Adliayob – Sebuah Catatan Teknologi

Mei 8, 2008

Sambungan Topik #002

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 9:47 am
Tags: , , , ,

Selamat Datang ke Laman BLOG ‘The Malaysian Symbian Opinion’. Satu blog yang memaparkan pandangan dan pengetahuan khusus untuk Sistem Operasi (OS) Symbian – S60 dan UIQ. Disini anda akan dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang teknologi SYMBIAN yang dipasang ke telefon-telefon terpilih berjenama NOKIA, SONY ERICSSON, SAMSUNG, MOTOROLA dan LG.

telefon symbian saya

Rabu – 7Mei 2008

Apakah Symbian? (Sambungan)

Seperti yang telah kita ketahui, Symbian tergolong dalam OS – ini bermakna ia berada dalam satu kelas dengan Windows XP, Windows Vista, Linux dan Mac OS.

(Mengikut pandangan saya), komputer terdiri daripada 3 kumpulan besar iaitu:

1) Mainframe / Server

2) PC dan Laptop (Personal Computer / Micro Computer)

3) PDA dan Smartphone

Setiap kumpulan ini beroperasi dengan Operating System yang berlainan. Grafik dibawah memperincikannya. Komputer dikategorikan mengikut saiz, keperluan mesin dan fungsi. Dengan itu adalah tidak logik sama sekali jika kita memasang perisian Windows XP pada mesin ATM bank atau memasang UNIX kepada PDA.

OS

PDA dan Smartphone.

PDA (Personal Digital Asistant) dahulunya dikenali sebagai Palmtop Computer. Ianya merupakan komputer terkecil semuat telapak tangan. PDA berfungsi sebagai diari harian, penyimpan fail dokumen (termasuk memapar dan meng’edit’), pemain fail media (muzik, audio, video) dan juga sebagai buku memo. PDA dilengkapi dengan teknologi ‘Touch-Screen’ agar kemasukkan input dilaksanakan dengan lancar oleh pengguna. Satu ketika dahulu PDA tidak mempunyai fungsi telofon.

Telefon bimbit adalah alat yang dimajukan hasil imaginasi manusia yang mahukan perkhidmatan telefon dimana-mana. Tidak perlu diceritakan mengenai handphone kerana ia sudah menjadi kebiasaan pada kita hari ini. Saya ingat lagi, pada awal tahun 90-an, betapa ‘sakai’nya saya memegang dan membuat ‘call’ menggunakan NEC PRIMERO BX abah saya dan dengan sombongnya menunjuk-nunjuk cara pengunaannya kepada rakan-rakan. Realitinya, pada hari ini telefon sebesar itu menjadi bahan gurauan dan layak untuk ‘membaling anjing’ sahaja. Kemudian, timbul pula kemahuan agar fungsi PDA disatukan dengan handphone. Maka lahirlah SMARTPHONE yang berfungsi lebih daripada sekadar telefon!

Berbalik kepada telefon bimbit, pada hari ini terdapat 3 kategori telefon bimbit:

  1. Handphone ASAS seperti Nokia 3310. Mempunyai fungsi SMS, jam loceng, skrin hitam-putih / hitam-hijau/ warna, tidak ada infrared atau bluetooth dan tidak menyokong kad memori.
  2. Handphone MULTIMEDIA seperti Nokia 6280, 6500 Slide, SonyEricsson K850i, LG Viewty, Samsung D900 dan lain-lain. Mampu menghantar MMS, melayari WAP/ internet, tersedia bluetooth dan infrared, Memainkan fail MP3 / muzik/ video, Fungsi radio, Perakam suara, Menukar ‘theme’, Membaca dokumen PDF/ word/ excel, Mempunyai kamera digital, Menyokong kad memori dan menyokong perisian JAVA.
  3. SMARTPHONE.

