Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

Mei 12, 2011

Tablet: Adakah ANDA Sudah Bersedia Ke Skrin Ke-5?

Filed under: Duniaku!,Gajet — adliayob @ 3:57 am
Tags: , , , ,

Kita sekarang sudah sampai ke zaman skrin ke-4 iaitu ‘Skrin Telefon’. Rata-rata manusia lebih memerhatikan skrin ini berbanding lain-lain skrin. Sejarah skrin pada peradaban manusia bermula dengan ‘wayang gambar’. Pada zaman ‘propaganda’ dahulu dapat kita perhatikan bagaimana orang-orang kampung keluar rumah beramai-ramai ke padang sambil membawa tikar & bekalan untuk ‘menikmati’ skrin ini. Biasanya, pengumuman oleh kerajaan akan di siarkan terlebih dahulu sebelum filem ditayangkan. Tiga-empat jam sebelum itu, beberapa buah ‘van penerangan’ menerobos setiap sudut kampung dan memainkan ‘Encik-encik dan puan-puan, ini malam ada wayang. Cerita P.Ramlee. Datanglah beramai-ramai ke padang!’.

Kemudian skrin kedua pula muncul iaitu televisyen. Saya ingat lagi bagaimana perasaan memiliki tv warna di ruang tamu kami pada tahun 1983. Hampir setiap rakan-rakan saya akan berkumpul pada waktu petang di rumah kami kerana tv di rumah mereka masih lagi hitam-putih. Saya sanagt berbangga dengan ‘pencapaian’ keluarga kami dan saya juga dapat mengenali ‘STMB – Sistem Televisyen Malaysia Berhad’ atau nama komersilnya ‘TV3’. Mulai saat itu, keluarga kami kurang keluar untuk ke panggung wayang lagi.

Pada tahun 1987 sewaktu saya berumur 11 tahun, saya tergila-gilakan skrin yang ke-3 dalam hidup manusia. Skrin tersebut ialah ‘komputer’ dan perasaan ingin tahu saya sangat melonjak-lonjak dan seterusnya memberitahu mak-bapak dengan harapan mereka akan menghadiahkan saya sebuah komputer. Seperti biasa, harapan yang tinggi menggunung tadi tidak kesampaian dan akhirnya saya hanya dapat memiliki komputer sendiri pada umur 21 tahun. Namun saya sangat berpuas hati kerana sejak usia 14 – 20 tahun, saya sentiasa berdamping dengan komputer dan sekarang saya tidak ketinggalan dalam apa jua mak-nenek ‘IT’ yang berlaku disekeliling kita.

Skrin ke-4 iaitu telefon pintar (smartphone) telah diperkenalkan sekali lagi oleh Steve Jobs melalui iPhone pada tahun 2007. Saya mengakui bahawa telefon ini telah mendekatkan ‘jarak’ pengguna ‘teknikal’ dan pengguna ‘biasa’ dalam industri telefon bimbit. Jika pada tahun 2003 (pada waktu itu saya telah memiliki smartphone Symbian) pengguna dapat dipecahkan kepada dua golongan iaitu pengguna ‘PDA’ dan pengguna ‘biasa’, namun sejak pengenalan iPhone – perkara ini telah berubah buat selama-lamanya! Rata-rata sekarang saya lihat ramai pengguna memilih telefon berskrin ‘besar dan lebar’ berbanding yang ada ‘keypad’. Lebih daripada itu, perkhidmatan internet dan rangkaian telah melonjak ke tahap 350% di dunia kerana kini setiap telefon pintar didatangkan dengan perisian ‘facebook’, ‘twitter’, ’email’ dan ‘chat’. Ia merupakan satu pencapaian yang paling ulung pada abad ini dan permintaan terhadap ‘pelan data internet’ juga telah meningkat. Tak percaya? tanyalah DiGi, Maxis dan Celcom!

