Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

Mei 8, 2008

Sambungan Topik #002

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 9:47 am
Tags: , , , ,

Selamat Datang ke Laman BLOG ‘The Malaysian Symbian Opinion’. Satu blog yang memaparkan pandangan dan pengetahuan khusus untuk Sistem Operasi (OS) Symbian – S60 dan UIQ. Disini anda akan dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang teknologi SYMBIAN yang dipasang ke telefon-telefon terpilih berjenama NOKIA, SONY ERICSSON, SAMSUNG, MOTOROLA dan LG.

telefon symbian saya

Rabu – 7Mei 2008

Apakah Symbian? (Sambungan)

Seperti yang telah kita ketahui, Symbian tergolong dalam OS – ini bermakna ia berada dalam satu kelas dengan Windows XP, Windows Vista, Linux dan Mac OS.

(Mengikut pandangan saya), komputer terdiri daripada 3 kumpulan besar iaitu:

1) Mainframe / Server

2) PC dan Laptop (Personal Computer / Micro Computer)

3) PDA dan Smartphone

Setiap kumpulan ini beroperasi dengan Operating System yang berlainan. Grafik dibawah memperincikannya. Komputer dikategorikan mengikut saiz, keperluan mesin dan fungsi. Dengan itu adalah tidak logik sama sekali jika kita memasang perisian Windows XP pada mesin ATM bank atau memasang UNIX kepada PDA.

OS

PDA dan Smartphone.

PDA (Personal Digital Asistant) dahulunya dikenali sebagai Palmtop Computer. Ianya merupakan komputer terkecil semuat telapak tangan. PDA berfungsi sebagai diari harian, penyimpan fail dokumen (termasuk memapar dan meng’edit’), pemain fail media (muzik, audio, video) dan juga sebagai buku memo. PDA dilengkapi dengan teknologi ‘Touch-Screen’ agar kemasukkan input dilaksanakan dengan lancar oleh pengguna. Satu ketika dahulu PDA tidak mempunyai fungsi telofon.

Telefon bimbit adalah alat yang dimajukan hasil imaginasi manusia yang mahukan perkhidmatan telefon dimana-mana. Tidak perlu diceritakan mengenai handphone kerana ia sudah menjadi kebiasaan pada kita hari ini. Saya ingat lagi, pada awal tahun 90-an, betapa ‘sakai’nya saya memegang dan membuat ‘call’ menggunakan NEC PRIMERO BX abah saya dan dengan sombongnya menunjuk-nunjuk cara pengunaannya kepada rakan-rakan. Realitinya, pada hari ini telefon sebesar itu menjadi bahan gurauan dan layak untuk ‘membaling anjing’ sahaja. Kemudian, timbul pula kemahuan agar fungsi PDA disatukan dengan handphone. Maka lahirlah SMARTPHONE yang berfungsi lebih daripada sekadar telefon!

Berbalik kepada telefon bimbit, pada hari ini terdapat 3 kategori telefon bimbit:

  1. Handphone ASAS seperti Nokia 3310. Mempunyai fungsi SMS, jam loceng, skrin hitam-putih / hitam-hijau/ warna, tidak ada infrared atau bluetooth dan tidak menyokong kad memori.
  2. Handphone MULTIMEDIA seperti Nokia 6280, 6500 Slide, SonyEricsson K850i, LG Viewty, Samsung D900 dan lain-lain. Mampu menghantar MMS, melayari WAP/ internet, tersedia bluetooth dan infrared, Memainkan fail MP3 / muzik/ video, Fungsi radio, Perakam suara, Menukar ‘theme’, Membaca dokumen PDF/ word/ excel, Mempunyai kamera digital, Menyokong kad memori dan menyokong perisian JAVA.
  3. SMARTPHONE.

SMARTPHONE mempunyai semua fungsi telefon multimedia. Lebih dari itu, smartphone juga mempunyai fungsi PDA dan mampu menambah fungsi dengan memasukkan perisian ‘third-party’ yang mudah didapati seperti Kamus Inggeris-Melayu, Smartmovie, Anti-virus, Pocket Quran, Infrared Remote Control, Call Recorder dan lain-lain. Ini kerana smartphone mempunyai Operating System dan seperti sebuah komputer – ia boleh ditambah perisian, games, theme, file manager, tukar fonts, print menggunakan printer, mempunyai RAM dan ROM, drive C:\ dan lain-lain. Seperti komputer juga, ia terdedah kepada serangan VIRUS dan pengguna perlu install anti-virus sebaik membuat pembelian smartphone.

Mengikut urutan dan populariti, Symbian merupakan OS NOMBOR SATU smartphone dan diikuti rapat oleh Windows Mobile, Palm dan Linux.

Versi keluaran Symbian.

Symbian yang awal adalah Symbian 5.0 (Epoc Release 5), kemudian dipermajukan menjadi Symbian 6.0, Symbian 7.0/ 7.0s, Symbian 8.0/ 8.1. Versi terkini untuk pasaran telefon semasa Symbian adalah 9.1/ 9.2. Manakala versi 9.3 dan 9.5 bakal muncul pada pertengahan tahun ini atau awal tahun hadapan.

Platform Symbian.

Telefon Symbian 6.0/7.0/8.0 dan 8.1 menggunakan platform yang berbeza-beza. Platform ini wujud untuk menunjukkan kebolehan symbian yang mampu diadaptasi kepada pelbagai jenis saiz dan fungsi telefon. Platform tersebut adalah Series 60, Series 80, Series 90, UIQ dan MOAP.

Dengan kehadiran Symbian 9.1/9.2 – kini platform tersebut terbahagi kepada 3 sahaja iaitu S60, UIQ dan MOAP.

S60 (sebelum ini dikenali dengan Series 60) dipelopori oleh Nokia, Sendo, Siemens, Panasonic, Lenovo, Samsung dan LG. Sendo kemudiannya dibeli oleh Motorola, Siemens dibeli oleh BenQ, Panasonic tidak lagi berminat dengan S60 dan menumpukan MOAP manakala Lenovo masih lagi misteri. Ini menyebabkan, bermula tahun 2007, hanya Nokia, Samsung dan LG sahaja menggunapakai platform S60 hingga kini. S60 menggunakan keypad atau keyboard untuk proses kemasukan input.

UIQ dipelopori oleh SonyEricsson, Motorola, Arima dan BenQ. Nokia pernah mengeluarkan satu-satunya model UIQ iaitu Nokia 6708 (dengan menukar logo, jenama dan model telefon BenQ P31). UIQ3 dikomersialkan pada tahun 2007 dan sehingga kini, hanya 2 pengeluar memasarkan model-model mereka iaitu SonyEricsson dan Motorola. Ini kerana unit UIQ pada syarikat Symbian telah dibeli dan kemudiannya menjadi syarikat berasingan dan pemegang saham UIQ Technology adalah SonyEricsson dan Motorola. UIQ menggunakan touch-screen, keyboard atau keypad untuk proses kemasukan input.

MOAP (Mobile Oriented Application Platform) dipelopori oleh Fujitsu, Mitsubishi, Panasonic, Sharp, NTT Docomo dan SonyEricsson. Berbeza dengan platform yang lain, telefon Symbian-MOAP dikeluarkan ke pasaran dengan jenama FOMA dan hanya dijual di Jepun. Platform MOAP tidak membenarkan ‘third-party software’ dimasukkan oleh pengguna, sebaliknya pihak penyedia perhidmatan talian (telco) perlu bekerjasama dengan NTT Docomo untuk membangun dan melengkapkan perisian MOAP. Dengan itu, pengguna boleh terus berhubung dengan telco untuk ‘upgrade’ perisian MOAP. MOAP telah menjadi ‘test-bed’ kepada pembangunan Symbian sehingga hari ini dimana setiap aplikasi tertentu dicuba pada MOAP sebelum ia dipindahkan kepada S60 dan UIQ.

Symbian-platform

Di Malaysia, hanya telefon Symbian S60 dan UIQ sahaja yang dijual di pasaran. Model pertama Symbian iaitu Ericsson R380 pernah saya lihat disebuah pameran dan persidangan Multimedia Asia (dan komunikasi) di The Mines, Sungai Besi dalam tahun 2000. Kemudian pada awal tahun 2002 Nokia 7650 dan Nokia Communicator 9210 telah dijual di Malaysia. Tahun 2003 menyaksikan Nokia 3650, 3660 dan SonyEricsson P800 dijual dan pada April 2005 – Nokia 3230 telah menjadi telefon Symbian saya yang pertama!

Siemens SX1 dijual pada tahun 2004, Panasonic X700 dan Samsung D720 tahun 2005. Motorola A1000 pula pada akhir tahun 2005. Telefon sulong LG Symbian iaitu KS10 (atau LG JOY) tidak pernah dijual di Malaysia. Begitu juga dengan model Samsung D730, Nokia N92, Sendo X dan Motorola RIZR Z8. Selain itu banyak lagi model yang tidak pernah dijual di negara kita. Alasan pengeluar ialah – ‘Market’ Malaysia masih belum bersedia untuk menerima Symbian secara total. Sebenarnya bagi saya, ‘statement’ ini memalukan kita semua. Ini juga mencerminkan yang warga Malaysia tidak ambil peduli atau memahami teknologi telefon bimbit.

Saya ingat lagi pada tahun 2006, ada rakan yang memperli saya kerana membeli Panasonic X800. Telefon ini saya hadiahkan kepada isteri saya sempena harijadinya. Kata rakan – apa guna kau gempar-gempur pasal Symbian sedangkan kau tidakpun membelikan Nokia kepada isterimu! Kemudian, rakan tersebut membelek-belek juga Panasonic X800 tersebut. 10 minit berlalu, dia bertanya… macamana kau masukkan sistem Nokia dalam Panasonic ni?

Saya pernah cuba menerangkan mengenai Symbian kepada beliau. Dan pada hari itu, saya terpaksa ‘explain’ sekali lagi – dengan bukti! Rupa-rupanya beliau masih tidak faham sewaktu saya ‘explain’ kali pertama. Dulu tu, dia mengangguk juga. Biasalah, orang kita ni ‘sombong-bodoh’. Sepatutnya kalau tak faham, tanyalah. Jangan buat-buat faham sambil mengeluarkan perkataan ‘Oooo’ panjang-panjang sedangkan sebenarnya tak faham.

Saya demonstrasikan kedua-dua Nokia 3230 dan Panasonic X800, buka menu – buat message – ‘run’ permainan SkyForce dan software SmartMovie. Buka ‘about’ dan bacakan ‘This product includes software licensed from Symbian Ltd’ kepada beliau. Akhirnya… barulah beliau benar-benar faham mengenai Operating System! Itu tak masuk lagi saya ‘demo’kan dua laptop (Acer dan Compaq) yang sama-sama menggunakan Windows XP sebagai OS.

Setakat hari ini saya ada 4 telefon Symbian. Nokia 3230, Panasonic X800, Samsung i450 dan SonyEricsson W960. Saya menggunakan 2 iaitu 3230 dan W960 manakala isteri menggunakan i450 dan X800. Isteri saya ganjil sikit – dia suka Symbian tetapi tidak pernah suka Nokia! Telefon W960 ini mengubah sejarah hidup saya apabila saya berhijrah dari platform S60 kepada UIQ!

Saya menjadi ahli kepada Malaysian Symbian User Group (www.i-symbian.com) pada tahun 2005. Sehingga hari ini, semua rakan karib, saudara-mara, sepupu dan adik-beradik saya (dan isteri) bertukar menggunakan Symbian. Malahan jika diberikan sebuah telefon Multimedia canggih pun kepada mereka – mereka menolak dengan alasan tak boleh nak masukkan games dan software! Sombong betul….

Saya rasa kredit harus diberikan kepada sepupu (sebelah isteri) iaitu En. Azlan Hj. Asakil kerana menyebabkan saya berkecimpung penuh dalam Symbian OS atas dua sebab:

  1. Pada pertengahan tahun 2004 beliau menunjukkan kepada saya Nokia 6670 yang baru dihadiahkah oleh ibu mertua beliau sempena harijadinya (back-dated surprise!). Saya bergegas ke Cyber-café berhampiran bersama-samanya untuk mencari software dan game untuk telefon ini. Kemudian saya terus ‘addicted’ kepada Symbian dan menjadikan Nokia 6670 itu sebagai test-bed saya. Tidak lama kemudian, saya membeli Nokia 3230.
  2. Pada awal tahun ini ( 2008 ) harijadi beliau datang lagi. Kali ini dia menelefon saya bertanyakan tentang telefon Symbian apa yang patut dibelinya untuk dihadiahkan kepada dirinya sendiri (Azlan tidak pernah membeli telefon seumur hidup. Semua telefonnya adalah pemberian keluarga ataupun orang lain yang hadiahkan). Saya cadangkan SonyEricsson P1i kerana saya telah mencubanya pada Hari-Raya Aidilfitri yang lalu di Seremban. Telefon ini dilengkapi dengan WiFi. Beliau terus bersetuju dan setengah jam kemudian, dia membuat panggilan dari sebuah restoran di Tawau dan dengan sombongnya berkata “Li.. nampaknya aku jer yang pakai handphone untuk WiFi di restoran ni. Yang lain semua pakai laptop”. Sekali lagi saya menjadikan P1i kepunyaannya sebagai test-bed untuk UIQ3. Akhirnya pertengahan April lalu – akibat tak boleh tahan dengan sindirannya – saya membeli sendiri W960 ini!

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: