Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

April 10, 2009

Tutorial – GPS

Filed under: Tips Pengguna Symbian,Tutorial Symbian — adliayob @ 10:35 pm
Tags:

gps-symbian

Oleh Asri Al-Baker

1. GPS tu apa sebenarnya?
Sistem Kedudukan Sejagat atau Global Positioning System (GPS) mempunyai nama rasmi iaitu Navstar GPS. Ia adalah satu nama kepada satu jenis teknologi yang pada mulanya digunakan dalam industri ketenteraan oleh tentera Amerika Syarikat.

gps-navstar

Secara umumnya, teknologi GPS ialah satu pecahan daripada teknologi Sistem Navigasi Satelit Sejagat GNSS (Global Navigation Satellite System) iaitu teknologi utama dalam penggunaan navigasi satelit. GPS adalah satu-satunya sistem GNSS yang berfungsi pada waktu ini dan ia boleh digunakan secara percuma untuk menentukan kedudukan dan boleh digunakan oleh orang awam

Dibawah GNSS, selain dari Navstar GPS, ada juga IRNSS yang dibangunkan oleh India, China juga membangunkan teknologinya sendiri yang dipanggil COMPASS dan negara negara di Eropah sedang giat membuat penyelidikan untuk mewujudkan GALILEO. Disamping itu, Russia juga mempunyai sistemnya yang tersendiri dipanggil GLONASS.

2. Oooo… Dia sama dengan GPRS laaa…

Ishk… Tak sama langsung.

GPRS tu ialah General Packet Radio Service yang juga dikenali sebagai teknologi pemangkin telefon mudah alih 2.5G. GPRS membolehkan rangkaian mudah alih berhubung kepada internet dengan lebih laju berbanding teknologi CSD (Circuit Switched Data). Dengan GPRS, capaian internet sentiasa tersedia dan tidak perlu mendail dan data hanya dimuat turun jika ada aktiviti internet.

Kan lain kan? Betul tak?

3. Macam mana nak pakai GPS dalam fon?

Ada beberapa cara. Disebabkan blog ini memang blog Symbian, maka saya akan menulis mengenai GPS dalam telefon pintar Symbian. Untuk telefon pintar yang menggunakan sistem operasi selain Symbian, anda perlu menggunakan sahabat karib anda, encik Google 😉

Pertama : Menggunakan alat GPS luaran.
Cara ini memerlukan anda memiliki sebuah telefon pintar Symbian dan juga sebuah alat GPSr (GPS receiver) Bluetooth.
Ini boleh digunakan untuk telefon pintar Symbian yang tidak memiliki GPS chip bina dalam seperti model Nokia E61 dan juga Sony Ericsson P1i.
Dalam pasaran, anda boleh mendapatkan alat GPSr ini seperti Garmin 10x. Harganya sekitar RM500 hingga RM700.

gps-garminAnda juga perlu memasang aplikasi GPS didalam telefon pintar anda serta meletakkan data peta GPS untuk digunakan sebagai peta asas “basemap”. Antara aplikasi yang popular untuk telefon pintar Symbian ialah Garmin Mobile XT, TomTom Navigator dan juga Sygic Mapdrive.

gps-garmin2

Kedua :
Menggunakan telefon pintar Symbian yang mempunyai GPS chip bina dalam seperti Nokia E90, Nokia N95 dan Samsung Innov8 i8510.

Kebanyakan telefon pintar Symbian yang baru dilancarkan sudah sememangnya memiliki chip GPS bina dalam.

Disamping itu, Nokia juga memasukkan aplikasi peta serta data untuk digunakan secara terus oleh pengguna telefon pintar S60. Aplikasi yang diberi adalah percuma. Tetapi anda perlu membayar untuk menggunakan navigasi suara. Namanya senang sahaja, Maps.

gps-mapsWalaubagaimanapun, sekiranya anda tidak berpuas hati dengan aplikasi tersebut, kerana mungkin data peta yang anda inginkan tidak anda temui, anda juga boleh memasang aplikasi GPS lain seperti Garmin Mobile XT yang juga boleh mengesan chip GPS bina dalam. Tetapi cara ini agak rumit untuk dilakukan.

Kegunaan GPS dalam telefon adalah sangat memudahkan. Ini kerana sekiranya kita ingin pergi ke tempat yang kita langsung tak pernah pergi, ia sangat membantu.

Satu lagi, dengan GPS dalam telefon, anda boleh menghantar koordinat anda kepada orang lain.

Dan semestinya, anda akan membawa gajet yang kurang sedikit berbanding membawa telefon dan alat GPS.

4. Selain dari fon, bende apa lagi yang kita boleh pakai untuk GPS?

gps-oregon1
Banyak… Ada juga alat GPSr yang memiliki skrin sendiri seperti Garmin Oregon. Alat-alat GPS seperti ini boleh diletakkan didalam kereta, atau sekiranya anda seorang yang suka aktiviti lasak seperti “jungle trekking”, ia juga bleh digunakan.

Anda juga boleh menggunakan GPS dalam laptop.

gps-laptop

Ada juga sistem GPS yang digunakan di dalam jam tangan berjenama mahal. Ia digunakan sewaktu kecemasan. Ini membolehkan pasukan penyelamat mengesan kedudukan anda dengan tepat sekiranya berlaku kecelakaan.

5. Tak kena bayar mahal ke nak pakai GPS?

Untuk kegunaan orang awam seperti kita, menggunakan GPS dalam telefon adalah sangat ekonomi dan paling efektif kerana harganya tidak begitu mahal. Malah, ia hampir-hampir percuma.

Kita perlu bayar untuk peralatan GPS seperti telefon pintar yang memiliki chip GPS, atau GPSr luaran dan juka aplikasi untuk membaca peta dan menanda kedudukan. Tapi untuk menggunakan GPS itu sendiri adalah percuma. Tak perlu bayar.

Tetapi sekiranya anda ingin menggunakan GPS di dalam kereta dengan alat GPS yang lebih canggih, harganya juga agak tinggi.

6. Tapi saya rasa GPS ni tak penting bagi saya. Semua jalan yang saya lalu saya dah hafal sangat…

Kegunaan GPS bukan untuk menunjuk arah jalan sahaja. Ada banyak kegunaan lain.

Antaranya ialah geotagging. Untuk menggunakan geotagging, anda memerlukan kamera atau telefon pintar yang mempunyai fungsi GPS bina dalam. Apabila anda menangkap/mengambil gambar, kedudukan latitud dan longitud gambar itu akan direkodkan serta dimasukkan dalam info file berkenaan.

Satu lagi fungsi GPS ialah untuk geocaching. Sebuah permainan ala treasure hunt tapi menggunakan koordinat latitud dan longitude untuk mencari lokasi dengan tepat.

Jika kita lihat, industri perkapalan dan penerbangan, mereka adalah antara pengguna GPS yang paling besar kerana ketepatan perjalanan mereka sememangnya diukur melalui GPS.

Industri GPS sangat luas. Google pun ada Google Maps. Nokia juga telah membeli syarikat GPS iaitu Navteq dan gate5. Dan tidak lama lagi, kereta-kereta yang dijual dipasaran pun akan dilengkapi dengan sistem GPS.

Kegunaan GPS sebenarnya sangat luas. Cuma kita sendiri yang menyempitkannya dan menganggap ia tidak penting. Sekiranya anda merasakan anda perlu untuk menggunakan GPS, pelajarilah dari orang-orang yang menggunakannya.

7. Kat mana lagi saya boleh dapatkan maklumat mengenai GPS, terutamanya untuk Malaysia?

Banyak. Anda boleh lawati forum Malsingmaps (http://www.malsingmaps.com). Yang memiliki banyak maklumat penting mengenai GPS untuk Malaysia dan Singapore serta kawasan lain.

____________________________________________________________

Begitulah sedikit-sebanyak tentang teknologi GPS yang selalunya diabaikan penggunaannya dalam smartphone Symbian. Jika anda ada sebarang komen dan cadangan – janganlah malu-malu untuk menaipnya disini supaya Encik Asri Al-Baker dapat membantu anda.

iklan-symbianku

Create a free website or blog at WordPress.com.