SMARTPHONE mempunyai semua fungsi telefon multimedia. Lebih dari itu, smartphone juga mempunyai fungsi PDA dan mampu menambah fungsi dengan memasukkan perisian ‘third-party’ yang mudah didapati seperti Kamus Inggeris-Melayu, Smartmovie, Anti-virus, Pocket Quran, Infrared Remote Control, Call Recorder dan lain-lain. Ini kerana smartphone mempunyai Operating System dan seperti sebuah komputer – ia boleh ditambah perisian, games, theme, file manager, tukar fonts, print menggunakan printer, mempunyai RAM dan ROM, drive C:\ dan lain-lain. Seperti komputer juga, ia terdedah kepada serangan VIRUS dan pengguna perlu install anti-virus sebaik membuat pembelian smartphone.

Mengikut urutan dan populariti, Symbian merupakan OS NOMBOR SATU smartphone dan diikuti rapat oleh Windows Mobile, Palm dan Linux.

Versi keluaran Symbian.

Symbian yang awal adalah Symbian 5.0 (Epoc Release 5), kemudian dipermajukan menjadi Symbian 6.0, Symbian 7.0/ 7.0s, Symbian 8.0/ 8.1. Versi terkini untuk pasaran telefon semasa Symbian adalah 9.1/ 9.2. Manakala versi 9.3 dan 9.5 bakal muncul pada pertengahan tahun ini atau awal tahun hadapan.

Platform Symbian.

Telefon Symbian 6.0/7.0/8.0 dan 8.1 menggunakan platform yang berbeza-beza. Platform ini wujud untuk menunjukkan kebolehan symbian yang mampu diadaptasi kepada pelbagai jenis saiz dan fungsi telefon. Platform tersebut adalah Series 60, Series 80, Series 90, UIQ dan MOAP.

Dengan kehadiran Symbian 9.1/9.2 – kini platform tersebut terbahagi kepada 3 sahaja iaitu S60, UIQ dan MOAP.

S60 (sebelum ini dikenali dengan Series 60) dipelopori oleh Nokia, Sendo, Siemens, Panasonic, Lenovo, Samsung dan LG. Sendo kemudiannya dibeli oleh Motorola, Siemens dibeli oleh BenQ, Panasonic tidak lagi berminat dengan S60 dan menumpukan MOAP manakala Lenovo masih lagi misteri. Ini menyebabkan, bermula tahun 2007, hanya Nokia, Samsung dan LG sahaja menggunapakai platform S60 hingga kini. S60 menggunakan keypad atau keyboard untuk proses kemasukan input.

UIQ dipelopori oleh SonyEricsson, Motorola, Arima dan BenQ. Nokia pernah mengeluarkan satu-satunya model UIQ iaitu Nokia 6708 (dengan menukar logo, jenama dan model telefon BenQ P31). UIQ3 dikomersialkan pada tahun 2007 dan sehingga kini, hanya 2 pengeluar memasarkan model-model mereka iaitu SonyEricsson dan Motorola. Ini kerana unit UIQ pada syarikat Symbian telah dibeli dan kemudiannya menjadi syarikat berasingan dan pemegang saham UIQ Technology adalah SonyEricsson dan Motorola. UIQ menggunakan touch-screen, keyboard atau keypad untuk proses kemasukan input.

MOAP (Mobile Oriented Application Platform) dipelopori oleh Fujitsu, Mitsubishi, Panasonic, Sharp, NTT Docomo dan SonyEricsson. Berbeza dengan platform yang lain, telefon Symbian-MOAP dikeluarkan ke pasaran dengan jenama FOMA dan hanya dijual di Jepun. Platform MOAP tidak membenarkan ‘third-party software’ dimasukkan oleh pengguna, sebaliknya pihak penyedia perhidmatan talian (telco) perlu bekerjasama dengan NTT Docomo untuk membangun dan melengkapkan perisian MOAP. Dengan itu, pengguna boleh terus berhubung dengan telco untuk ‘upgrade’ perisian MOAP. MOAP telah menjadi ‘test-bed’ kepada pembangunan Symbian sehingga hari ini dimana setiap aplikasi tertentu dicuba pada MOAP sebelum ia dipindahkan kepada S60 dan UIQ.

