Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

November 12, 2008

Berita – Nokia E63 Telah Dilancarkan

Filed under: Berita Symbian — adliayob @ 10:35 pm
Tags:

e63

Nokia hari ini telah melancarkan satu lagi Siri Enterprise iaitu E63. Ia akan mula dijual lebihkurang 2 minggu lagi di ‘key-market’ iaitu Eropah, Asia Tenggara, Australia, Asia dan Afrika.

E63 terdapat dalam 2 warna iaitu biru dan merah. Ia berbentuk seperti Nokia E71 namun menggunakan bahan plastik. Ia kurang berat berbanding E71 dan agak tebal. Ia menggunakan kamera 2Mpix fixfocus berbanding E71 (3.2Mpix Autofocus). Walaubagaimanapun, E63 mempunyai ‘audio-jack’ standard 3.5 berbanding E71 sebelum ini yang menggunakan 2.5. Spesifikasi lain adalah seperti E71 dan menyokong WiFi b/g. Namun fungsi GPS dan HSDPA tidak disediakan.

E63 berharga lebih rendah dari E71 dan disasarkan kepada golongan eksekutif muda. Untuk meneliti lebih lanjut mengenai E63, sila klik pada pautan dibawah ini:

banner-anim0

Advertisements

November 8, 2008

Review – Nokia E71

Filed under: Prapandang (Reviews) — adliayob @ 2:42 pm
Tags:

e71-01

Pada hari Ahad lalu, seorang rakan menelefon dan meminta saya ke Lahad Datu, Sabah. Sesampai sahaja saya ke sana, beliau menunjukkan NOKIA E71 yang baru dibelinya minggu lepas.

Geram juga saya kerana inilah sahabat yang satu masa lalu memakai Nokia N95 China dan N73. Selepas saya mengutuk beliau, cepat-cepat dia menukarkannya dengan Nokia E90 Communicator. Dan kini beliau membeli satu lagi telefon Symbian iaitu E71 ini. Banyak betul duit dia.

Berbalik kepada Nokia E71, berikut merupakan keputusan sessi prapandang (review) yang telah saya laksanakan dalam masa 2 hari.

..

PRO DAN KONTRA.

Kelebihan Telefon Nokia E71:

  1. WiFi b/g. Ini sudah sangat baik!
  2. Kandungan FLASH dapat dilayari dengan baik dengan ‘browser‘ yang tersedia.
  3. Bateri yang hebat! Ketahanan bateri melebihi 4 hari (dengan mengambilkira aktiviti bluetooth, wifi, muzik, video, sms dan panggilan).
  4. Kualiti pembuatan yang sangat baik, menggabungkan material logam dan plastik tahan lasak.
  5. Bersaiz kecil berbanding Nokia E61, lebih mirip kepada rekabentuk Blackberry dan tidak kelihatan seperti kalkulator.
  6. Kamera 3.2Mpix dengan ciri autofokus.
  7. Mampu menerima kad microSD berkapasiti 8Gb.

Kelemahan Telefon Nokia E71:

  1. Bersaiz lebar. Kurang sesuai utk tapak tangan kecil.
  2. Memerlukan 2 tangan ketika mengendalikan qwerty keypad untuk kelancaran menaip. Namun ini bukan satu isu untuk mereka yang biasa dengan qwerty keyboard.
  3. Lebih berat dari Sony Ericsson w960 saya kerana menggunakan material logam.
  4. Tiada butang khas untuk kamera.
  5. Mudah kotor dengan kesan cap jari.
  6. Tidak seperti model Symbian Samsung, E71 tidak dapat di cas dengan kabel USB apabila disambungkan dengan komputer.

e71-02

ERGONOMIK.

Keypad E71 adalah kecil berbanding dengan E61 dan berkedudukan rapat. Namun ia selesa apabila digunakan. Terdapat butang SHIFT pada bahagian bawah sebelah kiri untuk menukar mod keypad. Saya dapati ia sesuai jika digunakan dengan 2 ibu jari, tetapi untuk menaip ala ‘keyboard laptop’ ia kurang baik kerana saiz kekunci yang kecil tadi.

