Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

Oktober 27, 2008

Cakap-Cakap: Kesedaran Teknologi Telefon Bimbit Di Kalangan Kita

Sebelum saya menerangkan lebih jauh mengenai Symbian, mari kita lihat sejenak kesimpulan (summary) yang kita telah ketahui setakat ini. Apa yang tercatat disini amat penting kerana selepas ini kita akan dalami secara teknikal tentang Sistem Operasi Symbian.

Malaysia merupakan sebuah negara yang dinamik, berdaya-saing dan sentiasa mengikut trend terkini. Komposisi kaum penduduk Malaysia menunjukkan yang bangsa Bumiputera (Melayu, Sub-Group Melayu, Peribumi) mendominasi lebih 52% daripada jumlah 27 juta penghuninya. Selebihnya dipenuhi dengan lain-lain warganegara seperti kaum Cina, India, Benggali, Peranakan, Inggeris, Siam dan lain-lain. Disebabkan kestabilan politik yang baik dan sikap toleransi antara kaum yang dipegang sejak merdeka, kini Malaysia boleh berbangga dengan pelbagai kejayaannya.

Multimedia Super Corridor sebagai contoh, telah meletakkan Malaysia sebagai hub IT (Gerbang Teknologi Maklumat) yang terkandung didalamnya pelbagai falsafah, inkubator, R&D, syarikat teknokrat dan yang paling utama kemudahan infrastruktur kelas 1 setanding lain-lain negara maju. Namun jika dikecilkan sedikit kepada sektor telekomunikasi, jelas menunjukkan yang rakyat negara ini kurang kesedaran dan kadang-kala menjadi pengikut trend tanpa menyelidik atau berfikir mengenainya.

Saya ingin berbicara tentang segmen telekomunikasi – lebih tepat lagi menjurus tentang teknologi telefon bimbit. Jika terdapat beberapa perbandingan dengan rakyat di negara lain, saya dahulukan dengan memohon maaf kepada anda pembaca budiman. Kadangkala jika kita tidak pernah keluar negara atau berhijrah ke lain-lain tempat didunia, sememangnya kita merasakan ‘kepompong’ yang kita huni amat baik dan selesa sekali.

Awal pertengahan tahun 1980-an, ATUR dengan spektrum 450MHz dilancarkan dan serentak dengan itu telefon bimbit berjenama Benefon, Nokia dan Motorola mendominasi pasaran. Tidak lama kemudian ART 900 diperkenalkan maka muncullah syarikat TELCO seperti CELCOM dan MOBIKOM. Pada masa itu siapa yang tidak kenal dengan NEC PRIMERO dan MOTOROLA MICROTAC?

Pada hujung 1990-an revolusi GSM telah menyaksikan yang telefon bimbit perlu dimasukkan SIMCARD untuk pengaktifan dengan 3 pilihan prefix (010, 019, 012). Seingat saya pada 1997 Telefon Motorola StarTAC, Nokia dan Ericsson menjadi ikon terbaru untuk ‘businessman’ dan penggunaan telefon bimbit kini lebih meluas. Namun hanya segelintir rakyat ‘berpendapatan tinggi’ mampu memiliki dan menguruskannya.

Tidak lama kemudian tiba pula zaman PREPAID. Ini menyebabkan Ericsson, Nokia, Motorola, Sagem dan Siemens berlumba-lumba memperkenalkan telefon bimbit mereka dan harga model-model telah jatuh di bawah RM1,000.00 untuk satu unit. Raja telefon bimbit masa itu adalah Nokia 3210, Ericsson T10, Motorola StarTAC X dan lain-lain. Pengalaman memiliki sebuah telefon bimbit pada masa ini merupakan yang paling indah walaupun hanya disediakan 1 ‘game’ iaitu SNAKE atau TETRIS.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi telekomunikasi di Malaysia, silakan klik: http://www.avaxx.com/aboutus/mobtech_box.htm

Jenama telefon semakin banyak. Sony, Nokia, Sagem, Panasonic, Nokia, BenQ, Siemens, Ericsson, Bosch, NEC, Pantech, GIO, Samsung dan LG makin menggila memperkenalkan model-model terkini untuk mendapatkan sedikit pegangan dalam ‘market-share’ yang semakin gawat. Tiba-tiba, sebuah konsortium diwujudkan pada tahun 1998 dan memperkenalkan OS (Sistem Operasi) yang dinamakan SYMBIAN sebagai teras sistem kepada model-model telefon bimbit masa depan. Ahli konsortium ini terdiri dari PSION, NOKIA, Motorola dan Ericsson.

Pada November 2000, telefon pertama Symbian – Ericsson R380 muncul dan dengan ini bermulalah anjakan teknologi telefon bimbit kepada lebih teknikal dan maju. Apa yang konsortium ini tidak ketahui ialah; dengan kelahiran Symbian – senario telefon bimbit bakal berubah kepada ‘mobile computer-powered multimedia device’ dan bukan lagi hanya sekadar sebuah telefon yang mampu mendail dan menaip pesanan ringkas sahaja.

Nokia N95 membuktikan teori ini. Ia dikenali sebagai ‘Nokia Multimedia Computer’ dan dilengkapi dengan lensa Carl Zeiss 5.0 Megapixels. Harganya sangat mahal. Kemudian ia dijadikan kayu aras (benchmark) kepada lain-lain model telefon hingga kini.

Apa yang tidak disedari oleh pengguna telefon bimbit di Malaysia ialah; Nokia N95 dikuasakan dengan OS Symbian 9.2 pada platform S60-3rd Edition. Berbanding dengan masyarakat Singapura dan Jakarta pada ketika ini, rata-rata lebih memilih OS berbanding MODEL pengeluar. Jika dikalangan mereka lebih selesa menggunakan PALM atau WindowsMobile selaku OS, maka Nokia N95 ini diketepikan dan tidak menjadi pilihan.

Symbian OS sejak dilancarkan dahulu mempunyai 3 platform utama iaitu S60, UIQ dan MOAP. Platform-platform ini seterusnya bertindak sebagai UI (User Interface) kepada teras sistem operasi (CORE) iaitu SYMBIAN. Apabila satu platform (S60) digunapakai terhadap 2 handphone, contohnya Nokia N95 dan Samsung G810, maka bebutang kawalan, tindakbalas pengguna, faktor mesra-pengguna (user-friendliness), perisian sumber-ketiga (3rd Party Software), Permainan (Games), pepijat (software-bugs), menu, kaedah menulis mesej sms dan lain-lain ciri (fitur) adalah SAMA. Ini tidak ubah seperti memiliki 2 buah laptop contohnya COMPAQ dan ACER dimana masing-masing dipasang dengan Windows XP sebagai OS-nya. Apa yang dipasang (Install) pada Nokia N95 (Contohnya perisian WorldMate) semestinya boleh dipasangkan ke dalam Samsung G810. Untuk itu mari kita perhatikan grafik dibawah dan membandingkan UI antara 2 telefon Symbian S60 ini:-

Nah! mari kita sekali lagi membandingkan antara Nokia E71 dan LG KT610 pula. Telefon-telefon ini menggunakan Symbian 9.2 sebagai teras dan S60-3rd Edition sebagai platform:-

Apa yang boleh disimpulkan disini ialah, semua grafik yang dipaparkan diatas menunjukkan yang ‘behaviour’ penggunaan telefon-telefon ini adalah SAMA dan SEIRAS. Namun sesetengah antara kita masih lagi mengatakan ‘saya tidak akan berubah kepada lain-lain jenama kerana sudah terbiasa dengan jenama sekarang’.

Saya memiliki 3 buah telefon S60 iaitu Nokia 3230, Panasonic X800 dan Samsung i450. Setiap kali saya tunjukkan telefon-telefon ini, pasti rakan-rakan akan bertanyakan ‘bagaimana engkau masukkan sistem Nokia kepada Samsung yang engkau pegang itu?’. Secara jujur, saya tidak pernah menukarkan mana-mana sistem telefon saya dan saya cuma ingin buktikan kepada mereka yang pada suatu masa nanti, boleh kata setiap model telefon yang bakal dijual berfungsi pada OS dan platform yang sama!.

Zaman telefon kita telah berubah daripada skrin 1 warna kepada 16 juta warna, dari monofonik kepada hi-fi, dari infra-red kepada WiFi dan dari 0.3 Mpix kepada 8.0 Mpix. Saya akui yang bukan semua orang mampu memiliki telefon-telefon canggih ini tetapi ramai juga yang mengumpulkan duit gaji, bonus dan simpanan untuk membeli sebuah telefon bimbit mahal yang hanya selepas itu menyesal kerana telefonnya cuma berfungsi tidak lebih dari menu-menu yang dipaparkan tanpa kebolehan untuk menerima perisian, games, themes, wallpaper dan peningkatan fungsi dari pihak luar. Akhirnya ia terkaku, terasa rugi dan menyesal lantas pergi ke kedai telefon berhampiran untuk ‘trade-in’ kepada model yang lebih baru. Kemudian sekali lagi ia menyesal apabila mengetahui yang telefon barunya kali ini tetap tidak sebanding dengan fungsi telefon bimbit rakan-rakannya. Maka berlaku lagi pembaziran kali ke-3. Dan kali ini ia tidak tersalah pilih, Nokia N95 sudah di tapak tangan. Cuma bezanya pada kali ini, dia tidak menghiraukan ‘buku panduan’ (manual) yang tersedia didalam kotak, dan apabila berlaku kerosakan kecil pada telefon, dia mempersalahkan pelbagai pihak. Akhirnya sekali lagi dia ke kedai telefon untuk menukarkan telefonnya kepada telefon biasa. Serik – itulah yang seringkali diucapkan dan dinasihatkan kepada rakan-taulan.

Kejadian ini menunjukkan perangai sesetengah kita yang mengabaikan ilmu pengetahuan. Seperti juga membeli peralatan elektrik yang lain, beribu-ribu wang dapat dijimatkan jika beliau bertanyakan kepada yang ahli sebelum membeli sebuah telefon bimbit. Begitu juga dengan buku manual yang tetap tersimpan rapi di dalam kotak. Alangkah baiknya jika kita membuat sedikit pembacaan dari ‘manual-book’ itu atau penyelidikan terhadap teknologi (sebaiknya dari sumber Internet) sebelum membuat sebarang pembelian?

Cerita ini saya dedikasikan kepada seorang rakan – En. ARIL yang berada di Seremban. Beliau sebelum ini menggunakan Nokia 1100 (hitam-putih, monofonik dan murah) sebelum benar-benar berjimat dan akhirnya kini memiliki Nokia N82 yang serba lengkap. Kelebihan Aril perlu dicontohi oleh lain-lain kerana beliau berusaha untuk belajar tentang ‘Symbian’ di Internet walaupun pertama kali membeli N82. Kemudian, beliau berusaha menarik perhatian saya untuk berjumpa beliau dan melaksanakan proses installasi software dan games pada telefon tersebut. Sekarang sememangnya Aril patut berbangga dengan usaha beliau kerana rakan-rakan sepejabat telah mula iri-hati, geram dan memendam-rasa terhadap N82 beliau yang telah dipertingkatkan.

Selain S60, platform komersil yang dihasilkan oleh Symbian ialah UIQ. Berbeza dengan S60, telefon UIQ berteknologi ‘touchscreen’ dan mirip kepada ‘PDA’. 2 syarikat yang mendominasi UIQ ialah Sony Ericsson dan Motorola. Untuk itu mari saksikan UI yang terdapat pada Sony Ericsson P1i dan Motorola Z8:-

Kedua-duanya tampak sama dengan cara kepenggunaan yang tidak jauh berbeza. Oleh kerana kedua-duanya dikuasakan dengan platform UIQ, maka ia sangat berbeza dengan golongan S60 yang kita bincangkan awal tadi. Platform UIQ pada Symbian diwujudkan untuk memberi pilihan kepada pengguna selain ianya agak teknikal berbanding S60. Keistimewaan ‘touchscreen’ pada UIQ memang memberikan pengalaman baru terhadap pengguna S60 yang berhijrah kepadanya. Saya tidak menafikan yang saya juga adalah seorang yang berhijrah dari S60 kepada UIQ. Kini terdapat 3 model UIQ dikalangan adik-beradik saya (W960, P1i dan G900) dan kami berasa bangga atas teknologi ini.

Langkah seterusnya untuk masa hadapan, Symbian hanya akan mengeluarkan 1 sahaja platform untuk model-model telefonnya. Ini bermakna tiada lagi S60, UIQ dan MOAP. Semuanya menggunakan 1 platform universal tidak kira jenama LG, Sony Ericsson, Samsung, Nokia atau Motorola. Sedikit bayangan platform ini terdapat pada model Nokia 5800 XpressMusic yang dilancarkan baru-baru ini. Ia dikenali sebagai S60-5th Edition dan mengadaptasi teknologi ‘touchscreen’ pada ‘user-interface’nya. Tetapi platform sebenar hanya diketahui 2 tahun lagi dan mungkin pada tahun hadapan Symbian-Foundation akan mengumumkannya.

Jika kita lihat pada 3 tahun yang akan datang, Symbian akan terus mendominasi pasaran telefon bimbit dunia. Akan muncul teknologi-teknologi baru seiring langkah kerjasama yang disaksikan oleh lebih 10 syarikat telekomunikasi di dalam yayasan Symbian. Pihak pengeluar, promoter (termasuk Blog Symbian Malaysia), pengedar dan penjual telefon Symbian akan meraih keuntungan berlipat ganda. Dikalangan pengguna pula hanya segelintir sahaja yang beruntung dan berbaloi kerana segolongan lagi masih menghabiskan wang tercari-cari telefon yang sesuai.

Artikel ini dikeluarkan sebagai ‘summary’ dengan tujuan untuk memberi pendedahan teknologi telefon khusus buat Sistem Operasi Symbian untuk tatapan anda. Ia juga diterbitkan untuk menghilangkan rasa skeptikal terhadap lain-lain model Symbian khusus dikeluarkan oleh Samsung, LG dan Motorola. Setiap pengguna telefon Symbian amat jarang bertukar model kerana mereka benar-benar mengetahui tentang ‘firmware-upgrade’, installasi software & games dan kebolehpercayaan Symbian merentasi masa. Contohnya telefon Nokia 3230 yang saya miliki pada 2004 hanya diketahui umum boleh digunakan sebagai modem broadband DIGI/CELCOM/MAXIS pada masa sekarang. Ini membuktikan kenyataan saya sebelum ini. Contoh lain, teknologi DLNA pada Samsung i7110/i8510 hanya akan digunakan secara meluas dalam 3 tahun yang akan datang kerana pada masa itu pengguna telefon ini mampu mengawal peralatan elektrik rumah (televisyen, radio, pendingin-hawa, mesin basuh dan sebagainya) hanya dengan satu klik ditelefon Symbian mereka!

Diharapkan tiada lagi rungutan dan komen ‘Saya tidak akan menggunakan lain jenama kerana sudah terbiasa dengan Nokia’. Setiap model yang di’review’ dalam blog ini bertujuan untuk membiasakan anda kepada persekitaran Symbian. Telefon LG-KT610, Samsung i7110, Samsung i450, Samsung i8510 dan Motorola Z8 tidak jauh berbeza dengan sebuah Nokia N95 yang ada dalam genggaman anda sekarang. Mungkin ada juga beranggapan yang saya memencilkan telefon Nokia kerana tidak pernah membuat sebarang prapandang terhadapnya. Jika kita dapat berfikir ‘keluar dari kotak’ (Out Of The Box) kita segera akan menemukan jawapannya. Wallahualam.

Klik untuk kronologi (sejarah) Symbian Ltd.
http://www.metalgrass.com/symbianinvestor/SymbHist.html

banner-anim0

3 Komen »

  1. good software symbian thank you

    Komen oleh maddog — Oktober 29, 2008 @ 2:46 pm | Balas

  2. Terima kasih atas inform yang sangat berguna
    saya ingin balik melaysia dari Lubnan dan ingin membeli telephone yang mempunyai fungsi pocket PC, touch screen, gps dan mempunyai sistem yang anda nyatakan sila beri cadangan kepada saya. tq

    Komen oleh David — November 16, 2008 @ 4:29 am | Balas

  3. askum bang.disini saya ingin bertanyakan beberapa soklan
    pertamanya. adakah tahun2x yg akan dtg kesemua jenama baik dari nokia, samsung, ataupun sony ericsson. akan membuat lebih banyak model yg akan menggunakan os symbian s60 5ft edition? keduanya, saya dapat merasakan satu hari nanti dunia symbian akan lebih meriah kerana rata2x pengguna skrang sudah semakin maju dlm penggunaan smartphone yang menggunakan os symbian ini, kerana bagi saya os symbian adalah lebih mudah untuk dikendalikan berbanding os2x yang laib,dengan ini harap abang dapat mengupdate blog symbian ini secara lebih cepat dan tepat. sekian , terima kasih

    Komen oleh lovealways.ecd.cc — Disember 17, 2008 @ 8:15 pm | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: