Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

Julai 15, 2012

RUMAH BARU UNTUK BLOG SYMBIAN MALAYSIA: SYMBIANKU.MY

Filed under: Uncategorized — adliayob @ 2:17 am

Blog Symbianku Malaysia telah berpindah ke rumah baru. Klik pautan ini http://www.symbianku.my untuk membacanya.

Selamat datang ke dunia baru Symbian… eh! Nokia Belle! WWW.SYMBIANKU.MY

September 27, 2011

ChurpChurp Lebih Baik Dari Nuffnang?

Filed under: Uncategorized — adliayob @ 5:45 am

Iklan dari Churp-Churp: Now you can earn rewards by sharing through facebook and twitter with CHURPCHURP!!!.

Malam tadi mata saya tak berapa mengantuk. Kadang-kadang, bila menjadi blogger seperti saya, ‘penyakit’ susah nak tidur memang datang. Adakalanya ‘penyakit’ ini menyebabkan saya rasa seperti Superhero! Maklum sahajalah, waktu siang saya tidur dan bermula jam 5.00 ptg hingga ke 5.00 pagi – Masa untuk berkarya di depan komputer!

Apa yang selalu saya buat di depan komputer pada waktu malam hingga ke pagi?

(1) Menyemak blog SymbianKu.com
(2) Buka FaceBook/Twitter dan melayan status-status kawan-kawan
(3) Menulis catatan artikel seterusnya di SymbianKu.com – Biasanya jarang siap dan kalau pun siap, ia mengambil masa dalam 2-3 hari untuk ‘berpuas-hati’ terhadap apa yang saya tulis.
(4) Masuk ke GSMARENA.com dan ALLABOUTSYMBIAN.com
(5) Mempersiapkan kerja-kerja tertangguh yang masih wujud pada software Pinnacle Studio dan Adobe ImageStyler/Photoshop.
(6) Membayar semua tanggungan di M2U.
(7) Membalas email-email dari pembaca SymbianKu.
(8) Bermain ‘Plants VS Zombies’ – betul beb.. game ni membuatkan saya tak boring!
(9) Masuk Wikipedia atau mencari data-data tentang sesuatu kajian yang saya minati… dan…
(10) MENYEMAK AKAUN NUFFNANG saya!

Pada malam ini, saya telah ‘cash-out’ RM51.50 lagi dari Nuffnang. Ini merupakan ‘cash-out’ kedua untuk saya dari blog SymbianKu.com (pada tahun ini). Walaupun tidak tinggi nilainya berbanding blog tuan-tuan sekelian, namun NuffNang telah menyebabkan saya berpuas hati dengan servisnya itu.

Ini sebenarnya menjawab persoalan rakan-rakan yang lain terhadap saya selama ini: “Adli, betul ker NuffNang bayar duit kepada blogger? Pernah ker kau dapat duit?”. Namun, pada malam ini tangan saya gatal nak menyentuh seekor BURUNG BIRU bernama CHURP-CHURP yang berada di atas status NuffNang saya.

Baiklah. Saya sebenarnya ingin bertanyakan kepada anda yang membaca karangan ini: Benarkah dakwaan sesetengah pihak tentang ChurpChurp membayar LEBIH dari NuffNang? Ada tak sesiapa yang pernah dapat duit dari ChurpChurp?

Memang saya ada juga membaca dari banyak blog tentang ChurpChurp ini. Tetapi, sebenarnya saya perlukan info dan feed dari anda, selaku pembaca blog ini. Persoalan yang bermain dalam fikiran saya ialah – Bagaimanakah mereka (ChurpChurp) membayar blogger? Kalau macam NuffNang saya faham. Sekurang-kurangnya anda perlu meletakkan satu iklan di blog anda dan menunggu orang KLIK iklan tersebut.

Walaubagaimanapun, oleh sebab saya dah TERJEBAK menekan dan mengisi data-data yang diperlukan oleh ChurpChurp, maka apa yang boleh saya buat ialah tunggu dan lihat. Anda bagaimana? Sudahkah anda mendapat pembayaran dari ChurpChurp?

Nak tahu lebih lanjut tentang ChurpChurp dan terjebak macam saya? KLIK SINI!

Entahlah… harap ada orang yang akan berikan komen (panduan) untuk saya terhadap entri ini.

Mei 12, 2011

Tablet: Adakah ANDA Sudah Bersedia Ke Skrin Ke-5?

Filed under: Duniaku!,Gajet — adliayob @ 3:57 am
Tags: , , , ,

Kita sekarang sudah sampai ke zaman skrin ke-4 iaitu ‘Skrin Telefon’. Rata-rata manusia lebih memerhatikan skrin ini berbanding lain-lain skrin. Sejarah skrin pada peradaban manusia bermula dengan ‘wayang gambar’. Pada zaman ‘propaganda’ dahulu dapat kita perhatikan bagaimana orang-orang kampung keluar rumah beramai-ramai ke padang sambil membawa tikar & bekalan untuk ‘menikmati’ skrin ini. Biasanya, pengumuman oleh kerajaan akan di siarkan terlebih dahulu sebelum filem ditayangkan. Tiga-empat jam sebelum itu, beberapa buah ‘van penerangan’ menerobos setiap sudut kampung dan memainkan ‘Encik-encik dan puan-puan, ini malam ada wayang. Cerita P.Ramlee. Datanglah beramai-ramai ke padang!’.

Kemudian skrin kedua pula muncul iaitu televisyen. Saya ingat lagi bagaimana perasaan memiliki tv warna di ruang tamu kami pada tahun 1983. Hampir setiap rakan-rakan saya akan berkumpul pada waktu petang di rumah kami kerana tv di rumah mereka masih lagi hitam-putih. Saya sanagt berbangga dengan ‘pencapaian’ keluarga kami dan saya juga dapat mengenali ‘STMB – Sistem Televisyen Malaysia Berhad’ atau nama komersilnya ‘TV3’. Mulai saat itu, keluarga kami kurang keluar untuk ke panggung wayang lagi.