Jesteru, hidup manusia moden telah berubah dengan drastik sekali. Kini semua orang terpaksa bersetuju bahawa skrin ke-4 ini telah meninggalkan skrin komputer, televisyen dan ‘cinema’. Berhubung dengan ahli keluarga tanpa susah payah menunggu berita? tiada masalah, ‘social networking’ ada pada skrin telefon! Menonton filem pendek sementara menunggu komuter? tiada masalah! Berhubung dengan rakan-rakan dengan melihat ekspresi mimik muka dan lambaian tangan? tiada masalah, ‘videocall’ tersedia di mana-mana kawasan yang ada liputan 3G! Berkongsi media/lagu dengan rakan-rakan lain? tiada masalah, cuma hidupkan bluetooth sahaja! Pendek kata, kepada siapa yang masih tidak tahu tentang smartphone pada tahun 2011 ini, maka beliau layak untuk digelar katak! Hehehe.

Tetapi perasankah kita bahawa senario smartphone yang saya katakan tadi hanya berlaku kepada ‘sekelompok’ peminatnya sahaja di Malaysia ini? Ini adalah realiti! Dan realiti ini yang terpaksa di’hadam’ oleh kesemua umat yang mengaku MELAYU di Malaysia ini. Adalah tidak salah kalau saya menyatakan yang kelompok melayu yang menggunakan gajet canggih merupakan mereka yang tinggal di bandar-bandar atau yang sentiasa mengikut ‘trend’. Ada juga yang tinggal di bandar, tetapi masih lagi menggunakan telefon ‘biasa’. Boleh saya katanya yang kalau dihimpun 60% penduduk Malaysia (kerana 60% adalah bangsa Melayu) di suatu tempat dan diaudit telefonnya, maka hanya 3/10 sahaja yang memiliki smartphone. Maksud saya SMARTPHONE yang ASLI. Bukan ‘APhone’, ‘EPhone’, ‘NOKLA N8’ atau ‘Sumsum Galaxy Z’. Ini jelas menunjukkan yang sebenarnya masih ramai lagi warga Malaysia masih belum menikmati smartphone dan ‘berharap’ pada teknologi baru ini! Ramai makcik-pakcik diluar sana masih mengharapkan telefon rumah atau ‘Nokia 3310’ sebagai medium berita dan maklumat. Sebenarnya jika anda nampak yang ‘ramai’ orang di Malaysia telah memiliki smartphone – ketahuilah yang sebenarnya mereka berada dalam kelompok kecil sahaja! Yang paling sedih, ada yang cepat-cepat menjual smartphone pemberian ‘hadiah’ daripada orang ke kedai pajak-gadai kerana perlukan wang untuk hidup. Untuk penggiat teknologi maklumat seperti saya, saya mendapati yang berita ini sedih sekali kerana dari tahun 1987 lagi, masyarakat Malaysia MEMANG tidak percayakan komputer, IT, kerjaya dalam bidang komputer dan gajet canggih. Dan ‘yang tidak percaya’ ini datangnya dari golongan Melayu dan penjawat awam.

Situasi ‘Apa kerja anak kau tu? Apa tadi? programmer? ada masa depan ker?’ telah biasa saya harungi dalam hidup. Ini terbukti apabila dalam setiap ‘benda baru’ IT, orang melayu akan terkebelakang dalam 2 tahun. Pada tahun 2007 ramai orang telah ‘kecoh’ tentang FaceBook, tetapi hanya pada tahun 2010 barulah orang Melayu mengadaptasikannya. Itupun dengan ‘sinis’ bahawa Facebook banyak yang buruk berbanding yang baik. Perkataan ‘BlackBerry’ juga begitu, hanya pada akhir tahun 2009 sahaja barulah orang Melayu mula membelinya sedangkan saya telah menggunakan perkhidmatan BlackBerry pada telefon Symbian (Sony Ericsson P1i) pada akhir 2007 lagi. Tahun 2011 ini saya sifatkan tahun Twitter. Sekali lagi, saya telah menjadi pengguna aktif Twitter pada 2009 dahulu. Begitu juga pada ‘laptop’, iPhone dan Astro Byond. Semuanya lambat 2 tahun dari tarikh yang sepatutnya! Yang menghairankan saya, ini semua tidak berlaku pada rakan-rakan CINA dan INDIA saya. Bolehlah saya katakan yang masyarakat cina dan india telah mengadaptasi perkara ini pada peringkat awal sesuatu revolusi dalam IT berlaku di dunia ini. Adakah ini berpunca dari ekonomi? Mungkin betul juga kerana statistik terbaru menunjukkan yang pendapatan isi rumah Melayu (pada RM3000 sebulan), India (RM4000 sebulan) dan Cina (RM5000 sebulan)*. Pelik kan? Saya ‘salute’ kepada keluarga msyarakat India kerana walau susah macamana sekalipun, setiap keluarga MESTI memiliki sebuah kereta (paling kurang pun Nissan Sunny) sedangkan masih ramai ‘couple’ Melayu yang memiliki 2 orang anak menunggang motorsikal! Tak percaya? sila melancong ke kampung-kampung dan saksikan sendiri bagaimana realiti hidup bangsa Melayu.

Berbalik kepada tajuk asal tadi. Memperkenalkan SKRIN KE-5 dalam hidup manusia iaitu TABLET. Tahun 2011 ini bolehlah saya nobatkan ‘Tahun Tablet’ kerana banyak pengeluar telah memperkenalkan tablet masing-masing. Sekali lagi, revolusi ini dicetuskan oleh Steve Jobs dengan iPad pada tahun 2010. Sedihnya, sehingga kini, apabila melihat seseorang menggunakan tablet, maka akan terdengarlah sahutan “Fuhh, canggih betul iPad kau nih! Kecik sikit skrin dia ya?” walaupun dia sebenarnya melihat Samsung Galaxy Tab! Sama macam cerita ‘Colgate’ walaupun ternyata ianya adalah ubat gigi! Hehehe.

Tahun ini, Apple telah memperkenalkan iPad 2. Samsung telah melebarkan portfolio ‘Galaxy Tab’nya dengan model 8.9 dan 10.1. BlackBerry telah memperkenalkan ‘PlayBook’ dan Motorola telah mula menjual ‘Xoom’. Syarikat gajet gergasi dari Taiwan iaitu HTC telah memperkenalkan ‘HTC Flyer’ yang menyebabkan saya ‘longgar lutut’ apabila melihatnya untuk kali yang pertama baru-baru ini. Acer, Toshiba, Sony dan CSL juga tidak mahu kalah dalam perlumbaan ini (walaupun ramai yang sedia maklum bahawa tablet CSL sebenarnya ‘rebranding’ dari Viewsonic. Hehehe). Sekali lagi orang Melayu di ancam dengan pelbagai produk tablet tiruan seperti ‘aPad’, ‘ePad’ dan ‘iPad Mini Made In China’ yang dijual dibawah RM600 ringgit! Jadi, ramaikah yang terpedaya? Memang ramai pun. Ia sama ‘penyakit’ dengan iPhone tiruan yang berlambak-lambak di pasaran. Tersangat jarang saya mendengar perkataan yang betul dari mulut seorang Melayu. Semua akan menyebut ‘iPad’ dan bukannya ‘tablet’. Sekali lagi, mengapa jadi begini? Tidak cukup sekolahkah orang Melayu? atau ada ‘golongan’ lain yang mengajar perkara songsang pada melayu-melayu ini? Kesian kan?

Sebenarnya tablet telah diperkenalkan awal lagi iaitu tahun 2001 melalui Microsoft. Kemudian, syarikat HP telah memperkenalkan ‘HP Tablet TouchSmart’ sekitar tahun 2007. Namun ketika itu perkataan ‘UMPC’ lebih dikomersilkan berbanding perkataan ‘tablet’. UMPC bermaksud ‘Ultra-mobile PC’. Dalam masa tiga tahun (iaitu 2007 hingga 2010) tablet gagal menjadi produk ‘kehendak’ pelanggan. Hanya setelah Steve Jobs memperkenalkan ‘iPad’ barulah semua orang di dunia telah membeli tablet! Dahsyat betul iPad ni. Persoalannya, mengapa bila Apple memperkenalkan tablet baru semua orang nak beli?

iPad menjadi gajet ‘paling dikehendaki abad ini’ kerana ia telah memudahkan penggunaan tablet. Rahsia besar terhadap perkara ini terletak pada ‘OS’ iPad iaitu iOS. Tablet sebelum ini dikuasakan dengan Windows Vista dan Windows 7. Percayalah cakap saya yang OS Windows (walau Windows 8 sekalipun!) sememangnya SANGAT TIDAK SESUAI untuk tablet. Buktinya, saya telah berdebat secara tidak langsung dengan seorang jurujual Acer ICONIA W500 pada minggu lepas. Sedaya upaya dia cuba meyakinkan saya (dan pengguna-pengguna lain) bahawa ICONIA merupakan tablet terbaik masa kini. Seperti biasa, saya tidak beri peluang kepada jurujual ini dan mengeluarkan Samsung Galaxy Tab dan mendemonstrasikan keupayaan Android berbanding Windows 7. Aksi berlawan cakap telah berlaku dalam 5 minit dan saya perhatikan bertambah ramai penonton disekeliling saya (rata-ratanya orang melayu). Ya, seperti biasa saya memenangi perdebatan itu dan saya sangat berpuas hati kerana penonton mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju terhadap pendapat saya. Tidaklah saya dengki dengan Acer ICONIA, tetapi saya memang PANTANG apabila ada orang yang dengan sengaja cuba memperbodohkan bangsa saya iaitu Melayu. Tindakan saya menciptakan blog ini dan Blog Symbian Malaysia (http://www.symbianku.com) juga berdasarkan tidak mahu Melayu ketinggalan dan diperbodohkan dalam teknologi lagi.

Perkara penting dalam tablet ialah kebolehan ‘instant-ON’ seperti yang terdapat pada iOS dan Android. Ia seakan-akan smartphone dan tidak perlu untuk ‘shut-down’ atau ‘start-up’ yang mengambil masa sebatang rokok seperti yang terdapat pada tablet Windows. Kemudian, kelebihan untuk berhubung dengan talian internet (samada talian data atau WiFi) merupakan perkara yang penting untuk Tablet. Begitu juga, ia tidak boleh dimasukkan CD atau DVD, maka kemudahan untuk memindahturun perisian (dan games) sangat kritikal untuk tablet. Jesteru, iPad dan tablet Android telah berjaya mengatasi masalah ini dengan ‘Apps Store’ dan ‘Android Market’. Setiap keperluan perisian hanya tinggal satu sentuhan sahaja!

Pada saya, tablet akan menjadi produk penting untuk mereka yang menceburi bidang ‘marketing’, ‘media’, ‘MLM’ dan ‘blogger’. Ini kerana setiap dokumen yang anda perlukan akan mudah dipamerkan kepada pelanggan dan rakan-rakan tanpa menunggu masa untuk ‘loading’, ‘start-up’ dan ‘hang/bluescreen/restart’. Bayangkan jika anda sedang menunjukkan tingkat-tingkat pencapaian MLM kepada seorang ‘prospek’, maka dengan adanya tablet, kemungkinan besar ‘deal’ anda pada malam itu menjadi lancar dan berjaya! Seperti biasa, saya meramalkan pada tahun 2013 nanti, tablet akan dijual dengan baik sekali di Malaysia. Pada waktu itu, peranan tablet akan lebih besar lagi kerana setiap orang ingin berkongsikan maklumat tentang Pilihanraya Malaysia yang terkini. Tablet sangat ringan, berkuasa dan mampu berkomunikasi dengan internet. Ia tidak ‘leceh’ macam laptop yang berat dan tidak mampu dimasukkan ‘simcard’. Ini sebenarnya merupakan peluang dan berita baik untuk ‘perayu UNDI’ kerana mulai sekarang, setiap slaid, gambar-gambar dan dokumentari (dan dokumentasi) mengenai calon-calon YB dapat diperkemaskinikan dan dimasukkan ke dalam tablet anda! Dengan itu, hujah-hujah untuk mematikan propaganda parti lawan akan lebih kukuh dan bergaya! Mulai sekarang anda sudah boleh buat ‘shortcut’ kepada laman web SPR, blog-blog politik, dan Youtube. Manalah tahu jika pada tahun 2013 nanti kalau berlaku pilihanraya, tidaklah anda susah untuk ‘mendaftar ahli parti’ dan melihat keputusan pilihanraya. Bukankah sekarang semuanya bersifat ‘Online’? kan?

Kepada anda yang baru ingin berjinak-jinak terhadap tablet, TOLONGLAH BACA pandangan saya pada perenggan ini. Tolong beli tablet yang benar-benar ASLI seperti Apple iPad, Samsung Galaxy Tab, Motorola XOOM, HTC Flyer, BlackBerry Playbook dan lain-lain. Paling tidak pun tablet jenama CSL. JANGAN beli aPAD, ePAD, atau lain-lain tablet made in China dan tiruan walaupun ia murah. Pada zaman ini, yang murah tidak semestinya berbaloi. Biasanya yang murah bersifat ‘menipu’ dan merugikan sekurang-kurangnya RM390 duit anda! Takkan anda nak pakai tablet untuk sebulan saja kot?

Ketahui juga TIGA OS yang menjadi paksi tablet pada masa kini iaitu iOS, Android (termasuk Honeycomb) dan QNX (Blackberry tablet OS). Tablet dengan OS Windows? ketepikanlah. Ia tidak akan membantu anda dalam pengalaman baru tentang tablet dan yang paling teruk – ia sangat tidak sesuai untuk tablet pun. Nampak gayanya transisi (transition) dan adaptasi terhadap tablet akan bercambah dalam 2 tahun ini. Selamat datang ke skrin ke-5 dalam kehidupan manusia!

* Statistik pendapatan isi rumah Malaysia boleh anda dapati dari segenap blog-blog politik atau laman web Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri. Angka 3ribu, 4ribu dan 5ribu yang dinyatakan adalah DALAM ANGGARAN sahaja secara PURATA dan tidak tepat. Tetapi ia layak untuk di BUNDARKAN dengan angka ribu yang paling hampir sebagai informasi mudah. Angka-angka yang telah dinyatakan TIDAK BERSIFAT ilmiah dan ia tidak layak dipakai dalam diskusi akademik. Ia dinyatakan untuk MEMUDAHKAN sebutan sahaja untuk memberi gambaran JURANG ekonomi antara 3 kaum terbesar Malaysia.

7 Komen »

  1. infomarsi yg sgt brharga bwt sy…. Thanks…. Memang ramai yg mengelar tablet pc adalah ipad… Sdngkan ipad adalah sebuah tablet pc…. “Ngko nak ambik tablet pc ker…. Ambila ipad kata seorng rakan pd sy bila sy mngutarakan pndpat sy utk memilik,tablet….” aku cmua mampu trsenyum… ^_^

    Komen oleh refflisia putih — Mei 12, 2011 @ 7:13 am | Balas

  2. Hebat! Info yg sgt menarik utk org yg buta IT mcm sy 🙂

    Komen oleh Serena — September 7, 2011 @ 5:27 pm | Balas

  3. aku suka sebab kau kutuk micro$oft windows (kaki pau)

    Komen oleh ahmad dhani — November 2, 2011 @ 12:52 pm | Balas

  4. wow! thanks bro for sharing! ^_^
    tapi nak tanya if tablet model ZTE tu ok x?
    itu china-made eh?

    Komen oleh iki — Februari 20, 2012 @ 3:50 pm | Balas

    • ZTE merupakan jenama yang baik dan dijual secara global. Tidak ada masalah jika membeli tablet ZTE

      Komen oleh adliayob — Februari 27, 2012 @ 10:40 pm | Balas

  5. tq..info yg..baik..

    Komen oleh jack separo — Julai 5, 2012 @ 10:12 am | Balas

  6. Thanks for sharing.. Bro, saya ni dok utara, hari tu nampak la promoter promote SunPad OSRAM… Harga memang murah… Ramai yg beli (xpasti golongan yg membeli)…. Ok ka brand tablet tu

    Komen oleh Yong Rafidah — Julai 20, 2012 @ 8:27 am | Balas


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Tinggalkan komen

Create a free website or blog at WordPress.com.