Semalam saya dapat panggilan dari seorang rakan lama. Tidak sangka pula beliau mengikuti blog ini. Rakan saya ini seorang pengaturcara komputer yang bertugas di sebuah syarikat IT di Technology Park, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Beliau menyarankan saya supaya meluaskan topik blog kepada Sistem Operasi Windows Mobile pula. Katanya, jika lebih banyak OS disentuh, maka ramailah lagi pengunjung blog ini. Untuk tidak membuang masa, saya terus ‘search’ internet mencari keyword ‘Blog Windows Mobile Malaysia’ dan tepat seperti katanya, memang belum ada lagi satu blog pun yg mengupas topik ini.
Rakan saya ini menuduh saya pilih bulu, berat sebelah dan pentingkan diri sendiri. Ini disebabkan kiriman saya tentang 10 freeware UIQ3 sedangkan dia menggunakan Nokia E66 platform S60. Satu lagi telefonnya ialah HTC Touch. Ini menyebabkan tulisan saya tidak relevan pada dirinya. Memang berat sekali tuduhannya ini. Kalu saya ada duit, mahu saja saya bawa kes ini ke mahkamah.
Setelah mengambil nafas, saya sambung kembali perbualan di telefon. Beliau meminta sangat tips yang sama untuk platform S60 3rd Edition. Tambahnya lagi, gara-gara blog saya inilah yang menyebabkan dia membeli Nokia E66 pada minggu lepas. Ini sebenarnya satu helah untuk mengajak saya turun ke Kuala Lumpur dan ‘menginstall’ perisian pada telefonnya! Saya tidak mudah terkena tipu daya seperti itu!
Tetapi, demi rakan saya dan anda semua yang saban hari menjadi tetamu pada Blog Symbian Malaysia, berikut merupakan 15 freeware untuk S60 3rd Edition.
1. Y-Browser
Bagaimana untuk ‘browse’ segala kandungan dalam telefon dan kad memori seperti ‘My-Computer Windows XP’ pada Nokia N81 saya? Bagaimana saya memindah ‘barang’ yang ada dalam ‘inbox’ kepada kad memori? Bagaimana mengetahui status telefon dan kad memori? Bagaimana untuk saya mencipta folder baru atau memindah kandungan dari kad memori kepada telefon lain? Semua persoalan ini terjawab jika anda memasang Y-BROWSER pada S60-3rd anda. Kerana semua keunikan yang ada padanya, saya meletakkannya selaku nombor satu dalam senarai ini!
2. Opera Mini
Secara default (automatic), setelah kita membeli sebuah telefon S60-3rd, pelayar ‘default web’ akan berfungsi sebagai ‘Web Browser’nya. Namun selalunya kita tidak merasa puas kerana ia tidak setanding dengan ‘IE & Firefox’ komputer atau laptop kita. Kini masalah ini selesai! Memperkenalkan OPERA MINI untuk S60-3rd. Satu ‘Web Browser’ yang sangat baik, laju, selesa dan yang paling penting menawarkan pengalaman web setanding laptop. Setiap laman web akan dibuka mengikut ukuran sebenar dan pengguna boleh ‘zoom-in’ untuk pembacaan yang lebih jelas walaupun skrin anda hanya sebesar 2.4 inci. Selain itu, dengan Opera Mini pengguna boleh ‘download’ sebarang data dan juga ‘log-in’ ke sebarang web yang memerlukan ‘user-name’ dan ‘password’.
3. Google Maps
Biasa dengan Google Earth pada komputer anda? Ingin menyaksikan peta jalanraya untuk mencari alternatif bagi mengelak kesesakan atau lari dari polis? Ingin mencuba GPS yang tersedia pada telefon anda? atau hanya sekadar menikmati WiFi sambil berlagak sombong dengan UIQ3 mencari gambar satelit dan kemudiannya menayangkan kepada awek (cewek) di sebelah tempat duduk dan seterusnya dia mengagumi anda dan berkata ‘Wow! hebatlah U!’? Semua aktiviti yang disebutkan di atas dapat anda laksanakan dengan GOOGLE MAPS untuk S60-3rd. Sesiapa sahaja yang saya demonstrasikan perisian ini akan berasa kagum kerana kita seolah-olah mengawal satelit dari telefon bimbit. Yang paling menarik ialah perisian ini percuma!
4. WorldMate
Anda adalah seorang yang sangat berjaya! Dalam seminggu hidup anda berada diawan biru. Isnin di Kuala Lumpur, Rabu di Jakarta dan Jumaat di Manila. Pada malam Ahad anda berada di Singapura berbincang tentang bisnes bersama klien-klien anda. Masalah anda ialah: Bagaimana saya ingin mendapatkan nilai semasa tukaran mata wang? Apakah perbezaan zon waktu nyata Kuala Lumpur dan Jakarta? Berapakah nilai tukaran 100 Hektar kepada Ekar? (kerana ladang sawit anda berada di seluruh Nusantara) atau berapakah saiz kasut mengikut ukuran USA? Semua ini akan terjawab jika anda memasukkan perisian WORLDMATE ke dalam telefon S60-3rd anda.
5. Anfy Callfilter
Anfy Callfilter mampu menjadi sahabat setia untuk menapis segala sms, mms dan panggilan telefon yang mengganggu keamanan anda. Perisian ini sangat sesuai digunakan oleh golongan selebriti, karyawan, ahli politik atau sesiapa sahaja yang mahu lari dari panggilan Ah-Long! Jika sesiapa sahaja yang menelefon, talian anda tetap berada diluar kawasan!
6. DIVX Player
Hampir semua orang mahu berkongsi video ‘SmartMovie’nya kepada anda. Malangnya setelah dihantar melalui Bluetooth, video tersebut tidak dapat dimainkan. Begitu juga dengan fail-fail video avi dan divx yang terdapat dalam komputer anda. Semuanya tidak dapat dimainkan apabila dipindah ke telefon S60-3rd anda. Saat ini anda memerlukan DIVX Player. DIVX player dapat memainkan fail video XVID, DIVX, SmartMovie dan AVI pada telefon anda. Satu perisian yang sangat diperlukan tatkala video yang berwarna-warni itu berjaya dipindahkan ke telefon anda!
7. Mobipocket Reader (MobiReader)
Perisian ini bertindak sebagai ‘ebook-reader’ yang sangat efektif sekali. Ia mampu membaca format PDB, PRC, HTM, HTML atau lain-lain format e-book. Dengan terdapat lebih 100 tajuk e-book percuma di internet, kini anda boleh ‘download’ dan terus membacanya di telefon untuk membunuh waktu perjalanan KTM komuter dari Rawang ke Seremban. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk cuma sekadar memenuhi pesan guru sekolah anda yang sentiasa bising mengingatkan supaya rajin membaca. Maka BACALAH dengan nama tuhanmu yang maha mencipta!
8. Calcium
Ini adalah sebuah kalkulator. Tiada yang istimewa, cuma kalkulator biasa. Apa? anda kata memang sudah tersedia kalkulator pada S60-3rd? Ya, memang benar, tetapi untuk kira-kira mudah seperti 2/3 x 7 memerlukan 13 kali tekan (13 clicks). Dengan CALCIUM operasi ini boleh dilaksanakan hanya dengan 6 kali tekan sahaja! (6 clicks). Satu perisian wajib yang perlu ada dalam setiap S60-3rd.
9. WWIGO
Pernah menggunakan webcam pada laptop anda? Pernah mengalamai masalah untuk mengalihkan webcam anda ke lain-lain tempat demi mencari shot tercantik namun kabel sentiasa mengganggu usaha anda? Pernah mencari webcam disaat memerlukan namun pengusaha cybercafe tidak menyediakannya? Atau webcam yang tersedia pada laptop tiba-tiba rosak tatkala anda sedang me’Yahoo-Messenger’ awek anda? Jika ya, anda memerlukan bantuan. Memperkenalkan WWIGO – sebuah perisian yang menjadikan kamera pada telefon anda berfungsi sebagai webcam untuk komputer. WWIGO menyambungkan telefon dengan komputer melalui Bluetooth sahaja. Satu perisian penting untuk masa kini kerana kebanyakkan orang membawa telefon ke hulu – ke hilir dan tidak pernah lagi ada orang yang berbuat begitu terhadap webcam. Perisian ini datang dengan ‘installer’ untuk S60-3rd dan komputer Windows XP.
10. Pocket Quran
Malam ini malam Jumaat dan anda tergolong dalam kumpulan orang soleh. Anda pergi ke Masjid untuk sembahyang maghrib dan kemudiannya ada majlis membaca Yaasin. Malangnya, oleh sebab terlalu ramai jemaah, buku yaasin yang dibekalkan tidak mencukupi. Apa yang ada ditangan anda hanyalah sebuah telefon S60 dan secara lahiriah, anda bukan seorang penghafal Yaasin. Apa yang anda akan buat ketika itu? Senang sahaja. Keluarkan telefon, masuk menu dan klik POCKET QURAN, seterusnya mula membaca surah Yaasin dari telefon anda! Jika nasib anda baik pada malam itu, jemaah lain yang berada disisi akan memuji telefon anda, jika nasib tidak baik, anda akan dituduh riak kerana jemaah lain akan berkata dalam hati ‘Aku tahulah kau hafal Yaasin, tapi tak payahlah berlagak sombong baca yaasin sambil baca sms sekali gus!’
11. Youtube Mobile
Anda memang penggemar Youtube. Suatu hari sedang anda menikmati makanan di sebuah restoran yang ada kemudahan WiFi, rakan kongsi bisnes anda mengirim sms dan menyuruh anda supaya masuk ke youtube sekarang untuk melihat klip terbaru kejadian rompakan bank yang telah anda lakukan baru-baru ini. Memang anda terkejut tentang berita ini! Bagaimana boleh ada orang berjaya merakam aktiviti anda dan menyiarkannya ke youtube tanpa anda meraih sebarang royalti? Yang ada di poket anda buat masa ini hanyalah Nokia N95 dan anda betul-betul mahu melihat klip tersebut. Jangan risau! Kini anda boleh melihat semua klip youtube tersebut dengan memasang YOUTUBE MOBILE untuk S60-3rd.
12. TimeBar
Satu masalah kepada pengguna S60-3rd adalah JAM. Memang benar, jam terpapar di ‘standby-screen’ telefon anda, tetapi sebaik anda memulakan perisian yang lain, maka jam tidak akan kelihatan. Selalunya, anda terpaksa keluar dari perisian tersebut dan kembali ke ‘standby-screen’ hanya untuk melihat waktu. Dengan TIMEBAR masalah ini selesai. TimeBar akan memaparkan jam kecil di mana-mana kawasan skrin yang anda kehendaki dan ia sentiasa wujud pada mana-mana perisian. Selain itu, TimeBar juga boleh membunyikan ‘nada waktu’ apabila jam menunjukkan masa 60 minit. Satu perisian yang kecil tetapi sangat bernilai bagi mereka yang menghargai waktu kerana demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian!
13. EQO
Perisian ‘internet-messenger’ yang boleh disambung pada akaun Yahoo Messenger, ICQ, MSN, G-Talk dan Skype. EQO sangat baik dalam integrasi akaun ‘IM’ dan bakal melonjakkan prestasi perniagaan Internet, Direct-Selling dan MLM anda!
14. Symella dan PeerBox
Adakah anda biasa dengan P2P? Adakah anda mempunyai unlimited-account mobile-broadband? Adakah telefon anda dilengkapi dengan kemudahan WiFi, EDGE, 3G malah 3.5G hingga kadar 7.2 Mbps? Adakah anda menjalankan perusahaan ‘download Mp3 – kemudian cipta CD dan menjual kepada rakan-rakan sepejabat’? Adakah rakan-rakan anda menempah cerita wayang terbaru dari anda tanpa mengetahui anda menempah maut jika ditangkap oleh pihak berkuasa? Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, anda perlu cekap, licik dan berwawasan! Telefon anda perlukan perisian ‘P2P Sharing’ SYMELLA dan PEERBOX untuk S60-3rd. Berkuasa sehebat Bear Share, ARES, Limewire, Morpheus dan lain-lain, kini kuasa ‘ciplak-curi-dan-layan’ berada di dalam genggaman anda!
15. GDesk
Ingin menukarkan rupa bentuk skrin telefon S60-3rd kepada Windows Vista? Atau sememangnya anda seorang yang misteri kerana setiap hari menukar ‘theme’ telefon hanya untuk meraih perhatian orang lain terhadap anda atau sekadar ‘minta-puji’? Kini anda tidak perlu bersusah payah menukar themes atau mengupah orang lain untuk memastikan yang skrin N82 anda berubah bentuk dan tidak lagi sama dengan N82 musuh anda di pejabat. Masukkan sahaja GDESK ke telefon anda dan semua orang akan bertanya… ‘telefon kau ni pakai Windows ya?’
Demikianlah tadi 15 perisian percuma mengikut pilihan saya yang sangat penting untuk S60-3rd. Selain dari 15 perisian yang dinyatakan, ada lagi perisian lain seperti:-
- Screenshot (Untuk menangkap skrin pada S60-3rd)
- Fring (Social Networking Software & VOIP Telephone – Sama seperti Yahoo Messenger)
- JBak Taskman (Task Manager)
- Autolock (Untuk setkan ‘keypad-lock’ secara automatik)
- CClock (Screensaver yang memaparkan jam besar)
- Nokia Internet Radio Beta (Mendengar stesen radio dengan Internet)
- Message Mirror Lite (Untuk ‘backup’ mesej sms)
- Reboot/ EQ Reboot (Untuk ‘restart’ telefon S60-3rd)
- Google Search (Perisian Google pada S60-3rd)
- Zip Manager/ Mobile RAR (sama seperti WinZIP/WinRAR pada komputer)
- Azan/ Islamic Organiser (perisian waktu sembahyang)
- FE-Explorer/ ActiveFile (Sama seperti Y-Browser)
- T9Nav Beta (Perisian pencari sebarang maklumat dan nombor telefon)
Mungkin anda juga mempunyai pandangan sendiri mengenai perisian percuma S60-3rd. Sila utarakan sebarang komen, pandangan atau tanggapan anda disini untuk sama-sama berkongsi dengan pengguna yang lain.
saya ada satu soalan, macam mana nak hilangkan bunyi yang ada pada camera. untuk E71
Komen oleh Hairi — November 4, 2008 @ 10:27 am |
harap dapat reply segera soalan saya
Komen oleh Hairi — November 5, 2008 @ 9:30 am |
salam saudara,
dimana sy boleh memuat turun perisian ini?
Komen oleh sham — Februari 3, 2009 @ 2:29 pm |
Sdra SHAM,
Anda boleh pindah-turun semua perisian yang dinyatakan dengan KLIK pautan BLOGROLL sebelah KANAN blog ini.
Komen oleh adliayob — Februari 3, 2009 @ 3:39 pm |
Sya ada bnyk juga prisian 3rd,tp trial..,sya sokong sngt2 usha en siarkan tntg prisian hp..,rmai pguna xthu..,sya nk tnya mcmna nk beli prisian yg kita nk?
Komen oleh Amy — Oktober 22, 2009 @ 12:14 pm |
@Amy
Kalau anda mahu membeli perisian asli untuk Symbian, dapatkannya dari handango.com, my-symbian.com atau laman web rasmi sesebuah perisian misalnya asgatechshop.com untuk Quran Version 3.
Sila ke http://www.symbianku.com yang merupakan Laman Rasmi Blog Symbian Malaysia. Blog ini sudah lama ditutup. Di Symbianku saya percaya anda akan lebih seronok lagi sebagaimana saya turut berseronok untuk menciptanya.
Komen oleh adliayob — Oktober 22, 2009 @ 9:15 pm |