Dimensi telefon ini agak lebar, jadi kurang selesa untuk mereka yang mempunyai saiz tapak tangan yang kecil. Ia sangat tipis – 11mm sahaja, cantik & berkilau kerana hampir 70% badannya diperbuat dengan material logam. Jadi kualiti pembuatannya sangat baik dan agak berat, lebih-lebih lagi di dalam poket seluar. Terdapat 8 bebutang pintas (options button) bersebelahan dengan D-Pad telefon ini. Antara butang pintasnya ialah ’email’ kerana telefon ini dikhususkan untuk segmen Enterprise (E-Series). Anda perlu setkan akaun email anda dan kemudian masuk ke ‘inbox’ anda melalui kemudahan ini.

Terdapat slot-slot kad memori, jek-audio 2.5, micro-USB dan jek pengecas disebelah sisi telefon ini. Disisi telefon ini juga terdapat ‘speaker-grill’, suis on/off, butang ‘mute’, ‘volume-rocker’ ‘batery-lock’ dan ‘infrared-port. Slot kad SIM terletak pada bahagian dalam, atas baterinya. Untuk mengeluarkan bateri, anda perlu menekan kedua-dua ‘batery-lock’untuk membuka penutup logam dibebelah belakang.

e71-03

AUDIO DAN VISUAL.

Skrin E71 berkeadaan mendatar pada resolusi 320 x 240 dengan saiz 2.4 inci. Ianya terang dan jelas. Tiada kesulitan untuk menatapnya walau dibawah cahaya matahari yang terik. Skrin E71 adalah rata dengan permukaan bingkai telefon ini. Teknologi skrin menggunakan TFT (Thin Film Transistor) dan memaparkan sehingga 16 juta warna.

Speaker yang disediakan terletak pada bahagian atas telefon bersebelahan suis on/off. Walaupun kecil, saya dapati mutu bunyinya agak kuat dan jelas. Jika mutu bunyi N73 saya berikan markah 9.5/10 maka untuk E71 saya meletakkan nilai 7/10 pada ‘full-volume’. Walaupun kuat, namun saya rasakan ‘kurang’ kerana speaker E71 berkeadaan mono dan bukan stereo. Untuk mendapatkan mutu audio yang lebih baik, anda boleh menggunakan sebarang ‘earphone’ berkualiti kerana terdapat ‘2.5 audio jack‘ pada telefon ini. ‘Earpiece’ telefon ini terletak pada bahagian atas bersebelahan dengan logo Nokia. Kualiti ‘earpiece’ adalah baik dan anda boleh mengawal kejelasan dengan butang ‘volume-rocker’ pada sebelah sisi-kanan telefon. Kemudahan ‘hands-free’ pada speaker telefon ini juga agak baik.

e71-04

TEKNOLOGI.

Nokia E71 dikuasakan dengan Sistem Operasi Symbian 9.2 pada platform S60-3rd Edition FP1 (3.1). Keistimewaan telefon ini terletak pada ciri-ciri berikut:

  • 110 MB internal memory, microSD (TransFlash), sehingga 8GB
  • CPU ARM 11 369 MHz dengan RAM 128 MB SDRAM
  • GPS-Receiver/A-GPS, Wi-Fi 802.11 b/g, Infrared, Bluetooth versi 2.0 dengan sokongan A2DP
  • 2 kamera, dibahagian depan untuk Video-Call dan 3.2Mpix Autofocus dibahagian belakang.
  • FM Radio, Push-To-Talk, Flash Enabled Browser
  • Bateri Li-Po 1500 mAh. Nokia menyatakan E71 mampu bertahan 10jam waktu berbual & 17 hari waktu menunggu (standby days).

e71-05

PERISIAN.