Pada tahun 1987 sewaktu saya berumur 11 tahun, saya tergila-gilakan skrin yang ke-3 dalam hidup manusia. Skrin tersebut ialah ‘komputer’ dan perasaan ingin tahu saya sangat melonjak-lonjak dan seterusnya memberitahu mak-bapak dengan harapan mereka akan menghadiahkan saya sebuah komputer. Seperti biasa, harapan yang tinggi menggunung tadi tidak kesampaian dan akhirnya saya hanya dapat memiliki komputer sendiri pada umur 21 tahun. Namun saya sangat berpuas hati kerana sejak usia 14 – 20 tahun, saya sentiasa berdamping dengan komputer dan sekarang saya tidak ketinggalan dalam apa jua mak-nenek ‘IT’ yang berlaku disekeliling kita.

Skrin ke-4 iaitu telefon pintar (smartphone) telah diperkenalkan sekali lagi oleh Steve Jobs melalui iPhone pada tahun 2007. Saya mengakui bahawa telefon ini telah mendekatkan ‘jarak’ pengguna ‘teknikal’ dan pengguna ‘biasa’ dalam industri telefon bimbit. Jika pada tahun 2003 (pada waktu itu saya telah memiliki smartphone Symbian) pengguna dapat dipecahkan kepada dua golongan iaitu pengguna ‘PDA’ dan pengguna ‘biasa’, namun sejak pengenalan iPhone – perkara ini telah berubah buat selama-lamanya! Rata-rata sekarang saya lihat ramai pengguna memilih telefon berskrin ‘besar dan lebar’ berbanding yang ada ‘keypad’. Lebih daripada itu, perkhidmatan internet dan rangkaian telah melonjak ke tahap 350% di dunia kerana kini setiap telefon pintar didatangkan dengan perisian ‘facebook’, ‘twitter’, ’email’ dan ‘chat’. Ia merupakan satu pencapaian yang paling ulung pada abad ini dan permintaan terhadap ‘pelan data internet’ juga telah meningkat. Tak percaya? tanyalah DiGi, Maxis dan Celcom!

Jesteru, hidup manusia moden telah berubah dengan drastik sekali. Kini semua orang terpaksa bersetuju bahawa skrin ke-4 ini telah meninggalkan skrin komputer, televisyen dan ‘cinema’. Berhubung dengan ahli keluarga tanpa susah payah menunggu berita? tiada masalah, ‘social networking’ ada pada skrin telefon! Menonton filem pendek sementara menunggu komuter? tiada masalah! Berhubung dengan rakan-rakan dengan melihat ekspresi mimik muka dan lambaian tangan? tiada masalah, ‘videocall’ tersedia di mana-mana kawasan yang ada liputan 3G! Berkongsi media/lagu dengan rakan-rakan lain? tiada masalah, cuma hidupkan bluetooth sahaja! Pendek kata, kepada siapa yang masih tidak tahu tentang smartphone pada tahun 2011 ini, maka beliau layak untuk digelar katak! Hehehe.

Tetapi perasankah kita bahawa senario smartphone yang saya katakan tadi hanya berlaku kepada ‘sekelompok’ peminatnya sahaja di Malaysia ini? Ini adalah realiti! Dan realiti ini yang terpaksa di’hadam’ oleh kesemua umat yang mengaku MELAYU di Malaysia ini. Adalah tidak salah kalau saya menyatakan yang kelompok melayu yang menggunakan gajet canggih merupakan mereka yang tinggal di bandar-bandar atau yang sentiasa mengikut ‘trend’. Ada juga yang tinggal di bandar, tetapi masih lagi menggunakan telefon ‘biasa’. Boleh saya katanya yang kalau dihimpun 60% penduduk Malaysia (kerana 60% adalah bangsa Melayu) di suatu tempat dan diaudit telefonnya, maka hanya 3/10 sahaja yang memiliki smartphone. Maksud saya SMARTPHONE yang ASLI. Bukan ‘APhone’, ‘EPhone’, ‘NOKLA N8’ atau ‘Sumsum Galaxy Z’. Ini jelas menunjukkan yang sebenarnya masih ramai lagi warga Malaysia masih belum menikmati smartphone dan ‘berharap’ pada teknologi baru ini! Ramai makcik-pakcik diluar sana masih mengharapkan telefon rumah atau ‘Nokia 3310’ sebagai medium berita dan maklumat. Sebenarnya jika anda nampak yang ‘ramai’ orang di Malaysia telah memiliki smartphone – ketahuilah yang sebenarnya mereka berada dalam kelompok kecil sahaja! Yang paling sedih, ada yang cepat-cepat menjual smartphone pemberian ‘hadiah’ daripada orang ke kedai pajak-gadai kerana perlukan wang untuk hidup. Untuk penggiat teknologi maklumat seperti saya, saya mendapati yang berita ini sedih sekali kerana dari tahun 1987 lagi, masyarakat Malaysia MEMANG tidak percayakan komputer, IT, kerjaya dalam bidang komputer dan gajet canggih. Dan ‘yang tidak percaya’ ini datangnya dari golongan Melayu dan penjawat awam.

Situasi ‘Apa kerja anak kau tu? Apa tadi? programmer? ada masa depan ker?’ telah biasa saya harungi dalam hidup. Ini terbukti apabila dalam setiap ‘benda baru’ IT, orang melayu akan terkebelakang dalam 2 tahun. Pada tahun 2007 ramai orang telah ‘kecoh’ tentang FaceBook, tetapi hanya pada tahun 2010 barulah orang Melayu mengadaptasikannya. Itupun dengan ‘sinis’ bahawa Facebook banyak yang buruk berbanding yang baik. Perkataan ‘BlackBerry’ juga begitu, hanya pada akhir tahun 2009 sahaja barulah orang Melayu mula membelinya sedangkan saya telah menggunakan perkhidmatan BlackBerry pada telefon Symbian (Sony Ericsson P1i) pada akhir 2007 lagi. Tahun 2011 ini saya sifatkan tahun Twitter. Sekali lagi, saya telah menjadi pengguna aktif Twitter pada 2009 dahulu. Begitu juga pada ‘laptop’, iPhone dan Astro Byond. Semuanya lambat 2 tahun dari tarikh yang sepatutnya! Yang menghairankan saya, ini semua tidak berlaku pada rakan-rakan CINA dan INDIA saya. Bolehlah saya katakan yang masyarakat cina dan india telah mengadaptasi perkara ini pada peringkat awal sesuatu revolusi dalam IT berlaku di dunia ini. Adakah ini berpunca dari ekonomi? Mungkin betul juga kerana statistik terbaru menunjukkan yang pendapatan isi rumah Melayu (pada RM3000 sebulan), India (RM4000 sebulan) dan Cina (RM5000 sebulan)*. Pelik kan? Saya ‘salute’ kepada keluarga msyarakat India kerana walau susah macamana sekalipun, setiap keluarga MESTI memiliki sebuah kereta (paling kurang pun Nissan Sunny) sedangkan masih ramai ‘couple’ Melayu yang memiliki 2 orang anak menunggang motorsikal! Tak percaya? sila melancong ke kampung-kampung dan saksikan sendiri bagaimana realiti hidup bangsa Melayu.

Berbalik kepada tajuk asal tadi. Memperkenalkan SKRIN KE-5 dalam hidup manusia iaitu TABLET. Tahun 2011 ini bolehlah saya nobatkan ‘Tahun Tablet’ kerana banyak pengeluar telah memperkenalkan tablet masing-masing. Sekali lagi, revolusi ini dicetuskan oleh Steve Jobs dengan iPad pada tahun 2010. Sedihnya, sehingga kini, apabila melihat seseorang menggunakan tablet, maka akan terdengarlah sahutan “Fuhh, canggih betul iPad kau nih! Kecik sikit skrin dia ya?” walaupun dia sebenarnya melihat Samsung Galaxy Tab! Sama macam cerita ‘Colgate’ walaupun ternyata ianya adalah ubat gigi! Hehehe.

Tahun ini, Apple telah memperkenalkan iPad 2. Samsung telah melebarkan portfolio ‘Galaxy Tab’nya dengan model 8.9 dan 10.1. BlackBerry telah memperkenalkan ‘PlayBook’ dan Motorola telah mula menjual ‘Xoom’. Syarikat gajet gergasi dari Taiwan iaitu HTC telah memperkenalkan ‘HTC Flyer’ yang menyebabkan saya ‘longgar lutut’ apabila melihatnya untuk kali yang pertama baru-baru ini. Acer, Toshiba, Sony dan CSL juga tidak mahu kalah dalam perlumbaan ini (walaupun ramai yang sedia maklum bahawa tablet CSL sebenarnya ‘rebranding’ dari Viewsonic. Hehehe). Sekali lagi orang Melayu di ancam dengan pelbagai produk tablet tiruan seperti ‘aPad’, ‘ePad’ dan ‘iPad Mini Made In China’ yang dijual dibawah RM600 ringgit! Jadi, ramaikah yang terpedaya? Memang ramai pun. Ia sama ‘penyakit’ dengan iPhone tiruan yang berlambak-lambak di pasaran. Tersangat jarang saya mendengar perkataan yang betul dari mulut seorang Melayu. Semua akan menyebut ‘iPad’ dan bukannya ‘tablet’. Sekali lagi, mengapa jadi begini? Tidak cukup sekolahkah orang Melayu? atau ada ‘golongan’ lain yang mengajar perkara songsang pada melayu-melayu ini? Kesian kan?

Sebenarnya tablet telah diperkenalkan awal lagi iaitu tahun 2001 melalui Microsoft. Kemudian, syarikat HP telah memperkenalkan ‘HP Tablet TouchSmart’ sekitar tahun 2007. Namun ketika itu perkataan ‘UMPC’ lebih dikomersilkan berbanding perkataan ‘tablet’. UMPC bermaksud ‘Ultra-mobile PC’. Dalam masa tiga tahun (iaitu 2007 hingga 2010) tablet gagal menjadi produk ‘kehendak’ pelanggan. Hanya setelah Steve Jobs memperkenalkan ‘iPad’ barulah semua orang di dunia telah membeli tablet! Dahsyat betul iPad ni. Persoalannya, mengapa bila Apple memperkenalkan tablet baru semua orang nak beli?

iPad menjadi gajet ‘paling dikehendaki abad ini’ kerana ia telah memudahkan penggunaan tablet. Rahsia besar terhadap perkara ini terletak pada ‘OS’ iPad iaitu iOS. Tablet sebelum ini dikuasakan dengan Windows Vista dan Windows 7. Percayalah cakap saya yang OS Windows (walau Windows 8 sekalipun!) sememangnya SANGAT TIDAK SESUAI untuk tablet. Buktinya, saya telah berdebat secara tidak langsung dengan seorang jurujual Acer ICONIA W500 pada minggu lepas. Sedaya upaya dia cuba meyakinkan saya (dan pengguna-pengguna lain) bahawa ICONIA merupakan tablet terbaik masa kini. Seperti biasa, saya tidak beri peluang kepada jurujual ini dan mengeluarkan Samsung Galaxy Tab dan mendemonstrasikan keupayaan Android berbanding Windows 7. Aksi berlawan cakap telah berlaku dalam 5 minit dan saya perhatikan bertambah ramai penonton disekeliling saya (rata-ratanya orang melayu). Ya, seperti biasa saya memenangi perdebatan itu dan saya sangat berpuas hati kerana penonton mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju terhadap pendapat saya. Tidaklah saya dengki dengan Acer ICONIA, tetapi saya memang PANTANG apabila ada orang yang dengan sengaja cuba memperbodohkan bangsa saya iaitu Melayu. Tindakan saya menciptakan blog ini dan Blog Symbian Malaysia (http://www.symbianku.com) juga berdasarkan tidak mahu Melayu ketinggalan dan diperbodohkan dalam teknologi lagi.

Perkara penting dalam tablet ialah kebolehan ‘instant-ON’ seperti yang terdapat pada iOS dan Android. Ia seakan-akan smartphone dan tidak perlu untuk ‘shut-down’ atau ‘start-up’ yang mengambil masa sebatang rokok seperti yang terdapat pada tablet Windows. Kemudian, kelebihan untuk berhubung dengan talian internet (samada talian data atau WiFi) merupakan perkara yang penting untuk Tablet. Begitu juga, ia tidak boleh dimasukkan CD atau DVD, maka kemudahan untuk memindahturun perisian (dan games) sangat kritikal untuk tablet. Jesteru, iPad dan tablet Android telah berjaya mengatasi masalah ini dengan ‘Apps Store’ dan ‘Android Market’. Setiap keperluan perisian hanya tinggal satu sentuhan sahaja!

Pada saya, tablet akan menjadi produk penting untuk mereka yang menceburi bidang ‘marketing’, ‘media’, ‘MLM’ dan ‘blogger’. Ini kerana setiap dokumen yang anda perlukan akan mudah dipamerkan kepada pelanggan dan rakan-rakan tanpa menunggu masa untuk ‘loading’, ‘start-up’ dan ‘hang/bluescreen/restart’. Bayangkan jika anda sedang menunjukkan tingkat-tingkat pencapaian MLM kepada seorang ‘prospek’, maka dengan adanya tablet, kemungkinan besar ‘deal’ anda pada malam itu menjadi lancar dan berjaya! Seperti biasa, saya meramalkan pada tahun 2013 nanti, tablet akan dijual dengan baik sekali di Malaysia. Pada waktu itu, peranan tablet akan lebih besar lagi kerana setiap orang ingin berkongsikan maklumat tentang Pilihanraya Malaysia yang terkini. Tablet sangat ringan, berkuasa dan mampu berkomunikasi dengan internet. Ia tidak ‘leceh’ macam laptop yang berat dan tidak mampu dimasukkan ‘simcard’. Ini sebenarnya merupakan peluang dan berita baik untuk ‘perayu UNDI’ kerana mulai sekarang, setiap slaid, gambar-gambar dan dokumentari (dan dokumentasi) mengenai calon-calon YB dapat diperkemaskinikan dan dimasukkan ke dalam tablet anda! Dengan itu, hujah-hujah untuk mematikan propaganda parti lawan akan lebih kukuh dan bergaya! Mulai sekarang anda sudah boleh buat ‘shortcut’ kepada laman web SPR, blog-blog politik, dan Youtube. Manalah tahu jika pada tahun 2013 nanti kalau berlaku pilihanraya, tidaklah anda susah untuk ‘mendaftar ahli parti’ dan melihat keputusan pilihanraya. Bukankah sekarang semuanya bersifat ‘Online’? kan?

Kepada anda yang baru ingin berjinak-jinak terhadap tablet, TOLONGLAH BACA pandangan saya pada perenggan ini. Tolong beli tablet yang benar-benar ASLI seperti Apple iPad, Samsung Galaxy Tab, Motorola XOOM, HTC Flyer, BlackBerry Playbook dan lain-lain. Paling tidak pun tablet jenama CSL. JANGAN beli aPAD, ePAD, atau lain-lain tablet made in China dan tiruan walaupun ia murah. Pada zaman ini, yang murah tidak semestinya berbaloi. Biasanya yang murah bersifat ‘menipu’ dan merugikan sekurang-kurangnya RM390 duit anda! Takkan anda nak pakai tablet untuk sebulan saja kot?

Ketahui juga TIGA OS yang menjadi paksi tablet pada masa kini iaitu iOS, Android (termasuk Honeycomb) dan QNX (Blackberry tablet OS). Tablet dengan OS Windows? ketepikanlah. Ia tidak akan membantu anda dalam pengalaman baru tentang tablet dan yang paling teruk – ia sangat tidak sesuai untuk tablet pun. Nampak gayanya transisi (transition) dan adaptasi terhadap tablet akan bercambah dalam 2 tahun ini. Selamat datang ke skrin ke-5 dalam kehidupan manusia!

* Statistik pendapatan isi rumah Malaysia boleh anda dapati dari segenap blog-blog politik atau laman web Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri. Angka 3ribu, 4ribu dan 5ribu yang dinyatakan adalah DALAM ANGGARAN sahaja secara PURATA dan tidak tepat. Tetapi ia layak untuk di BUNDARKAN dengan angka ribu yang paling hampir sebagai informasi mudah. Angka-angka yang telah dinyatakan TIDAK BERSIFAT ilmiah dan ia tidak layak dipakai dalam diskusi akademik. Ia dinyatakan untuk MEMUDAHKAN sebutan sahaja untuk memberi gambaran JURANG ekonomi antara 3 kaum terbesar Malaysia.

Jun 7, 2010

Server DOWN! Alahai…

Filed under: Berita Symbian — adliayob @ 11:24 pm

Ya! anda tidak salah membacanya. Sesungguhnya server Symbianku.com sekarang sedang DOWN (atau sedang diselenggarakan) sehingga bila? entahlah… Pakcik pun dah ponek nia menunggu. Krusi ni pun haa dah nak terjongket dah nia menanggung boban lobih 100 kilo nih!

Sesungguhnya, inilah ujian yang sangat berat yang pernah saya alami kerana HARI INI DAH MASUK 4 HARI PENUH server Symbianku ni down. Apalah nasib… tapi En. Asri al-Baker sedang berusaha untuk berkomunikasi dengan penyedia ‘hosting’ kami supaya menaikkan semula (atau menerbitkan semula) Symbianku.com yang tergendala sejak JUMAAT lepas. Saya faham dan sangat-sangat mengerti kepada semua peminat yang telah menghantarkan email/sms/twitter kepada saya, untuk anda saya ucapkan jutaan terima kasih dan harap bersabar. Terima kasih semua kerana masih lagi mengunjungi dan sayang kepada Symbianku.com

Buat sementara, kami akan menyiarkan perkembangan terkini server Symbianku di laman blog ini. Sekian.

April 21, 2010

Blog MeeGo Malaysia :: MeeGoKu.com

Filed under: Duniaku! — adliayob @ 12:39 am
Tags: , ,

YAA!! Sejarah telah dicipta sekali lagi untuk peminat teknologi Malaysia! Sebuah blog yang menggunakan medium Bahasa Melayu sepenuhnya yang membicarakan tentang Sistem Operasi MeeGo telahpun dilancarkan di http://www.meegoku.com dan telah diulas sepenuhnya di Symbianku.com

Blog ini merupakan ‘adik’ kepada Blog Symbian Malaysia dan kepada pemilik N900 – ayuh menyerbu ke sana sekarang juga!!!

Dapatkan lebih info tentang Maemo, MeeGo dan Nokia N900 di www.MeeGoKu.com

Januari 30, 2010

KLSS – Kuala Lumpur Symbian Stammtisch Yang Pertama!

Filed under: Berita Symbian,Duniaku! — adliayob @ 2:47 pm
Tags: ,

Kepada semua peminat Sistem Operasi Symbian, saya menyeru anda untuk hadir ke KUALA LUMPUR SYMBIAN STAMMTISCH yang pertama di Kelantan Delights, Sooka Sentral pada 10 Februari 2010 jam 5.00 – 7.00 petang.

Stammtisch bermaksud ‘the regular’s table’ dimana peminat-peminat dan pengguna Symbian di Malaysia akan duduk bersama-sama dan berbincang tentang beberapa topik untuk diketengahkan ke Symbian Foundation.

Acara ini di sokong penuh oleh Symbian Foundation, London dan di’organise’kan oleh Symbianku.com.

Baca maklumat tentang KLSS – KL Symbian Stammtisch di sini:

Disember 18, 2009

KOMENTAR ANDA TIDAK DILAYAN DISINI

Filed under: Uncategorized — adliayob @ 3:00 pm

Ya! itulah hakikatnya! Kerana:

  • Blog Symbian Malaysia sudah beralih dan berpindah ke SERVER SENDIRI di www.symbianku.com
  • Laman blog ini telah berpindah sejak 1 MEI 2009 lagi
  • Saya telah meletakkan beberapa PENGUMUMAN dan IKLAN di sebelah KANAN blog ini.
  • Setiap komentar berkaitan SYMBIAN di blog peribadi saya ini TIDAK AKAN DILAYAN.

Saya amat berharap agar semua pembaca dapat mengunjungi Laman Rasmi Blog Symbian Malaysia yang baru.

– Adliayob

November 14, 2009

Braving The Sea.

Filed under: Duniaku! — adliayob @ 10:33 am
Tags:

Video di atas menceritakan tentang kerja-kerja seharian saya. Ya, dengan sebuah syarikat ‘multinational’ yang bertapak di Kowloon, Hong KOng. Founder syarikat ini ialah Mr. Steven Ting (Hong Kong) dan Dato’ Seri Dr. Chong Man Tung (Malaysia).

Nama syarikat ini ialah Dynasty Marine Farm. Ia merupakan satu-satunya syarikat yang melabur terhadap 500 ekar penanaman ‘Seaweed’ di Malaysia. Dan ladang sebesar 500 ekar ini berada di LAUT, bukan di darat. Ladang di laut?? Hmmm..

Kerja saya? Operation Executive. Tapi, sebenarnya ‘mengurus’ ladang sebesar 500 ekar, menjadi ‘orang tengah’ antara KL, Hong Kong dan Semporna, Sabah. Mentadbir Site Office di Semporna, jadi PR guy, pegang HR Department, IT Department dan juga bertindak jadi jurucakap ladang apabila menerima tetamu. Hmm.. LAZAT! (dan meletihkan).

Di Semporna, ada 2 orang ‘Director’ company yang sentiasa bersama saya. Mereka ialah Mr. Samuel Chai dan Mr. Salleh Hj. Abd. Salleh. Kedua-dua ini merupakan kawan baik saya dan bertindak menjadi big-boss yang akan mengarahkan saya itu-ini dan apa-apa yang patut tiap-tiap hari. Antara kerja diaorang ni termasuklah pergi meeting ke KL, Hong Kong dan Kota Kinabalu. Kira kapal terbang setakat jadi ‘taxi’ diaorang jer.

Kalau kita fikir tentang ayat ‘taxi’ di atas, memang nampak macam best. Tapi hakikatnya… pening kepala ooi. Sebab diaorang bukan pergi makan angin, tapi mencari ‘market’ untuk menjual seaweed kering (dan juga yang dah jadi ‘semi carragenan’) ke luar negeri. Kengkadang diaorang ke Taiwan, China, Tokyo dan Manila. Maklumlah untuk ‘menolak’ stok seberat 5-6 tan sebulan, bukannya kerja senang.

Tapi, sebenarnya pelik jugak nasib saya ni. Ikutkan qualification, selayaknya pegang company IT (atau Symbian Foundation ker…hehehe) tapi dah terjerumus ke marine company lak. Kengkadang rasa macam dalam filem ‘Waterworld’ pun ada jugak sebab setiap hari mengunakan boat, jetski, dan perahu dayung untuk ke pelantar dari tanah besar Semporna setiap hari.

Kami ada 5 pelantar semuanya. Bayangkan sebuah ‘stesen’ di laut sebesar 2 hingga ke 4 padang bola, siap dengan kemudahan tempat tinggal, bilik mesyuarat, pejabat, stesen timbang, stor, tempat penjemuran dan lain-lain yang berkaitan… tetapi semuanya ini berada di atas air. Jarak antara satu stesen ke stesen yang lain ialah 2-5 kilometer. Macam filem ‘WaterWorld’ kan? Tapi ini pada skala REALITI, bukannya filem.

Seaweed di’tanam’ (diikat) pada seutas tali, dan 1000 (seribu) bibit seaweed akan diikat pada ‘line’ tersebut. So, buat masa sekarang kami telah menyempurnakan lebih 1,500 line dan target penanaman adalah sebanyak 10,000 (sepuluh ribu) line sebelum 15 Disember tahun ini. Semua pembangunan ke arah target ini sedang berjalan rancak dan tepat dalam jadual. Selepas 10,000 line ni tamat diimplementasi, seterusnya kerja-kerja akan tertumpu pada ‘harvesting’, ‘maintenance’ dan ‘promotion’. Setiap bulan Dynasty Marine Farm menerima kunjungan 50-60 orang yang datang dari merata tempat seperti Hong Kong, Kuala Lumpur, Vietnam, Brunei, Sarawak, Canada, Cambodia dan Taiwan.

Well, kadang-kadang terfikir jugak saya, 2 orang Cina yang berasal dari 2 negara (Malaysia dan Hong Kong) dapat bekerjasama dan melabur dalam ‘ladang seaweed’ seperti ini. Walaupun dalam keadaan ketidak-tentuan ekonomi dunia sekarang, diaorang tetap ‘buat duit’. Orang kita buat apa ya sekarang ni? 🙂

Kepada sesiapa yang mempunyai kelayakan minima bertaraf DIPLOMA (tak kira apa bidang pun) yang berada di sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu, Tawau, Kota Kinabalu atau dimana-mana sahaja di Malaysia yang masih menganggur dan memerlukan pekerjaan di Dynasty Marine Farm, sila hubungi saya segera kerana kami memerlukan lagi 8 orang Supervisor. Gaji? starting RM 1,200.00 sebulan. Tapi pastikan anda boleh berenang, mengendalikan jentera laut (seperti perahu, kayak, jetski dan boat) dan ada GUTS untuk tidur dan hidup di laut ala-ala filem ‘Waterworld’ yang saya sebutkan tadi. Ada berani?

Hubungi saya di 0168270972 dan hantarkan resume anda kepada adliayob@gmail.com secepat mungkin. Mungkin inilah ‘hasil’ setelah lama anda ‘menanam anggur’ secara sukarela selama ini.

Lokasi Dynasty Marine Farm adalah di Daerah Semporna, Sabah. Malaysia. Anda boleh dapatkan maklumat di http://www.dynastymf.com

November 13, 2009

Apakah Blog, Siapakah Bloggers dan Mengapa Buat Blog?

Filed under: Duniaku! — adliayob @ 7:04 pm
Tags: ,

Ini merupakan artikel lama saya di http://www.SABAHKINI.net pada 28 Januari 2009 yang lalu. Saya pernah hostkan tulisan ini di vox.com, tapi setelah ‘Blog Symbian Malaysia’ telah mendapat domainnya sendiri di http://www.symbianku.com, maka selayaknya artikel ini saya muatkan di sini.

apakah-blog

Salam Sejahtera dan Selamat Mengunjungi http://www.SABAHKINI.net

Untuk menyebabkan dunia maya (virtual-world) Malaysia akan menjadi lebih meriah, disini saya akan cuba menerangkan perkataan ‘Blog’, ‘Bloggers’, mengapa dan bagaimana untuk menciptakan ‘laman blog’ anda sendiri di internet.

Pengenalan.

Kita akan mulakan dengan membezakan terma ‘laman-web’ dan ‘laman-blog’ dahulu dan mengupas mengapa dalam 3 tahun kebelakangan ini ‘blog’ sangat mengundang kontroversi dan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kini, hampir sebuah blog diciptakan seminit pada setiap hari di Malaysia. Laman blog di negara ini kini melebihi angka 2 juta unit dan ia bertambah dari masa ke semasa.

Laman blog adalah sejenis laman web yang ditadbir secara bersendirian atau berkumpulan. Perkataan ‘blog’ berpunca dari ‘web-log’ yang bermaksud ‘menjadikan sebuah laman web seperti sebuah diari harian’. Jadi, sebenarnya sebuah blog berpaksi pada program pengaturcaraan yang sama dengan sebuah laman web iaitu HTML. Tetapi yang menariknya, anda tidak perlu mempelajari secara mendalam tentang HTML untuk mencipta sebuah laman blog. Sebagaimana laman web, blog juga boleh diterbitkan secara komersil (berbayar) atau percuma.

Berbeza dengan laman web, blog lebih bersifat interaktif dan tersusun. Sebuah laman web mungkin mengambil masa dua-tiga bulan untuk disiapkan sepenuhnya manakala membina laman blog cuma mengambil masa kurang 40 minit sahaja untuk pertama kali diterbitkan ke internet.

Satu perkara yang benar-benar membezakan antara WEB dan BLOG adalah; laman web terkandung maklumat rasmi mengenai sesuatu manakala blog lebih bersifat tidak rasmi dan santai. Selain itu, laman web bersifat ‘kaku dan tertutup’ manakala blog bersifat ‘terbuka untuk sebarang komen dan cadangan’.
Mengapa Mencipta Sebuah Blog?

Seperti sebuah diari ‘on-line’ – laman blog dicipta atas pelbagai tujuan. Diantara tujuan-tujuan penerbitan blog adalah seperti berikut:-

1. Seorang ibu mencipta blog untuk anak-anaknya menghargai kewujudannya di dunia. Didalamnya terkandung peristiwa-peristiwa, gambar dan video si anak sejak kecil hingga dewasa. Objektif si ibu tadi adalah suatu hari kelak anaknya akan membuka laman blog tadi dan mempelajari sejarah kehidupannya sendiri dan bagaimana sukarnya ibu-bapa beliau membesarkannya.

2. Seorang ahli sains mencipta blog untuk tujuan data penyelidikan hariannya. Didalam blog tersebut terkandung ujikaji (eksperimen), hipotesis, sampel, foto, video dan analisa yang ditemui oleh beliau untuk kegunaannya sendiri di masa hadapan. Adakalanya seorang saintis akan berkongsi ‘penemuan’ dengan penuntut, masyarakat dan ahli sains lain dengan cara berinteraksi di blog beliau tadi.

3. Seorang wartawan menggunakan blog sebagai arkib berita yang beliau catatkan dalam urusan hariannya. Yang menariknya apabila masyarakat membaca blog ini – kebanyakkan berita yang dikumpulkan belum pernah diterbitkan dalam mana-mana majalah dan akhbar.

4. Seorang guru / pendidik / motivator atau pakarunding (consultant) menggunakan blog sebagai medium komunikasi dan perkongsian ideanya kepada khalayak ramai. Dengan cara ini segala pengetahuannya dapat dikongsikan bersama dengan kumpulan targetnya yang tersendiri.

5. Seorang usahawan akan menggunakan blog sebagai landasan memajukan perniagaannya. Selalunya dia akan melancarkan produk sendiri di blog tadi dan menciptakan urusan perniagaan elektronik. Aktiviti ini dikenali sebagai ‘e-commerce’. Uniknya, kebanyakkan produk yang terjual di blog (internet) tidak dapat dibeli secara bebas di pasaran terbuka. Seorang pelanggan terpaksa berurusan secara ‘on-line’ dengan usahawan ini demi mendapatkan produk beliau.

6. Blog juga diciptakan sebagai landasan sosial sesuatu kumpulan. Biasanya sekumpulan wartawan (atau pemberita) berkumpul dan menerbitkan sebuah blog khusus bersandarkan objektif mereka. Blog seperti ini dikenali sebagai ‘portal-maklumat’ dimana perkataan ‘portal’ adalah lebih besar sifatnya (dan lebih banyak maklumat) dari sebuah blog persendirian.

7. Seorang jurugambar akan menerbitkan blog dengan tujuan yang pelbagai, antaranya selaku ‘resume’, ‘milestone’ (pencapaian), galeri peribadi, arkib atau tujuan komersil dengan menjual koleksi foto-fotonya kepada pihak yang berminat. Blog yang banyak foto seperti ini dikenali dengan nama PHOTOBLOG.

8. Seorang remaja mencipta blognya sendiri dengan tujuan ‘memancarkan aura kesombongan pengetahuan internetnya’ atau berkongsi hobi dengan rakan-rakan yang lain. Pujian melangit seperti ‘hebatlah kau kerana ada blog’ akan melambungkan beliau hingga ke ruang angkasa ‘Gaban’ dan terus membawa dia khayal ke alam ‘pari-pari’ yang tidak mampu kita tembusi. Mencipta sebuah blog sewaktu remaja juga akan meningkatkan ‘saham’ dan membuka peluang untuk dia lebih popular. Dengan ini bertambahlah ‘koleksi teman wanita’nya sesuai dengan gelodak pemikiran dangkal dan nafsu yang bergelora. Namun disebalik anasir-anasir sebegini, remaja tersebut tadi akan lebih bersedia untuk mencipta sebuah blog yang lebih serius kelak apabila dewasa nanti.

9. Seorang kaki wayang / kaki lagu atau dj popular akan menciptakan blog khas untuk berkongsi material peribadinya dengan orang lain. Blog video kini dikenali sebagai VLOG (Video-Blog), blog lagu dikenali sebagai (MP3-Blog) manakala blog siaran radio tersendiri dikenali sebagai PODCASTING.

Dan tujuan akhir sebuah blog diciptakan di internet adalah:

10. Untuk menyebarkan ideologi, pandangan, cetusan rasa dan teori samada positif atau negatif berdasarkan sesuatu tujuan (atau objektif) yang jelas. Blog seperti ini banyak dibangunkan oleh aktivis masyarakat, golongan prihatin, oportunis, ahli politik dan golongan ‘think-tanker’ yang mengadun maklumat dengan rapi, tersusun dan teliti sehingga berjaya memperdaya fikiran atau mengubah pola-pemikiran sesuatu kelompok kecil atau segenap lapisan masyarakat secara menyeluruh.

Jika diperhatikan, aktiviti penulisan blog akan membangunkan, mengaktifkan dan mencetuskan sifat ‘journalism’ yang selama ini tersemat rapi dalam diri seorang manusia. Mungkin selama ini terlalu banyak idea atau cadangan yang memberatkan kepala berjaya diterjemahkan dalam bentuk teks, gambar, video dan dokumen yang sangat berharga.

Dengan ini terpulanglah kepada anda untuk memikirkan sebab tersendiri untuk membangunkan blog di internet.
Apa Pula Bloggers?

Apabila anda telah menerbitkan sebuah blog di internet, secara automatik dan tanpa anda sedari anda sudah dikenali sebagai seorang BLOGGER. Apabila menjadi seorang blogger, anda bebas untuk mengutarakan pandangan sendiri tanpa sebarang sekatan. Begitu juga – anda akan mula menerima komen-komen positif atau negatif yang mula masuk ke sebarang ‘artikel’ yang anda terbitkan. Komen-komen ini datang dari pengunjung-pengunjung blog anda.

Seperti sebatang pokok yang anda tanam, sebuah blog akan membesar, bercambah dan memutikkan buah-buahan segar hanya apabila ada usaha untuk ‘membajai’, mengurus dan mencantas ranting-ranting yang rosak. Sebuah blog yang tercipta mestilah di’bajai’ dengan penulisan artikel (yang dikenali sebagai POSTING), mengatur strategi promosi dengan memperkenalkan URL (alamat blog) kepada rakan-rakan dan keluarga, membina pautan kepada lain-lain blog (perkara ini dinamakan BLOGROLL), mengubah rekabentuk blog (dikenali sebagai ‘Blog Template atau Design’), menambah WIDGET di sekeliling laman dan menganalisa statistik pengunjung. Selain itu, anda juga bertanggungjawab terhadap sebarang artikel yang dikirim dan berusahalah sebaik mungkin untuk menjawab komen dan email dari pengunjung anda.

Apabila anda menjadi seorang blogger – perkataan BLOG sudah bermaksud: ‘Menambah atau mengurus artikel, komentar, blogroll, widget atau lain-lain aktiviti yang berkait langsung dengan blog anda’.

Contoh ayat: “Janganlah kau ‘block’ jalan aku dengan basikalmu itu kerana aku ingin cepat-cepat ke warung cewek hujung jalan sana untuk menyambung WiFi. Aku belum BLOG lagi sejak pagi tadi”.

Satu perkara yang merimaskan BLOGGER ialah – kurangnya lawatan pengunjung ke blog anda dari sehari ke sehari seperti dicatatkan pada ‘hits counter’!

Setakat ini, blogger yang terlalu cepat popular dan mendapat HITS tertinggi hanya dalam 8 bulan pertama adalah mantan Perdana Menteri Malaysia, Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Bin Mohammed. Blog beliau mencatatkan HITS lebih 12 juta pengunjung sejak mula diperkenalkan pada Mei, 2008.
Bagaimana Mencipta Sebuah Blog?

Terdapat 5 pelantar (platform) penyedia paling popular yang menawarkan blog percuma di internet iaitu:

1. BLOGSPOT – www.blogger.com
2. WORDPRESS – www.wordpress.com
3. LIVEJOURNAL – www.livejournal.com
4. VOX – www.vox.com
5. XANGA – www.xanga.com

Selain dari tiga pelantar yang disebutkan, ada banyak lagi syarikat yang menyediakan khidmat laman blog di internet. Anda boleh mencari penyedia-penyedia blog percuma seperti ini dengan memasukkan KEYWORD ‘free blog account’ pada enjin carian GOOGLE atau YAHOO.

Anda akan mengikuti beberapa langkah mudah untuk mendaftar blog dan setelah semuanya selesai, URL (atau alamat blog) akan diberikan kepada anda. Contohnya, saya menggunakan khidmat WORDPRESS untuk blog saya dan URL-nya adalah di https://adliayob.wordpress.com

Tuan presiden Persatuan Blogger Sabah, En. Mutalib ‘Taliban’ M.D mendaftar dengan BLOGGER dan telah mendapatkan URL peribadi beliau iaitu http://mutalibmd.blogspot.com

Setelah selesai proses pendaftaran dan mendapatkan URL – kini anda boleh terus menulis KIRIMAN (posting) artikel anda yang pertama!
Persediaan Untuk Mendaftar Blog.

Berikut merupakan persediaan anda sebelum mendaftar blog:

  1. Perlu ada email sendiri yang AKTIF dan BOLEH DICAPAI oleh penyedia blog.
  2. Sedikit pengetahuan tentang INTERNET, pengaturcaraan HTML dan ilmu pengolahan media (grafik, dokumen, video dan audio). Jangan terlalu risau tentang HTML kerana Dr. Mahathir pun bukan seorang ‘webmaster’.
  3. Kebolehan menulis mengikut bahasa yang anda selesa. JANGAN pilih Bahasa Inggeris jika anda belum benar-benar menguasai bahasa ini. Jika anda pilih juga – ia akan merendahkan martabat atau nilai harga diri anda. Sentiasa ingat – sebuah blog di internet akan dilawati oleh sebarang pengunjung dari setiap pelusuk dunia!
  4. Mempunyai ‘bahan’ yang sesuai untuk dimuatkan pada blog. Adakalanya orang membuat blog tetapi tiada ‘isi’ atau ‘bahan’ yang ingin dipersembahkan. Ini membosankan pengunjung.

Persediaan lain dari segi material:

  1. Sebuah komputer peribadi atau laptop atau netbook.
  2. Capaian data yang berkelajuan tinggi. Biasanya BROADBAND (samada Streamyx atau ‘data-card’ Maxis/Digi/Celcom). Jika tiada, singgahlah mana-mana restoran atau rumah jiran yang memberikan khidmat WiFi percuma. Zaman sekarang bukan susah untuk menikmati secawan teh-tarik bersama sebuah laptop di restoran atau warong-warong WiFi.
  3. Sebuah telefon bimbit yang agak canggih dengan lensa kamera 3.2 Megapixel. Ini penting untuk maklumat terkini, SMS, MMS dan perkongsian media dengan teknologi BLUETOOH. Dicadangkan untuk anda memiliki sebuah telefon SYMBIAN. Ini kerana telefon SYMBIAN dapat berfungsi dengan baik sehingga mampu menggantikan laptop anda diwaktu kecemasan. Jika telefon anda dilengkapkan dengan teknologi WiFi – ia lebih bagus!. Jika tidak tahu apa itu Symbian – sila masuk ke blog saya di https://adliayob.wordpress.com
  4. Sebuah kamera digital. Ia sangat penting untuk merakam gambar.
  5. Aksesori lain seperti perakam suara mini ala James Bond dan ‘videocam’ yang baik untuk merakam video.
  6. External Hard-Disk atau USB Disk (ada yang panggil ThumDrive, PenDrive dan HandyDrive) untuk kemudahan perkongsian maklumat dengan lain-lain blogger. Apabila lebih 2 orang blogger berkumpul – mereka dikenali sebagai BLOGGERS. Dan apabila mereka berkumpul di Kota Kinabalu dalam jumlah yang ramai – mereka dikenali sebagai Persatuan Bloggers Sabah!

Kesimpulan

Kesimpulannya, mencipta blog di internet bukanlah sesusah yang disangka oleh sesetengah pihak. Apa yang penting bagi anda adalah ‘bahan’ dan ‘tema’ khusus untuk blog yang telah anda ciptakan. Tema blog adalah SANGAT PENTING untuk menjadikan blog anda unik dan berketerampilan. Rancanglah dengan pelbagai artikel mengikut 2 cara iaitu KIRIMAN SPONTAN dan KIRIMAN BERKALA. Kiriman spontan adalah artikel yang dimuatkan apabila ‘mood’ anda datang secara tidak sengaja manakala kiriman berkala adalah artikel yang anda telah rancang dengan rapi sebelum dimuatkan pada blog. Tulislah dari hati dan ikutkanlah sahaja gerak tarian jari-jemari di papan kekunci.

Berbeza dengan laman web – Blog lebih bersifat intim, sensitif, bebas dan berperasaan. Janganlah mengirim artikel yang sekadar ‘CUT-AND-PASTE’ sahaja dari sumber lain. Uruskanlah blog dengan sebijak mungkin. Sesungguhnya pengunjung tidak suka masuk ke sebuah laman blog yang caca-marba, tidak tersusun dan tanpa tema yang spesifik. Dan jika anda berasal dari Sabah dan benar-benar serius dalam penulisan blog – maka BERDAFTARLAH dengan kami sebagai AHLI PBS (Persatuan Bloggers Sabah).

Akhir sekali, hayatilah kata-kata ini dari saya (adliayob) “Jangan takut digigit tikus (mouse) kalau mahu meneroka peluang di ruang cyber-internet!”. Sesungguhnya internet telah mengubah nasib beribu-ribu insan di dunia menjadi lebih baik dan bertamaddun.

Selamat mencipta sebuah blog yang mengkagumkan!

November 1, 2009

SymbianKu Kini Melebihi 10 Ribu Pengunjung Sebulan!

Filed under: Cakap-Cakap Symbian — adliayob @ 5:10 pm
Tags:

symbianku-stats

5 Mei 2009 merupakan tarikh penting buat blog ini kerana dengan rasminya telah berpindah ke DOMAIN sendiri iaitu www.symbianku.com. Perkara pertama yang menjadi masalah kepada perpindahan ini ialah – kebanyakkan pengunjung masih lagi tetap mengunjungi blog lama ini.

Untuk 2 bulan pertama iaitu Mei dan Jun 2009, nampaknya SymbianKu masih lagi terkapai-kapai mencari pengaruh di alam cyber ini. Hits blog lama (blog ini) sebanyak 4800+ sebulan tidak dapat dicabar oleh domain yang baru.

Namun segala-galanya telah berubah SEMALAM (31/10/2009) kerana SymbianKu telah mencatatkan kemasukkan pengunjung melebihi 10,000 (sepuluh ribu) hits sebulan! Satu pencapaian yang tidak saya duga untuk sebuah domain yang baru!

Blog Symbian Malaysia juga telah melangkah ke satu aras yang lebih tinggi dengan memperkenalkan ‘pertandingan’ untuk semua pengunjung. Pertandingan tersebut (Menangi FExplorer Pro v2.00) telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan setakat ini kami sudah mendapat 2 pemenang. Ya… tinggal SATU tempat sahaja lagi kerana syarikat pengeluar FExplorer Pro iaitu SBSH.net menyediakan 3 hadiah.

Kebanyakkan pengunjung telah cuba memasuki pertandingan ini, namun terkandas pada SOALAN NO.3 yang agak ‘tricky’ dan memerlukan mereka untuk ‘search’ artikel-artikel lama di SymbianKu.com.

Sesungguhnya dengan capaian hits sebanyak 10 ribu pengunjung ini memberikan semangat baru untuk saya menulis dengan lebih serius lagi dan berkongsikan ilmu Symbian kepada anda semua. Terima kasih!

Laman Berikutnya »

Create a free website or blog at WordPress.com.