anda boleh klik pada gambarajah dibawah ini untuk panduan penulisan penuh contengan tangan UIQ3. Saya secara peribadi lebih gemarkan kaedah ini apabila saya mengarang menggunakan telefon Sony Ericsson W960 saya.

Itu sahaja buat kali ini dalam Tips UIQ3. Saya akan berikan lagi tips-tips yang bermanafaat untuk anda semua di masa akan datang.

Oktober 7, 2008

Cakap-Cakap: Sony Ericsson G900

Filed under: Cakap-Cakap Symbian,Prapandang (Reviews) — adliayob @ 4:00 am
Tags: ,

iklan-symbianku

Pernah dengar ungkapan begini “Luar Setinggan, Dalam Kondo”? Itulah yang boleh saya simpulkan apabila mencuba telefon Sony Ericsson G900 ini. Ianya kecil, tipis, tampak seperti telefon biasa. Sekali imbas – tiada istimewanya telefon ini, tetapi jangan tertipu kerana ia dikuasakan dengan OS Symbian 9.1 pada platform UIQ3.1 yang diperbaharui. Perhatikan gambar-gambar di bawah ini:-

Pada malam 29 ramadhan baru-baru ini, adik bongsu saya berbincang panjang mengenai model-model telefon Symbian yang patut dibeli olehnya bersandarkan spesifikasi seperti kamera 5Mpix, WiFi, ketahanan-buatan, sokongan maksima kad memori, saiz skrin dan nilai ‘glamour’. Akhirnya 4 model saya sarankan iaitu Samsung G810, Nokia N82, Nokia 6220 Classic dan Sony Ericsson G900 kepadanya. Pada keesokan harinya (30 ramadhan/ 30 okt) maka dengan rasminya adik saya memiliki Sony Ericsson G900 ini.

Berikut merupakan software dan games yang telah di’install’ pada telefon ini. Kesemua yang tertera dibawah beroperasi dengan baik – sama seperti Sony Ericsson W960 saya:

  • Scribbler (Perisian menconteng pada touchscreen)
  • AVG Security (Anti Virus)
  • DIVX player (Pemain media divx/xvid/smartmovie)
  • LCG Jukebox (Pemain audio MP3 yang hebat)
  • PD English-Indonesia Dictionary (Kamus Inggeris-Melayu)
  • XPLORE (Aplikasi pengurusan fail)
  • Google Maps dan Opera Mini.
  • Asphalt 2 3D
  • Ball Rush Aqua
  • Frozen Bubble
  • K-Rally
  • Skyforce Reloaded
  • Platypus (ya.. yang macam dalam komputer tu)
  • Psarakia

Secara keseluruhan, telefon ini amat baik sekali. Saya boleh katakan yang G900 memiliki kekuatan siri W (Walkman) dan K (Kamera) dari Sony Ericsson. Kekuatan bunyi yang dihasilkan adalah sama dengan kualiti W960, dengan opsyen ‘MegaBass’ turut disertakan dalam pemilihan ‘Equaliser’nya. Namun, jika bertarung dalam segmen kualiti gambar, G900 gagal menyaingi K850i yang dikuasakan dengan teknologi ‘CyberShot’. Cuma kelebihan kamera G900 terletak pada ‘menu’ yang boleh disentuh (touchscreen menu) dan saiz gambar yang besar (5Mpix). Pada penggunaan awal telefon ini, adik saya merungut kerana baterinya hanya bertahan selama 6jam sahaja – tetapi setelah di’setting’ dengan betul, ketahanan bateri semakin baik dan kini beliau perlu mengecas bateri G900 setiap 2 hari (48jam).

Semua theme yang tersedia untuk Motorola Z8/Z10, Sony Ericsson P1i dan Sony Ericsson W960 berfungsi dengan baik apabila dipasangkan ke telefon ini. Selain itu ia juga dilengkapi dengan fungsi ‘TORCH’ (lampu suluh), Image Gallery yang baru dan menyokong seretan jari (sama seperti iPhone) dan ‘interface’ Walkman yang sama seperti W960.

Ada satu perkara yang menarik pada telefon ini dimana ia menyokong perisian java games yang dikhususkan untuk S60-3rd Edition (tidak semua) seperti Abracadaball dan Street Fighter II. Ini disebabkan oleh kemunculan ‘D-Pad’ 5 arah yang secara langsung membuang ‘Scroll-Wheel / Jog-Dial’ dan memudahkan penggunaan tanpa ‘stylus’. Telefon ini mampu digunakan tanpa banyak bantuan ‘stylus’ dan beroperasi dengan baik jika dikendalikan hanya dengan satu tangan. Ini menyebabkan ia amat sesuai untuk pengguna UIQ3 yang baru tanpa perlu bersusah-payah mendalami UIQ3 yang agak ‘teknikal’ berbanding dengan S60-3rd Edition.

Keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan telefon ini. Anda boleh selidiki dengan lebih mendalam tentang G900 pada pautan di bawah ini. Dengan saiz yang kecil (lebihkurang sama dengan N78 dan 6220 Classic), kamera 5Mpix (paling tipis dalam kelas Symbian), touchscreen dan kuasa Symbian UIQ3 saya tidak dapat menolak yang telefon ini bakal menjadi pilihan utama dan barangkali terjual melebihi Sony Ericsson P1i.

banner-anim0

Oktober 3, 2008

Berita – Nokia 5800 XpressMusic Telah Dilancarkan!

Filed under: Berita Symbian,Cakap-Cakap Symbian — adliayob @ 3:01 am
Tags: ,

iklan-symbianku

Terkejut? Ya… saya pun begitu. Hari ini (2 Oktober 2008 ) Nokia telah melancarkan satu telefon Symbian S60-5th Edition yang pertama di dunia (saya tak tersilap taip… memang S60-5th) dengan pembaharuan iaitu touchscreen sepenuhnya. Sebelum ini, prototaip 5800 XpressMusic digunapakai dalam filem Batman terbaru bertajuk ‘Dark Knight’. Apa yang lebih memeranjatkan adalah harga yang dicadangkan (untuk penjualan) hanyalah €279 sahaja (sekitar RM1328.00). Nokia juga mengumumkan yang penjualan telefon ini akan bermula pada suku ke-4 tahun ini (antara Oktober – Disember 2008).

Sila perhatikan gambar-gambar dibawah ini:

Antara spesifikasi yang terdapat pada telefon ini ialah:

  • Resolusi Skrin: 360×640 pixels/ 3.2 Inci/ 16 Juta Warna
  • Memori: 81Mb user memory/ sokongan sehingga 16Gb kad MicroSD (8Gb disertakan di dalam kotak)
  • Saiz: 111 x 51.7 x 15.5 mm
  • Spektrum Data: EDGE, 3G, HSDPA dan wi-fi
  • Masa Menunggu (Stand-by time): Sehingga 17 hari
  • OS/Platform: Symbian OS v9.4/ S60-5th Edition

Teruja? Sememangnya. Dengan lahirnya telefon Symbian S60-5th Edition ini akan menyaksikan pertandingan sengit antara platform Symbian UIQ, Apple IPhone, Windows Mobile dan Android. Ianya amat positif sekali untuk perkembangan Symbian yang seterusnya kerana seperti biasa jenama Samsung dan LG akan turut mengeluarkan model-model berasaskan S60-5th ini di dalam masa terdekat. Selain itu dengan kelahiran produk sulong ini memberikan kita sedikit gambaran tentang ‘platform terbaru Symbian’ apabila S60-UIQ-MOAP digabungkan kelak berdasarkan pengambilalihan Symbian oleh Nokia yang diumumkan baru-baru ini.

Umum mengetahui apabila Symbian diwujudkan dahulu, Nokia dan Sony Ericsson diberikan platform yang berbeza pada UI Symbian dimana Sony Ericsson membangunkan UIQ (touchscreen) manakala kem Nokia sebaliknya (tanpa touchscreen). Pendekatan 5800 XpressMusic menyaksikan seolah-olah Nokia ‘merosakkan’ perjanjian ini dan menjawab cabaran Motorola kerana pada tahun lepas ia mengumumkan Moto RIZR Z8 (UIQ) yang berfungsi tanpa skrin sentuh. Ini sekaligus akan menjejaskan pegangan pasaran Sony Ericsson dalam waktu terdekat dalam segmen ‘touchscreen’ dan bakal menyaksikan model-model seperti G900 dan G700 turun harga.

Untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang 5800 XpressMusic, sila lawat laman berikut:

banner-anim0

Create a free website or blog at WordPress.com.