Symbian-platform

Di Malaysia, hanya telefon Symbian S60 dan UIQ sahaja yang dijual di pasaran. Model pertama Symbian iaitu Ericsson R380 pernah saya lihat disebuah pameran dan persidangan Multimedia Asia (dan komunikasi) di The Mines, Sungai Besi dalam tahun 2000. Kemudian pada awal tahun 2002 Nokia 7650 dan Nokia Communicator 9210 telah dijual di Malaysia. Tahun 2003 menyaksikan Nokia 3650, 3660 dan SonyEricsson P800 dijual dan pada April 2005 – Nokia 3230 telah menjadi telefon Symbian saya yang pertama!

Siemens SX1 dijual pada tahun 2004, Panasonic X700 dan Samsung D720 tahun 2005. Motorola A1000 pula pada akhir tahun 2005. Telefon sulong LG Symbian iaitu KS10 (atau LG JOY) tidak pernah dijual di Malaysia. Begitu juga dengan model Samsung D730, Nokia N92, Sendo X dan Motorola RIZR Z8. Selain itu banyak lagi model yang tidak pernah dijual di negara kita. Alasan pengeluar ialah – ‘Market’ Malaysia masih belum bersedia untuk menerima Symbian secara total. Sebenarnya bagi saya, ‘statement’ ini memalukan kita semua. Ini juga mencerminkan yang warga Malaysia tidak ambil peduli atau memahami teknologi telefon bimbit.

Saya ingat lagi pada tahun 2006, ada rakan yang memperli saya kerana membeli Panasonic X800. Telefon ini saya hadiahkan kepada isteri saya sempena harijadinya. Kata rakan – apa guna kau gempar-gempur pasal Symbian sedangkan kau tidakpun membelikan Nokia kepada isterimu! Kemudian, rakan tersebut membelek-belek juga Panasonic X800 tersebut. 10 minit berlalu, dia bertanya… macamana kau masukkan sistem Nokia dalam Panasonic ni?

Saya pernah cuba menerangkan mengenai Symbian kepada beliau. Dan pada hari itu, saya terpaksa ‘explain’ sekali lagi – dengan bukti! Rupa-rupanya beliau masih tidak faham sewaktu saya ‘explain’ kali pertama. Dulu tu, dia mengangguk juga. Biasalah, orang kita ni ‘sombong-bodoh’. Sepatutnya kalau tak faham, tanyalah. Jangan buat-buat faham sambil mengeluarkan perkataan ‘Oooo’ panjang-panjang sedangkan sebenarnya tak faham.

Saya demonstrasikan kedua-dua Nokia 3230 dan Panasonic X800, buka menu – buat message – ‘run’ permainan SkyForce dan software SmartMovie. Buka ‘about’ dan bacakan ‘This product includes software licensed from Symbian Ltd’ kepada beliau. Akhirnya… barulah beliau benar-benar faham mengenai Operating System! Itu tak masuk lagi saya ‘demo’kan dua laptop (Acer dan Compaq) yang sama-sama menggunakan Windows XP sebagai OS.

Setakat hari ini saya ada 4 telefon Symbian. Nokia 3230, Panasonic X800, Samsung i450 dan SonyEricsson W960. Saya menggunakan 2 iaitu 3230 dan W960 manakala isteri menggunakan i450 dan X800. Isteri saya ganjil sikit – dia suka Symbian tetapi tidak pernah suka Nokia! Telefon W960 ini mengubah sejarah hidup saya apabila saya berhijrah dari platform S60 kepada UIQ!

Saya menjadi ahli kepada Malaysian Symbian User Group (www.i-symbian.com) pada tahun 2005. Sehingga hari ini, semua rakan karib, saudara-mara, sepupu dan adik-beradik saya (dan isteri) bertukar menggunakan Symbian. Malahan jika diberikan sebuah telefon Multimedia canggih pun kepada mereka – mereka menolak dengan alasan tak boleh nak masukkan games dan software! Sombong betul….

Saya rasa kredit harus diberikan kepada sepupu (sebelah isteri) iaitu En. Azlan Hj. Asakil kerana menyebabkan saya berkecimpung penuh dalam Symbian OS atas dua sebab:

  1. Pada pertengahan tahun 2004 beliau menunjukkan kepada saya Nokia 6670 yang baru dihadiahkah oleh ibu mertua beliau sempena harijadinya (back-dated surprise!). Saya bergegas ke Cyber-café berhampiran bersama-samanya untuk mencari software dan game untuk telefon ini. Kemudian saya terus ‘addicted’ kepada Symbian dan menjadikan Nokia 6670 itu sebagai test-bed saya. Tidak lama kemudian, saya membeli Nokia 3230.
  2. Pada awal tahun ini ( 2008 ) harijadi beliau datang lagi. Kali ini dia menelefon saya bertanyakan tentang telefon Symbian apa yang patut dibelinya untuk dihadiahkan kepada dirinya sendiri (Azlan tidak pernah membeli telefon seumur hidup. Semua telefonnya adalah pemberian keluarga ataupun orang lain yang hadiahkan). Saya cadangkan SonyEricsson P1i kerana saya telah mencubanya pada Hari-Raya Aidilfitri yang lalu di Seremban. Telefon ini dilengkapi dengan WiFi. Beliau terus bersetuju dan setengah jam kemudian, dia membuat panggilan dari sebuah restoran di Tawau dan dengan sombongnya berkata “Li.. nampaknya aku jer yang pakai handphone untuk WiFi di restoran ni. Yang lain semua pakai laptop”. Sekali lagi saya menjadikan P1i kepunyaannya sebagai test-bed untuk UIQ3. Akhirnya pertengahan April lalu – akibat tak boleh tahan dengan sindirannya – saya membeli sendiri W960 ini!

Mei 6, 2008

TOPIK #002 – Symbian Operating System (Symbian OS)

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 2:25 pm
Tags: , , ,

mengenali symbian s60

Selasa – 6Mei 2008

Apakah Symbian?

Symbian adalah sejenis Sistem Operasi (Operating System – OS). OS pula merupakan perisian pengawal yang memantau kelancaran interaksi antara hardware, software, input dan output yang berlangsung dalam sesebuah komputer. Sebagai contoh, Windows XP merupakan OS yang mengawal kelancaran PC dan Laptop anda. Tidak kira anda menggunakan laptop jenama Compaq, Acer atau Dell, jika terdapat Windows XP di dalam, maka mudahlah anda menggunakannya.

MENGAPA? lni kerana OS laptop tersebut adalah sama (WinXP) dan anda bebas untuk install sofware dan games walaupun berbeza jenama.

Serupa halnya dengan 2 model telefon ini: Nokia N81 dan Samsung i450. Kedua-duanya terpasang OS Symbian – maka cara penggunaan, corak paparan skrín (GUI), sofware, game, setting mms, gprs, themes, paparan menu dan lain-lain adalah sama walaupun berbeza jenama! Contohnya, jika anda menulis sms menggunakan Nokia N81, caranya begini:-

  1. Tekan butang MENU -> Pilih ikon MESSAGES -> Pilih NEW MESSAGE
  2. Create: Text Message -> To: (No Telefon) dan tulis sms -> Option -> SEND

Dan cara ini adalah betul-betul SERUPA dengan Samsung i450. Perhatikan grafik diatas.

Juga disenaraikan GUI (Graphical User Interface), Standby Screen dan lain-lain untuk mengenali system Symbian.

Mei 5, 2008

TOPIK #001 – Mengenali Sistem Operasi Symbian.

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 5:56 pm
Tags:

Sejarah Symbian.

SYMBIAN Ltd ditubuhkan pada bulan 24 Jun 1998 dan berpejabat di Southwark, London, United Kingdom. Pada permulaannya, Symbian Ltd diwujudkan hasil pengabungan saham (partnership) antara syarikat-syarikat Ericsson, Nokia, Matsushita, Motorola dan Psion. Kini pemegang saham syarikat Symbian Ltd terdiri dari Ericsson, Nokia, Matsushita (Panasonic), Siemens, Sony Ericsson dan Samsung.

Symbian OS adalah berasaskan Sistem Operasi EPOC milik syarikat PSION. EPOC OS Release 5 (juga dikenali sebagai Symbian OS versi 5) telah dipasang untuk pertama kalinya pada telefon Ericsson R380 pada November 2000. Kemudian, EPOC 5 telah dimajukan lagi maka dengan itu lahirlah Symbian versi 6.0 pada Jun 2001. Telefon pertama yang menggunakan Sistem Operasi (OS) Symbian versi 6.0 adalah NOKIA 9210 dan NOKIA 7650.

Bermula dengan Symbian OS versi 6.0, sehingga kini (akhir tahun 2007) sebanyak lebih 150 model telefon-telefon Symbian telah dikeluarkan oleh pengeluar terkemuka seperti Nokia, Samsung, LG, Siemens, Sendo, Sony Ericsson, Motorola, Fujitsu, BenQ, Panasonic, Lenovo, Mitsubishi dan Sharp.

Pengenalan

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 5:33 pm
Tags: , ,

Isnin – 5Mei 2008

Sebelum kita membicarakan tentang Symbian OS, terlebih dahulu saya ingin menyatakan – mengapa harus saya dedikasikan masa saya untuk menulis didalam WEBLOG ini? Sebelum itu saya memohon maaf jika terkasar bahasa kepada semua rakyat Malaysia.

Saya seorang pendidik professional. Sejak bujang sehingga kini saya dedikasikan hidup saya kepada IT (Information Technology), termasuk menghabiskan berjam-jam masa dalam R&D (Research and Development). Bermula dari tahun 1997 sehingga kini, saya merasa sedih dan bingung mengenai orang-orang Malaysia (tak kira bangsa) yang rata-ratanya buta teknologi.

Bayangkan dalam satu seminar saya pada tahun 2006 (waktu ini MSC sudah 10 tahun), seorang peserta menjawab ‘Saya menaip menggunakan WINDOWS’ kepada soalan saya ‘Anda menaip menggunakan perisian apa?’. Untuk tujuan pendidikan, saya betulkan kembali jawapan beliau kepada ‘Saya menaip menggunakan Microsoft Word’. Begitu juga senario pada tahun 2008 (tahun ini!) saya ajukan pertanyaan ‘Ada WiFi ke restoran ni?’ dan ketua pelayan restoran tersebut menjawab;
‘Tak tau pulak bang pasal WiFi tu… Apa benda tu bang?’
‘WiFi… saya nak sambung laptop saya ni ke internet. Kalau takde, saya pindah ke restoran lain’
‘Oooo…. kalau wireless ada bang!’
‘Wireless tu WiFi laa’

Maka apabila melihat senario sebegini, saya tertarik untuk berkongsi pengalaman saya pada awal April 2008 yang lalu, perdebatan antara saya dan seorang rakan di sebuah gerai ‘Sayap Ayam’ di Bandar Tawau, Sabah. Perlu diingatkan disini bahawa rakan tersebut berasal dari Kuala Lumpur, Kota Metropolitan Malaysia yang dicintai. Perdebatan ini mengenai telefon.

“Apa telefon ko sekarang pakai Li?”
“Ada dua. Panasonic X800 dan Sony Ericsson W960. Kenapa?”
“Aku baru beli telefon 2 hari lepas kat Pertama Complex. Nokia N95 hitam. Kebetulan pulak aku ada job ke Sabah, itu yang aku belanja ko minum petang ni. Aku nak ko masukkan (install) apa-apa yang patut ke dalam telefon aku ni. 8gig ni… besar!”
“Ok. MIntak telefon. Aku masukkan. Tapi ko bayar ya!”
“Mestilah. Kat KL pun takde software. Aku tau ko jer yang buleh buat”
“Man, maaflah. Aku takleh install apa2 pun. Aku rasa ko kene tipu lah! Telefon ko ni bukan yang asli. Ini NOKIA TIRUAN made in CHINA! Berapa ko beli?”
“Memanglah made in China. Aku beli RM699.00. Tapi, memang takleh masuk ker? Takkan game pun takleh?”
“Tidak buleh. Ini bukan NOKIA asli. Kalau ikut bahasa aku, aku istilahkan ASPAL (Asli tapi Palsu). Berbeza dengan telefon ko yang lagi satu tu (N73). Walaupun itu made in China jugak, tapi itu keluaran NOKIA – cuma dikilangkan di China. Yang ini (N95 hitam) memang tiruan made in china. Itu pasal harga dia murah! N95-8Gb yang asli harga dia 2000 lebih!”

Akibat rasa tidak percayanya, saya membawa beliau ke sebuah kedai handphone di Tawau dengan niat untuk ‘trade-in’. Dan pekedai cuma mampu menerima telefon tersebut dengan nilai RM100 sahaja! Begitulah. Akibat tidak berhati-hati dengan pembelian, akhirnya tertipu. Tetapi secara luaran, rakan saya ni seorang eksekutif! Orang kepercayaan bosnya untuk memantau projek-projek syarikat di seluruh Malaysia!.

Penyakit buta teknologi dalam telefon akhir-akhir ini semakin menular. Pernah seorang rakan meminta saya install software ‘SmartMovie’ pada telefon NOKIA 6500 slide. Saya memberitahunya tidak boleh kerana telefon itu bukan OS Symbian! Bermati-matian dia mempertahankan egonya dengan mengatakan telefonnya itu MAHAL dan jauh lebih baik dari NOKIA 3230 saya. Katanya lagi, “takkan kat 3230 buleh pulak? itu tahun bila punya telefon?”. Slow-slow saya membalas… “sorry bang, telefon ‘cap ayam’ aku ni telefon Symbian. Kau punya tu telefon NOKIA biasa – walaupun ada memori kad dan bluetooth.”

Itu belum kira lagi berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu menggunakan MMS, sedangkan anugerah pendidikan SMS terbaik masyarakat patut diberikan kepada ASTRO gara-gara Akademi Fantasia! Saya ingat lagi, dengan kehadiran AF – maka ramai makcik-makcik tiba-tiba pandai menggunakan SMS hingga kini.

Jadi, saya harus bertindak untuk melancarkan blog sendiri. Mendidik masyarakat Malaysia supaya tidak lagi tertipu dengan masalah telefon seperti senario tadi. Objektif saya – pada tahun 2010, separuh dari warga handphone Malaysia memiliki SMARTPHONE – tak kira jenama dan Sistem Operasi. Biar jadi macam Jepun, 3/4 rakyatnya menggunakan Smartphone. Mereka faham apa yang dikatakan GPRS, EDGE, 3G dan HSDPA. Mereka juga melayari Internet di telefon, menonton televisyen dan menggunakan NFC (Near Field Communication) MobileWallet untuk membeli-belah!

Walaupun banyak OS dipasaran… tetapi disini saya hanya berminat dengan SYMBIAN sahaja. Selamat membaca.

Senario Symbian Di Malaysia

Filed under: Tutorial Symbian — adliayob @ 5:15 pm

Adik-Beradik Symbian 2004

Ahad – 4Mei 2008

Selamat Datang ke Laman BLOG ‘The Malaysian Symbian Opinion’. Satu blog yang memaparkan pandangan dan pengetahuan khusus untuk Sistem Operasi (OS) Symbian – S60 dan UIQ. Disini anda akan dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang teknologi SYMBIAN yang dipasang ke telefon-telefon terpilih berjenama NOKIA, SONY ERICSSON, SAMSUNG, MOTOROLA dan LG.

Blog di WordPress.com.