Satu perkara yang menarik pada telefon ini ialah kemudahan ‘browser’ dengan sokongan penuh ‘Flash’. Ini bermakna tiada kandungan yang ‘tertinggal’ apabila anda melayari internet dengan telefon ini. Anda boleh terus ke youtube.com dan menonton video flv.

Terdapat menu Sync, Encryption, Modes, Voice Command, Speech, Voice Aid, Barcode Reader, Visual Radio, Podcast, Flash Player, Download! dan Nokia Maps 2.0. Modes merupakan opsyen terbaru dalam S60. Ia adalah satu kemudahan kerana anda boleh set 2 mod iaitu mod kerja dan hiburan. Setiap mod akan mengikut serta themes dan profile pilihan anda. Agak sukar untuk saya nyatakan disini tetapi disyorkan anda mencuba opsyen ini sendiri kerana ia memberikan kita satu pengalaman yang lebih berbanding dengan menukar tema telefon sahaja.

Sync digunakan untuk menyelaras data antara telefon dan komputer manakala Encyption menyediakan kemudahan ‘kunci’ fail pada kekuatan 128 bit. Voice Command, Speech Dan Voice Aid menyediakan kemudahan interaktif suara antara pengguna dan telefon. Visual Radio dan Podcast menyediakan sambungan siaran radio dan radio-internet.

Saya tertarik dengan menu DOWNLOAD! yang tersedia pada E71. Disini anda boleh mempertingkatkan (upgrade) perisian dan games jika anda bersambung dengan internet. Ada 2 games yang disediakan secara percuma iaitu Global Race dan Solitaire. Untuk mendapatkan kedua-duanya anda perlu menyambung ‘WiFi’ dan memilih opsyen ‘Freetime’ pada Download!.

Saya juga telah cuba memasang perisian Opera Mini, Google Maps, Calcium, Kamus Inggeris-Melayu, Factbook, MsDict, Screenshot dan Total Recall pada telefon ini. Kesemuanya berfungsi dengan baik. Total Recall 3.0 (E71-update) tidak mengeluarkan bunyi ‘beep’ apabila merakam panggilan.

e71-06

‘FEATURES’, MEDIA DAN BATERI.

Untuk mengecas bateri telefon ini anda memerlukan lebih 4 jam. Walaupun mengambil masa yang lama, namun ia mampu bertahan lebih dari 4 hari. Saya telah mencuba kekuatan bateri E71 dengan menggunakan WiFi, Bluetooth, Muzik, Video, SMS, MMS dan sebagainya dan kalau diikutkan, kebanyakkan telefon mampu bertahan 1 hari sahaja. Ini adalah perkara bonus dan sangat penting jika anda kerap bermusafir (travelling).

Kamera 3.2Mpix telefon ini berjaya menangkap imej yang baik dalam keadaan cahaya penuh. Lebih-lebih lagi ‘outdoor’ dibawah cahaya asli matahari. Tetapi jika subjek yang diambil dalam keadaan cahaya suram, suasana bilik dan malam – mutu kejelasan imej kurang baik kerana ‘flash’ yang disediakan adalah ‘led-flash’ sahaja. Begitu juga dengan mutu rakaman video. Untuk mutu rakaman suara, Nokia E71 tidak memberikan apa-apa masalah. Bagaimanapun, ia kekurangan ‘butang kamera khas’ dan pengguna terpaksa menggunakan D-Pad (tekan tengah) untuk mengambil gambar. Begitu juga jika anda ingin mengaktifkan ‘autofokus’ kamera, anda perlu menekan butang nombor ‘2’ (atau ‘T’) untuk tujuan ini. ‘Gallery’ yang disediakan untuk telefon ini juga adalah versi yang lama. Mungkin Nokia perlu mengganti perisian ini dengan ‘Rotating Gallery’ seperti N-Series.

Telefon ini boleh memainkan video format Flash Lite 3, mp4, dan 3gp. Ia juga menyokong fail audio AMR, mp3, .wma, .aac, AAC+, dan eAAC+. Nokia E71 dilengkapi dengan perisian QuickOffice yang menyokong dail DOC, XLS dan PPT. Anda juga boleh membuat fail baru atau mengedit fail-fail yang dihantar dari komputer. Perisian PDF viewer dan ZIP manager juga disediakan.

Walaubagaimanapun, telefon ini tidak menyokong fail video berformat WMV, AVI dan MPG.

belimeter-e71

ADLIAYOB – ‘BELIMETER’

Telefon ini berharga antara RM 1,480 hingga RM 1,799. Mutu binaan, keypad-Qwerty dan perisian yang disediakan adalah sangat baik sekali. Dalam 2 hari penggunaan penuh, saya tidak mengalami masalah ‘hang’, ‘restart’ atau lembab walaupun saya memasukkan microSD 8Gb kepadanya.

Saya amat mengesyorkan telefon Nokia E71 ini kepada sesiapa yang mahukan gaya eksekutif ala BlackBerry. Ia berbaloi pada perbelanjaan anda.

Saya mengisytiharkan Nokia E71 ‘BERBALOI’ dengan markah 8/10 pada telefon ini (pada perkiraan ‘ratio’ antara harga, kualiti pembuatan, aksesori, perisian dan mesra-pengguna).

Nota: Sedikit penerangan mengenai Ratio ‘Belimeter’ Blog Symbian Malaysia – Saya akan berikan markah yang sedikit untuk sesebuah model jika harganya mahal tetapi kemudahan yang disediakan kurang baik atau tidak berbaloi untuk pembelian. Contohnya perbandingan E71 (markah: 8/10) dengan Nokia N96 (markah: 5/10).

banner-anim0

iklan-symbianku

November 5, 2008

Berita – Nokia N79 & N85 Telah Mula Dijual!

Filed under: Berita Symbian — adliayob @ 12:58 am
Tags: ,

nok-n85n79

Hari ini saya berada di bandar Lahad Datu, Sabah. Saya bersama seorang rakan yang satu masa dahulu menggunakan N95 CHINA berjalan-jalan sambil mencari kedai telefon untuk membeli kredit telefon. Saya tabik kepada sahabat saya ini kerana beliau telah berubah dengan drastik sekali, jika dahulu menggunakan N95 CHINA, beliau telah bertukar kepada Nokia N73. Dari N73 pula beliau ‘upgrade’ kepada Nokia E90 dan yang terbaru Nokia E71. Telefon Nokia E71 beliau nanti akan saya lakukan prapandang (review) dan mengirimkannya ke blog ini.

Kami kemudiannya ke kawasan FAJAR dan menemui kedai telekomunikasi PENUWANG SDN. BHD. Di kedai ini saya ‘bertemu’ dengan dua model Symbian Nokia yang terbaru iaitu N79 dan N85.

Secara standard, harga untuk model Nokia yang baru agak mahal (N79 = RM 1999 dan N85 = RM 2499) tetapi jika anda sanggup menunggu 3 bulan lagi, saya yakin dan pasti ianya akan turun dibawah RM 1800. Dari segi aspek kosmetik, dimensi dan keselesaan pegangan, saya boleh simpulkan yang kedua-dua model ini tidak terlalu besar atau kecil berbanding dengan Nokia N96 dan agak cantik. Namun saya kira perkara ini subjektif untuk diperbincangkan kerana masing-masing mempunyai citarasa tersendiri terhadap saiz telefon bimbit masa kini. Dari segi rekabentuk pula, kedua-dua model tidak dapat lari dari model sediada (seperti N81) dan ini sebenarnya amat mendukacitakan.

nok-n85n79-02

Berbanding dengan N73, Nokia N79 lebih tipis dan cantik. Keistimewaan kedua-dua telefon ini terletak pada lensa Carl Zeiss 5Mpix dan kemudahan WiFi yang sudah tersedia kerana kita sedia maklum yang teknologi ini sangat diperlukan sekarang.

Saiz skrin N85 ialah 2.6 inci manakala N79 pula adalah 2.4 inci. Oleh sebab skrin N85 menggunakan teknologi AMOLED maka kualiti visualnya jauh lebih tajam, cantik dan cerah berbanding N79. Skrin AMOLED mampu menghasilkan warna yang semulajadi (natural) dan terang. Dengan ini warna hitam benar-benar tidak muncul, bukan seperti teknologi TFT yang menggabungkan pelbagai warna untuk menghasilkan warna hitam.

N79 dan N85 menggunakan platform S60-3rd Edition, Feature Pack 2 (S60 3.2) dan dikuasakan dengan Sistem Operasi Symbian 9.3

banner-anim0

November 3, 2008

Tips S60-3rd Edition #1 – 15 Freeware Untuk S60

Filed under: Tips Pengguna Symbian — adliayob @ 1:35 am
Tags: , , , , ,

Semalam saya dapat panggilan dari seorang rakan lama. Tidak sangka pula beliau mengikuti blog ini. Rakan saya ini seorang pengaturcara komputer yang bertugas di sebuah syarikat IT di Technology Park, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Beliau menyarankan saya supaya meluaskan topik blog kepada Sistem Operasi Windows Mobile pula. Katanya, jika lebih banyak OS disentuh, maka ramailah lagi pengunjung blog ini. Untuk tidak membuang masa, saya terus ‘search’ internet mencari keyword ‘Blog Windows Mobile Malaysia’ dan tepat seperti katanya, memang belum ada lagi satu blog pun yg mengupas topik ini.

Rakan saya ini menuduh saya pilih bulu, berat sebelah dan pentingkan diri sendiri. Ini disebabkan kiriman saya tentang 10 freeware UIQ3 sedangkan dia menggunakan Nokia E66 platform S60. Satu lagi telefonnya ialah HTC Touch. Ini menyebabkan tulisan saya tidak relevan pada dirinya. Memang berat sekali tuduhannya ini. Kalu saya ada duit, mahu saja saya bawa kes ini ke mahkamah.

Setelah mengambil nafas, saya sambung kembali perbualan di telefon. Beliau meminta sangat tips yang sama untuk platform S60 3rd Edition. Tambahnya lagi, gara-gara blog saya inilah yang menyebabkan dia membeli Nokia E66 pada minggu lepas. Ini sebenarnya satu helah untuk mengajak saya turun ke Kuala Lumpur dan ‘menginstall’ perisian pada telefonnya! Saya tidak mudah terkena tipu daya seperti itu!

Tetapi, demi rakan saya dan anda semua yang saban hari menjadi tetamu pada Blog Symbian Malaysia, berikut merupakan 15 freeware untuk S60 3rd Edition.

1. Y-Browser

Bagaimana untuk ‘browse’ segala kandungan dalam telefon dan kad memori seperti ‘My-Computer Windows XP’ pada Nokia N81 saya? Bagaimana saya memindah ‘barang’ yang ada dalam ‘inbox’ kepada kad memori? Bagaimana mengetahui status telefon dan kad memori? Bagaimana untuk saya mencipta folder baru atau memindah kandungan dari kad memori kepada telefon lain? Semua persoalan ini terjawab jika anda memasang Y-BROWSER pada S60-3rd anda. Kerana semua keunikan yang ada padanya, saya meletakkannya selaku nombor satu dalam senarai ini!

2. Opera Mini

Secara default (automatic), setelah kita membeli sebuah telefon S60-3rd, pelayar ‘default web’ akan berfungsi sebagai ‘Web Browser’nya. Namun selalunya kita tidak merasa puas kerana ia tidak setanding dengan ‘IE & Firefox’ komputer atau laptop kita. Kini masalah ini selesai! Memperkenalkan OPERA MINI untuk S60-3rd. Satu ‘Web Browser’ yang sangat baik, laju, selesa dan yang paling penting menawarkan pengalaman web setanding laptop. Setiap laman web akan dibuka mengikut ukuran sebenar dan pengguna boleh ‘zoom-in’ untuk pembacaan yang lebih jelas walaupun skrin anda hanya sebesar 2.4 inci. Selain itu, dengan Opera Mini pengguna boleh ‘download’ sebarang data dan juga ‘log-in’ ke sebarang web yang memerlukan ‘user-name’ dan ‘password’.

3. Google Maps

Biasa dengan Google Earth pada komputer anda? Ingin menyaksikan peta jalanraya untuk mencari alternatif bagi mengelak kesesakan atau lari dari polis? Ingin mencuba GPS yang tersedia pada telefon anda? atau hanya sekadar menikmati WiFi sambil berlagak sombong dengan UIQ3 mencari gambar satelit dan kemudiannya menayangkan kepada awek (cewek) di sebelah tempat duduk dan seterusnya dia mengagumi anda dan berkata ‘Wow! hebatlah U!’? Semua aktiviti yang disebutkan di atas dapat anda laksanakan dengan GOOGLE MAPS untuk S60-3rd. Sesiapa sahaja yang saya demonstrasikan perisian ini akan berasa kagum kerana kita seolah-olah mengawal satelit dari telefon bimbit. Yang paling menarik ialah perisian ini percuma!

4. WorldMate

Anda adalah seorang yang sangat berjaya! Dalam seminggu hidup anda berada diawan biru. Isnin di Kuala Lumpur, Rabu di Jakarta dan Jumaat di Manila. Pada malam Ahad anda berada di Singapura berbincang tentang bisnes bersama klien-klien anda. Masalah anda ialah: Bagaimana saya ingin mendapatkan nilai semasa tukaran mata wang? Apakah perbezaan zon waktu nyata Kuala Lumpur dan Jakarta? Berapakah nilai tukaran 100 Hektar kepada Ekar? (kerana ladang sawit anda berada di seluruh Nusantara) atau berapakah saiz kasut mengikut ukuran USA? Semua ini akan terjawab jika anda memasukkan perisian WORLDMATE ke dalam telefon S60-3rd anda.

5. Anfy Callfilter

Anfy Callfilter mampu menjadi sahabat setia untuk menapis segala sms, mms dan panggilan telefon yang mengganggu keamanan anda. Perisian ini sangat sesuai digunakan oleh golongan selebriti, karyawan, ahli politik atau sesiapa sahaja yang mahu lari dari panggilan Ah-Long! Jika sesiapa sahaja yang menelefon, talian anda tetap berada diluar kawasan!

6. DIVX Player

Hampir semua orang mahu berkongsi video ‘SmartMovie’nya kepada anda. Malangnya setelah dihantar melalui Bluetooth, video tersebut tidak dapat dimainkan. Begitu juga dengan fail-fail video avi dan divx yang terdapat dalam komputer anda. Semuanya tidak dapat dimainkan apabila dipindah ke telefon S60-3rd anda. Saat ini anda memerlukan DIVX Player. DIVX player dapat memainkan fail video XVID, DIVX, SmartMovie dan AVI pada telefon anda. Satu perisian yang sangat diperlukan tatkala video yang berwarna-warni itu berjaya dipindahkan ke telefon anda!

7. Mobipocket Reader (MobiReader)

Perisian ini bertindak sebagai ‘ebook-reader’ yang sangat efektif sekali. Ia mampu membaca format PDB, PRC, HTM, HTML atau lain-lain format e-book. Dengan terdapat lebih 100 tajuk e-book percuma di internet, kini anda boleh ‘download’ dan terus membacanya di telefon untuk membunuh waktu perjalanan KTM komuter dari Rawang ke Seremban. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk cuma sekadar memenuhi pesan guru sekolah anda yang sentiasa bising mengingatkan supaya rajin membaca. Maka BACALAH dengan nama tuhanmu yang maha mencipta!

8. Calcium

Ini adalah sebuah kalkulator. Tiada yang istimewa, cuma kalkulator biasa. Apa? anda kata memang sudah tersedia kalkulator pada S60-3rd? Ya, memang benar, tetapi untuk kira-kira mudah seperti 2/3 x 7 memerlukan 13 kali tekan (13 clicks). Dengan CALCIUM operasi ini boleh dilaksanakan hanya dengan 6 kali tekan sahaja! (6 clicks). Satu perisian wajib yang perlu ada dalam setiap S60-3rd.

9. WWIGO

Pernah menggunakan webcam pada laptop anda? Pernah mengalamai masalah untuk mengalihkan webcam anda ke lain-lain tempat demi mencari shot tercantik namun kabel sentiasa mengganggu usaha anda? Pernah mencari webcam disaat memerlukan namun pengusaha cybercafe tidak menyediakannya? Atau webcam yang tersedia pada laptop tiba-tiba rosak tatkala anda sedang me’Yahoo-Messenger’ awek anda? Jika ya, anda memerlukan bantuan. Memperkenalkan WWIGO – sebuah perisian yang menjadikan kamera pada telefon anda berfungsi sebagai webcam untuk komputer. WWIGO menyambungkan telefon dengan komputer melalui Bluetooth sahaja. Satu perisian penting untuk masa kini kerana kebanyakkan orang membawa telefon ke hulu – ke hilir dan tidak pernah lagi ada orang yang berbuat begitu terhadap webcam. Perisian ini datang dengan ‘installer’ untuk S60-3rd dan komputer Windows XP.

10. Pocket Quran

Malam ini malam Jumaat dan anda tergolong dalam kumpulan orang soleh. Anda pergi ke Masjid untuk sembahyang maghrib dan kemudiannya ada majlis membaca Yaasin. Malangnya, oleh sebab terlalu ramai jemaah, buku yaasin yang dibekalkan tidak mencukupi. Apa yang ada ditangan anda hanyalah sebuah telefon S60 dan secara lahiriah, anda bukan seorang penghafal Yaasin. Apa yang anda akan buat ketika itu? Senang sahaja. Keluarkan telefon, masuk menu dan klik POCKET QURAN, seterusnya mula membaca surah Yaasin dari telefon anda! Jika nasib anda baik pada malam itu, jemaah lain yang berada disisi akan memuji telefon anda, jika nasib tidak baik, anda akan dituduh riak kerana jemaah lain akan berkata dalam hati ‘Aku tahulah kau hafal Yaasin, tapi tak payahlah berlagak sombong baca yaasin sambil baca sms sekali gus!’

11. Youtube Mobile

Anda memang penggemar Youtube. Suatu hari sedang anda menikmati makanan di sebuah restoran yang ada kemudahan WiFi, rakan kongsi bisnes anda mengirim sms dan menyuruh anda supaya masuk ke youtube sekarang untuk melihat klip terbaru kejadian rompakan bank yang telah anda lakukan baru-baru ini. Memang anda terkejut tentang berita ini! Bagaimana boleh ada orang berjaya merakam aktiviti anda dan menyiarkannya ke youtube tanpa anda meraih sebarang royalti? Yang ada di poket anda buat masa ini hanyalah Nokia N95 dan anda betul-betul mahu melihat klip tersebut. Jangan risau! Kini anda boleh melihat semua klip youtube tersebut dengan memasang YOUTUBE MOBILE untuk S60-3rd.

12. TimeBar

Satu masalah kepada pengguna S60-3rd adalah JAM. Memang benar, jam terpapar di ‘standby-screen’ telefon anda, tetapi sebaik anda memulakan perisian yang lain, maka jam tidak akan kelihatan. Selalunya, anda terpaksa keluar dari perisian tersebut dan kembali ke ‘standby-screen’ hanya untuk melihat waktu. Dengan TIMEBAR masalah ini selesai. TimeBar akan memaparkan jam kecil di mana-mana kawasan skrin yang anda kehendaki dan ia sentiasa wujud pada mana-mana perisian. Selain itu, TimeBar juga boleh membunyikan ‘nada waktu’ apabila jam menunjukkan masa 60 minit. Satu perisian yang kecil tetapi sangat bernilai bagi mereka yang menghargai waktu kerana demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian!

13. EQO

Perisian ‘internet-messenger’ yang boleh disambung pada akaun Yahoo Messenger, ICQ, MSN, G-Talk dan Skype. EQO sangat baik dalam integrasi akaun ‘IM’ dan bakal melonjakkan prestasi perniagaan Internet, Direct-Selling dan MLM anda!

14. Symella dan PeerBox

Adakah anda biasa dengan P2P? Adakah anda mempunyai unlimited-account mobile-broadband? Adakah telefon anda dilengkapi dengan kemudahan WiFi, EDGE, 3G malah 3.5G hingga kadar 7.2 Mbps? Adakah anda menjalankan perusahaan ‘download Mp3 – kemudian cipta CD dan menjual kepada rakan-rakan sepejabat’? Adakah rakan-rakan anda menempah cerita wayang terbaru dari anda tanpa mengetahui anda menempah maut jika ditangkap oleh pihak berkuasa? Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, anda perlu cekap, licik dan berwawasan! Telefon anda perlukan perisian ‘P2P Sharing’ SYMELLA dan PEERBOX untuk S60-3rd. Berkuasa sehebat Bear Share, ARES, Limewire, Morpheus dan lain-lain, kini kuasa ‘ciplak-curi-dan-layan’ berada di dalam genggaman anda!

15. GDesk

Ingin menukarkan rupa bentuk skrin telefon S60-3rd kepada Windows Vista? Atau sememangnya anda seorang yang misteri kerana setiap hari menukar ‘theme’ telefon hanya untuk meraih perhatian orang lain terhadap anda atau sekadar ‘minta-puji’? Kini anda tidak perlu bersusah payah menukar themes atau mengupah orang lain untuk memastikan yang skrin N82 anda berubah bentuk dan tidak lagi sama dengan N82 musuh anda di pejabat. Masukkan sahaja GDESK ke telefon anda dan semua orang akan bertanya… ‘telefon kau ni pakai Windows ya?’

Demikianlah tadi 15 perisian percuma mengikut pilihan saya yang sangat penting untuk S60-3rd. Selain dari 15 perisian yang dinyatakan, ada lagi perisian lain seperti:-

  • Screenshot (Untuk menangkap skrin pada S60-3rd)
  • Fring (Social Networking Software & VOIP Telephone – Sama seperti Yahoo Messenger)
  • JBak Taskman (Task Manager)
  • Autolock (Untuk setkan ‘keypad-lock’ secara automatik)
  • CClock (Screensaver yang memaparkan jam besar)
  • Nokia Internet Radio Beta (Mendengar stesen radio dengan Internet)
  • Message Mirror Lite (Untuk ‘backup’ mesej sms)
  • Reboot/ EQ Reboot (Untuk ‘restart’ telefon S60-3rd)
  • Google Search (Perisian Google pada S60-3rd)
  • Zip Manager/ Mobile RAR (sama seperti WinZIP/WinRAR pada komputer)
  • Azan/ Islamic Organiser (perisian waktu sembahyang)
  • FE-Explorer/ ActiveFile (Sama seperti Y-Browser)
  • T9Nav Beta (Perisian pencari sebarang maklumat dan nombor telefon)

Mungkin anda juga mempunyai pandangan sendiri mengenai perisian percuma S60-3rd. Sila utarakan sebarang komen, pandangan atau tanggapan anda disini untuk sama-sama berkongsi dengan pengguna yang lain.

Blog di WordPress.com.