Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

November 13, 2009

Apakah Blog, Siapakah Bloggers dan Mengapa Buat Blog?

Filed under: Duniaku! — adliayob @ 7:04 pm
Tags: ,

Ini merupakan artikel lama saya di http://www.SABAHKINI.net pada 28 Januari 2009 yang lalu. Saya pernah hostkan tulisan ini di vox.com, tapi setelah ‘Blog Symbian Malaysia’ telah mendapat domainnya sendiri di http://www.symbianku.com, maka selayaknya artikel ini saya muatkan di sini.

apakah-blog

Salam Sejahtera dan Selamat Mengunjungi http://www.SABAHKINI.net

Untuk menyebabkan dunia maya (virtual-world) Malaysia akan menjadi lebih meriah, disini saya akan cuba menerangkan perkataan ‘Blog’, ‘Bloggers’, mengapa dan bagaimana untuk menciptakan ‘laman blog’ anda sendiri di internet.

Pengenalan.

Kita akan mulakan dengan membezakan terma ‘laman-web’ dan ‘laman-blog’ dahulu dan mengupas mengapa dalam 3 tahun kebelakangan ini ‘blog’ sangat mengundang kontroversi dan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kini, hampir sebuah blog diciptakan seminit pada setiap hari di Malaysia. Laman blog di negara ini kini melebihi angka 2 juta unit dan ia bertambah dari masa ke semasa.

Laman blog adalah sejenis laman web yang ditadbir secara bersendirian atau berkumpulan. Perkataan ‘blog’ berpunca dari ‘web-log’ yang bermaksud ‘menjadikan sebuah laman web seperti sebuah diari harian’. Jadi, sebenarnya sebuah blog berpaksi pada program pengaturcaraan yang sama dengan sebuah laman web iaitu HTML. Tetapi yang menariknya, anda tidak perlu mempelajari secara mendalam tentang HTML untuk mencipta sebuah laman blog. Sebagaimana laman web, blog juga boleh diterbitkan secara komersil (berbayar) atau percuma.

Berbeza dengan laman web, blog lebih bersifat interaktif dan tersusun. Sebuah laman web mungkin mengambil masa dua-tiga bulan untuk disiapkan sepenuhnya manakala membina laman blog cuma mengambil masa kurang 40 minit sahaja untuk pertama kali diterbitkan ke internet.

Satu perkara yang benar-benar membezakan antara WEB dan BLOG adalah; laman web terkandung maklumat rasmi mengenai sesuatu manakala blog lebih bersifat tidak rasmi dan santai. Selain itu, laman web bersifat ‘kaku dan tertutup’ manakala blog bersifat ‘terbuka untuk sebarang komen dan cadangan’.
Mengapa Mencipta Sebuah Blog?

Seperti sebuah diari ‘on-line’ – laman blog dicipta atas pelbagai tujuan. Diantara tujuan-tujuan penerbitan blog adalah seperti berikut:-

1. Seorang ibu mencipta blog untuk anak-anaknya menghargai kewujudannya di dunia. Didalamnya terkandung peristiwa-peristiwa, gambar dan video si anak sejak kecil hingga dewasa. Objektif si ibu tadi adalah suatu hari kelak anaknya akan membuka laman blog tadi dan mempelajari sejarah kehidupannya sendiri dan bagaimana sukarnya ibu-bapa beliau membesarkannya.

2. Seorang ahli sains mencipta blog untuk tujuan data penyelidikan hariannya. Didalam blog tersebut terkandung ujikaji (eksperimen), hipotesis, sampel, foto, video dan analisa yang ditemui oleh beliau untuk kegunaannya sendiri di masa hadapan. Adakalanya seorang saintis akan berkongsi ‘penemuan’ dengan penuntut, masyarakat dan ahli sains lain dengan cara berinteraksi di blog beliau tadi.

3. Seorang wartawan menggunakan blog sebagai arkib berita yang beliau catatkan dalam urusan hariannya. Yang menariknya apabila masyarakat membaca blog ini – kebanyakkan berita yang dikumpulkan belum pernah diterbitkan dalam mana-mana majalah dan akhbar.

4. Seorang guru / pendidik / motivator atau pakarunding (consultant) menggunakan blog sebagai medium komunikasi dan perkongsian ideanya kepada khalayak ramai. Dengan cara ini segala pengetahuannya dapat dikongsikan bersama dengan kumpulan targetnya yang tersendiri.

5. Seorang usahawan akan menggunakan blog sebagai landasan memajukan perniagaannya. Selalunya dia akan melancarkan produk sendiri di blog tadi dan menciptakan urusan perniagaan elektronik. Aktiviti ini dikenali sebagai ‘e-commerce’. Uniknya, kebanyakkan produk yang terjual di blog (internet) tidak dapat dibeli secara bebas di pasaran terbuka. Seorang pelanggan terpaksa berurusan secara ‘on-line’ dengan usahawan ini demi mendapatkan produk beliau.

6. Blog juga diciptakan sebagai landasan sosial sesuatu kumpulan. Biasanya sekumpulan wartawan (atau pemberita) berkumpul dan menerbitkan sebuah blog khusus bersandarkan objektif mereka. Blog seperti ini dikenali sebagai ‘portal-maklumat’ dimana perkataan ‘portal’ adalah lebih besar sifatnya (dan lebih banyak maklumat) dari sebuah blog persendirian.

7. Seorang jurugambar akan menerbitkan blog dengan tujuan yang pelbagai, antaranya selaku ‘resume’, ‘milestone’ (pencapaian), galeri peribadi, arkib atau tujuan komersil dengan menjual koleksi foto-fotonya kepada pihak yang berminat. Blog yang banyak foto seperti ini dikenali dengan nama PHOTOBLOG.

8. Seorang remaja mencipta blognya sendiri dengan tujuan ‘memancarkan aura kesombongan pengetahuan internetnya’ atau berkongsi hobi dengan rakan-rakan yang lain. Pujian melangit seperti ‘hebatlah kau kerana ada blog’ akan melambungkan beliau hingga ke ruang angkasa ‘Gaban’ dan terus membawa dia khayal ke alam ‘pari-pari’ yang tidak mampu kita tembusi. Mencipta sebuah blog sewaktu remaja juga akan meningkatkan ‘saham’ dan membuka peluang untuk dia lebih popular. Dengan ini bertambahlah ‘koleksi teman wanita’nya sesuai dengan gelodak pemikiran dangkal dan nafsu yang bergelora. Namun disebalik anasir-anasir sebegini, remaja tersebut tadi akan lebih bersedia untuk mencipta sebuah blog yang lebih serius kelak apabila dewasa nanti.

9. Seorang kaki wayang / kaki lagu atau dj popular akan menciptakan blog khas untuk berkongsi material peribadinya dengan orang lain. Blog video kini dikenali sebagai VLOG (Video-Blog), blog lagu dikenali sebagai (MP3-Blog) manakala blog siaran radio tersendiri dikenali sebagai PODCASTING.

Dan tujuan akhir sebuah blog diciptakan di internet adalah:

10. Untuk menyebarkan ideologi, pandangan, cetusan rasa dan teori samada positif atau negatif berdasarkan sesuatu tujuan (atau objektif) yang jelas. Blog seperti ini banyak dibangunkan oleh aktivis masyarakat, golongan prihatin, oportunis, ahli politik dan golongan ‘think-tanker’ yang mengadun maklumat dengan rapi, tersusun dan teliti sehingga berjaya memperdaya fikiran atau mengubah pola-pemikiran sesuatu kelompok kecil atau segenap lapisan masyarakat secara menyeluruh.

Jika diperhatikan, aktiviti penulisan blog akan membangunkan, mengaktifkan dan mencetuskan sifat ‘journalism’ yang selama ini tersemat rapi dalam diri seorang manusia. Mungkin selama ini terlalu banyak idea atau cadangan yang memberatkan kepala berjaya diterjemahkan dalam bentuk teks, gambar, video dan dokumen yang sangat berharga.

Dengan ini terpulanglah kepada anda untuk memikirkan sebab tersendiri untuk membangunkan blog di internet.
Apa Pula Bloggers?

Apabila anda telah menerbitkan sebuah blog di internet, secara automatik dan tanpa anda sedari anda sudah dikenali sebagai seorang BLOGGER. Apabila menjadi seorang blogger, anda bebas untuk mengutarakan pandangan sendiri tanpa sebarang sekatan. Begitu juga – anda akan mula menerima komen-komen positif atau negatif yang mula masuk ke sebarang ‘artikel’ yang anda terbitkan. Komen-komen ini datang dari pengunjung-pengunjung blog anda.

Seperti sebatang pokok yang anda tanam, sebuah blog akan membesar, bercambah dan memutikkan buah-buahan segar hanya apabila ada usaha untuk ‘membajai’, mengurus dan mencantas ranting-ranting yang rosak. Sebuah blog yang tercipta mestilah di’bajai’ dengan penulisan artikel (yang dikenali sebagai POSTING), mengatur strategi promosi dengan memperkenalkan URL (alamat blog) kepada rakan-rakan dan keluarga, membina pautan kepada lain-lain blog (perkara ini dinamakan BLOGROLL), mengubah rekabentuk blog (dikenali sebagai ‘Blog Template atau Design’), menambah WIDGET di sekeliling laman dan menganalisa statistik pengunjung. Selain itu, anda juga bertanggungjawab terhadap sebarang artikel yang dikirim dan berusahalah sebaik mungkin untuk menjawab komen dan email dari pengunjung anda.

Apabila anda menjadi seorang blogger – perkataan BLOG sudah bermaksud: ‘Menambah atau mengurus artikel, komentar, blogroll, widget atau lain-lain aktiviti yang berkait langsung dengan blog anda’.

Contoh ayat: “Janganlah kau ‘block’ jalan aku dengan basikalmu itu kerana aku ingin cepat-cepat ke warung cewek hujung jalan sana untuk menyambung WiFi. Aku belum BLOG lagi sejak pagi tadi”.

Satu perkara yang merimaskan BLOGGER ialah – kurangnya lawatan pengunjung ke blog anda dari sehari ke sehari seperti dicatatkan pada ‘hits counter’!

Setakat ini, blogger yang terlalu cepat popular dan mendapat HITS tertinggi hanya dalam 8 bulan pertama adalah mantan Perdana Menteri Malaysia, Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Bin Mohammed. Blog beliau mencatatkan HITS lebih 12 juta pengunjung sejak mula diperkenalkan pada Mei, 2008.
Bagaimana Mencipta Sebuah Blog?

Terdapat 5 pelantar (platform) penyedia paling popular yang menawarkan blog percuma di internet iaitu:

1. BLOGSPOT – www.blogger.com
2. WORDPRESS – www.wordpress.com
3. LIVEJOURNAL – www.livejournal.com
4. VOX – www.vox.com
5. XANGA – www.xanga.com

Selain dari tiga pelantar yang disebutkan, ada banyak lagi syarikat yang menyediakan khidmat laman blog di internet. Anda boleh mencari penyedia-penyedia blog percuma seperti ini dengan memasukkan KEYWORD ‘free blog account’ pada enjin carian GOOGLE atau YAHOO.

Anda akan mengikuti beberapa langkah mudah untuk mendaftar blog dan setelah semuanya selesai, URL (atau alamat blog) akan diberikan kepada anda. Contohnya, saya menggunakan khidmat WORDPRESS untuk blog saya dan URL-nya adalah di http://adliayob.wordpress.com

Tuan presiden Persatuan Blogger Sabah, En. Mutalib ‘Taliban’ M.D mendaftar dengan BLOGGER dan telah mendapatkan URL peribadi beliau iaitu http://mutalibmd.blogspot.com

Setelah selesai proses pendaftaran dan mendapatkan URL – kini anda boleh terus menulis KIRIMAN (posting) artikel anda yang pertama!
Persediaan Untuk Mendaftar Blog.

Berikut merupakan persediaan anda sebelum mendaftar blog:

  1. Perlu ada email sendiri yang AKTIF dan BOLEH DICAPAI oleh penyedia blog.
  2. Sedikit pengetahuan tentang INTERNET, pengaturcaraan HTML dan ilmu pengolahan media (grafik, dokumen, video dan audio). Jangan terlalu risau tentang HTML kerana Dr. Mahathir pun bukan seorang ‘webmaster’.
  3. Kebolehan menulis mengikut bahasa yang anda selesa. JANGAN pilih Bahasa Inggeris jika anda belum benar-benar menguasai bahasa ini. Jika anda pilih juga – ia akan merendahkan martabat atau nilai harga diri anda. Sentiasa ingat – sebuah blog di internet akan dilawati oleh sebarang pengunjung dari setiap pelusuk dunia!
  4. Mempunyai ‘bahan’ yang sesuai untuk dimuatkan pada blog. Adakalanya orang membuat blog tetapi tiada ‘isi’ atau ‘bahan’ yang ingin dipersembahkan. Ini membosankan pengunjung.

Persediaan lain dari segi material:

  1. Sebuah komputer peribadi atau laptop atau netbook.
  2. Capaian data yang berkelajuan tinggi. Biasanya BROADBAND (samada Streamyx atau ‘data-card’ Maxis/Digi/Celcom). Jika tiada, singgahlah mana-mana restoran atau rumah jiran yang memberikan khidmat WiFi percuma. Zaman sekarang bukan susah untuk menikmati secawan teh-tarik bersama sebuah laptop di restoran atau warong-warong WiFi.
  3. Sebuah telefon bimbit yang agak canggih dengan lensa kamera 3.2 Megapixel. Ini penting untuk maklumat terkini, SMS, MMS dan perkongsian media dengan teknologi BLUETOOH. Dicadangkan untuk anda memiliki sebuah telefon SYMBIAN. Ini kerana telefon SYMBIAN dapat berfungsi dengan baik sehingga mampu menggantikan laptop anda diwaktu kecemasan. Jika telefon anda dilengkapkan dengan teknologi WiFi – ia lebih bagus!. Jika tidak tahu apa itu Symbian – sila masuk ke blog saya di http://adliayob.wordpress.com
  4. Sebuah kamera digital. Ia sangat penting untuk merakam gambar.
  5. Aksesori lain seperti perakam suara mini ala James Bond dan ‘videocam’ yang baik untuk merakam video.
  6. External Hard-Disk atau USB Disk (ada yang panggil ThumDrive, PenDrive dan HandyDrive) untuk kemudahan perkongsian maklumat dengan lain-lain blogger. Apabila lebih 2 orang blogger berkumpul – mereka dikenali sebagai BLOGGERS. Dan apabila mereka berkumpul di Kota Kinabalu dalam jumlah yang ramai – mereka dikenali sebagai Persatuan Bloggers Sabah!

Kesimpulan

Kesimpulannya, mencipta blog di internet bukanlah sesusah yang disangka oleh sesetengah pihak. Apa yang penting bagi anda adalah ‘bahan’ dan ‘tema’ khusus untuk blog yang telah anda ciptakan. Tema blog adalah SANGAT PENTING untuk menjadikan blog anda unik dan berketerampilan. Rancanglah dengan pelbagai artikel mengikut 2 cara iaitu KIRIMAN SPONTAN dan KIRIMAN BERKALA. Kiriman spontan adalah artikel yang dimuatkan apabila ‘mood’ anda datang secara tidak sengaja manakala kiriman berkala adalah artikel yang anda telah rancang dengan rapi sebelum dimuatkan pada blog. Tulislah dari hati dan ikutkanlah sahaja gerak tarian jari-jemari di papan kekunci.

Berbeza dengan laman web – Blog lebih bersifat intim, sensitif, bebas dan berperasaan. Janganlah mengirim artikel yang sekadar ‘CUT-AND-PASTE’ sahaja dari sumber lain. Uruskanlah blog dengan sebijak mungkin. Sesungguhnya pengunjung tidak suka masuk ke sebuah laman blog yang caca-marba, tidak tersusun dan tanpa tema yang spesifik. Dan jika anda berasal dari Sabah dan benar-benar serius dalam penulisan blog – maka BERDAFTARLAH dengan kami sebagai AHLI PBS (Persatuan Bloggers Sabah).

Akhir sekali, hayatilah kata-kata ini dari saya (adliayob) “Jangan takut digigit tikus (mouse) kalau mahu meneroka peluang di ruang cyber-internet!”. Sesungguhnya internet telah mengubah nasib beribu-ribu insan di dunia menjadi lebih baik dan bertamaddun.

Selamat mencipta sebuah blog yang mengkagumkan!

3 Komen »

  1. As’kum….

    Hi adilayob…. terima kasih kerana memberitahu saya sedikit sebanyak tentang apakah blog… yang pada mulanya saya tak faham langsung apakah itu blog… Saya memang teringin sgt untuk membuat blog sendiri…. mungkin jika diberi kesempatan saya ingin belajar dari adilayob…

    Komen oleh ayu — April 12, 2010 @ 6:42 pm | Balas

    • @ayu,

      Terima kasih kerana memberikan komen. Harap tuan dapat manafaat dari penulisan saya. Mungkin saya akan memperkenalkan pakej pembelajaran secara online (YM, email dan facebook) beserta nota-nota dalam bentuk PDF. Macamana tu? menarik tak?

      Komen oleh adliayob — April 20, 2010 @ 2:14 pm | Balas

  2. Salam, saya berminat untuk buat blog yang menarik.harap adli dapat membantu…bila nak memperkenalkan pakej belajar online?

    Komen oleh miza — Mei 12, 2010 @ 12:09 pm | Balas


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

The Rubric Theme. Blog di WordPress.com.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: